Categories
AGENSI SELANGOR

SITEC anjur program latih usahawan digital

KLANG, 22 OGOS: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) menganjurkan hampir 100 program sejak 2015 bagi membantu usahawan menceburi perniagaan digital, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata program itu sebagai inisiatif mengubah bentuk perniagaan tradisional kepada usahawan dalam talian.

“SITEC juga berjaya melatih lebih 550 usahawan di Selangor melalui program Online 100 dan Apps 100.

“Mereka yang mengikut program ini diberikan pendedahan memasarkan produk mereka di platform Lazada, Shopee dan youbeli.com,” katanya.

Terdahulu, Chang Khim merasmikan siri kedua program Usahawan Digital Selangor 2020 yang mendapat kerjasama Lazada, Shopee, Boost, Avana, Ninja Van, Bungkusit, Hijrah Selangor dan Youbeli.

Dalam program terbabit, 200 usahawan sekitar Lembah Klang menyertainya bagi mendapat pendedahan berhubung dunia e-dagang.

Program yang sebelum ini berlangsung di Bangi pada awal tahun ini diteruskan di tiga lokasi iaitu Ampang, Gombak dan Kuala Selangor.

Categories
NASIONAL

Aduan penipuan e-dagang meningkat drastik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Aduan penipuan membabitkan perniagaan e-dagang mencatatkan peningkatan drastik kepada 25 peratus, Setakat Mac lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peratusan itu jauh meninggalkan aduan lain seperti dicatatkan pada 2018.

“Pada 2018, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 26,000 aduan dengan 31 peratus membabitkan aduan harga dan kedua tertinggi adalah penipuan peniaga dalam talian kira-kira 24 peratus.

“Aduan penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan paling cepat berbanding aduan lain dengan kerajaan memandang perkara ini sebagai satu isu penting perlu ditangani segera untuk melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan KPDNHEP bagi bulan April lalu di Dewan Serbaguna di ibu pejabat KPNDHEP di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, aduan lain termasuk perkhidmatan mengelirukan, barangan tiruan (2.5 peratus), barangan kawalan (2.4 peratus) dan jualan murah (2 peratus).

Katanya, KPDNHEP berusaha mengatasi isu itu melalui pelbagai pendekatan di bawah inisiatif ‘Quick Win’ di bawah pelan Tindakan Bersepadu e-dagang KPDNHEP.

“Antara pendekatan di bawah inisiatif ini ialah melancarkan Buku Panduan Perniagaan e-dagang kepada peniaga bertujuan memberi panduan untuk menjalankan perniagaan secara beretika.

“Buku ini turut menyediakan panduan undang-undang yang perlu dipatuhi peniaga dalam talian,” katanya.

Categories
SELANGOR

SITEC rancak kelas e-commerce, tingkat pendapatan peniaga

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 OGOS: Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (SITEC) komited menganjurkan lebih banyak kelas e-commerce kepada peniaga dalam meningkatkan pengetahuan dan jumlah produk.

Ketua Eksekutif SITEC, Yong Kai Ping, berkata usaha membimbing industri kecil dan sederhana (IKS) itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan antara penjual dan pengguna sekali gus melonjakkan pendapatan.

“Pelan jangka masa panjang SITEC, kita mahu menganjurkan lebih banyak kelas e-commerce untuk meningkatkan pengetahuan tentang perkara itu.

“SITEC komited membimbing peniaga untuk mereka meningkatkan jumlah produk,” katanya kepada SelangorKini.

SITEC 2Kai Ping berkata, SITEC turut mengadakan lawatan ke Taipei, Taiwan bagi memupuk penjualan ‘Cross-Border-Trading’.

SITEC yang ditubuhkan sejak Jun 2016 berjaya menganjurkan 90 Kelas e-commerce untuk menyebarkan pengetahuan sistematik tentang e-commerce yang ditujukan kepada IKS atau ‘Brick’ serta ‘Mortar shop’ kepada penjual online.

“Kelas e-commerce menerima sambutan memberangsang dengan purata kedatangan kelas amat memberangsangkan sehinggga kelas disertai oleh 100 orang secara amnya setiap kali diadakan.

“SITEC berjaya membimbing IKS sebanyak 190 dalam masa 13 bulan dan mencatatkan hasil jualan sebanyak 1.3 Juta ringgit,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

SITEC anjur simposium jualan atas talian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OGOS : Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) menganjurkan simposium pengurusan perdagangan elektronik (E-Commerce) menerusi pembentangan kertas putih dalam rangka perbincangannya.

Bertempat di SDCC, I-City Shah Alam, 8 Ogos ini, simposium dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Invest Selangor dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat awam terhadap produk jualan atas talian.

Simposium mini turut melibatkan penyertaan produksi atas talian seperti Lazada, 11Street, Lelong.my, Youbeli, LogOn.my, MudahMy, Photobook Malaysia dan ClickAsia.my.

Ia juga bakal disertai beberapa syarikat pembayaran atas talian, seperti Ipay88, MolPay, BillPlz, SenangPay dan produksi logistik dari Zylemm, PosLaju, Pos Malaysia, GDEC, Ta-Q-Bin dan SkyNet.

Sitec dalam kenyataannya berkata, penganjuran simposium ini diadakan untuk memberi penekanan terhadap prospek perniagaan atas talian yang dilihat mampu menjana keuntungan sehingga US$200 bilion pada 2025.

echackathon-1080x675“SITEC komited meningkatkan industri perniagaan atas talian di Selangor.

“Kita ingin memastikan isu pengguna mendapat pemahaman menyeluruh terhadap industri jualan atas talian ini secara efektif,” katanya.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi Cik Fatin Fadila menerusi [email protected] atau melayari laman bitt.ly/sitecbph16.

-nR-