Categories
NASIONAL

Petugas tekun siapkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Seri Perdana esok

PUTRAJAYA, 4 JUN: Para petugas dan anggota keselamatan yang terlibat dengan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan berlangsung esok, kelihatan giat melakukan persiapan terakhir bagi memastikan acara itu berjalan lancar.

Buat pertama kalinya, orang ramai dapat bersalaman dengan Dr Mahathir dan anggota jemaah menteri di dalam kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Presint 10.

Tahun lepas, orang ramai hanya dapat beramah mesra di Laman Sari, perkarangan Seri Perdana. Namun, tahun ini persiapan untuk khemah makan dan laluan masuk untuk pengunjung dilihat lebih selesa dan teratur.

Ini adalah kali kedua Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan Pakatan Harapan selepas Dr Mahathir mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei tahun lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar Seri Perdana, kelihatan pegawai bahagian istiadat di Jabatan Perdana Menteri, petugas katering, Alam Flora, dekorasi serta anggota keselamatan, sibuk dengan persiapan masing-masing.

Lebih 10 katering disediakan untuk menghidangkan pelbagai juadah makanan dan minuman kepada 50,000 pengunjung yang dijangka hadir esok, bermula dari 10 pagi sehingga 4.30 petang.

Juga kelihatan beberapa lori katering, Alam Flora dan pembekal kuih raya di perkarangan Seri Perdana sibuk dengan persiapan seperti peralatan, tong sampah serta aneka makanan ringan untuk dijamu kepada pengunjung.

Antara juadah yang disediakan ialah lemang, rendang, nasi beriani, kuey teow goreng, rojak, murtabak, aneka kuih raya, satay, laksa dan sebagainya.

Pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan bas percuma ke majlis tersebut yang disediakan bermula jam 9.30 pagi di tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

MB: Sederhana anjur rumah terbuka, elak pembaziran

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 22 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menasihatkan penganjur rumah terbuka supaya tidak membazir ketika menganjurkan acara berkenaan pada musim perayaan kali ini.

Katanya, ia bagi mengelakkan pembaziran berlaku sekali gus menyebabkan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Biarlah majlis jamuan terbuka itu diadakan secara sederhana tanpa bermewah-mewah,” katanya ketika ditemui SelangorKini di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di ibu pejabatnya di sini, petang tadi.

Amirudin berkata, ia adalah kali pertama beliau menghadiri rumah terbuka anjuran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor setelah bergelar Dato’ Menteri Besar.

“Pada saya ini adalah aktiviti yang cukup bagus kerana MBPJ sebagai agensi yang mengutip cukai daripada penduduk dapat mendekatkan hubungan mereka melalui majlis sebegini.

“Difahamkan program ini juga menjadi acara tahunan MBPJ dan pada saya ia patut diteruskan kerana mendapat sambutan amat baik,” katanya.