Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Bukit Malawati Xploride 2018 promosi Kuala Selangor destinasi pelancongan dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Bukit Malawati Xploride 2018 dijangka mampu memberi impak besar dalam mempromosikan Kuala Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan antarabangsa yang menarik di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini berikutan acara kayuhan disertai 1,000 peserta ini turut membabitkan beberapa laluan tarikan pelancong bertaraf antarabangsa.

“Pada asasnya kawasan ini terkenal dalam kalangan pelancong antarabangsa dan statistik menunjukkan ada peningkatan sangat baik kedatangan pelancong China dan Jepun di beberapa aset menarik terutama Sky Mirror dan kelip-kelip di Kampung Kuantan.

“Aset ini boleh dikatakan bertaraf dunia kerana hanya beberapa tempat sahaja di dunia yang ada keistimewaan seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di tapak pelepasan peserta di kaki Bukit Malawati, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kuala Selangor turut menjadi tumpuan peminat dan pengkaji mergastua apabila terdapat kawasan persinggahan burung migrasi pada setiap tahun.

Sebelum itu, Amirudin dan Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli sama-sama melepaskan kira-kira 1,000 peserta kayuhan anjuran Pejabat Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati itu.

Selain peserta tempatan, acara itu juga berjaya menarik penyertaan peserta luar Selangor dan luar negara seperti Jepun dan China.

Kayuhan membabitkan dua kategori 20 dan 50 kilometer itu turut disertai Amirudin dan Juwariya.

Categories
SELANGOR

Menteri Besar bakal jumpa menteri bincang isu kilang plastik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan Selangor akan mengambil langkah lebih tegas bagi menangani permasalahan kilang plastik di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, disebabkan itu pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, dalam masa terdekat.

“Daripada menghantar surat kepada kementerian, saya rasa lebih baik Kerajaan Selangor terus berjumpa bagi membincangkan langkah komprehensif dengan pihak kementerian.

“Perbincangan itu akan mengkhususkan kepada pemberian lesen import (AP) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Hi-Tea bersama pengamal media di Hotel Concorde, semalam.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan Amirudin akan menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan supaya tidak lagi membenarkan kemasukan sisa plastik terutama dalam bentuk pukal yang besar.

Pada masa sama, beliau juga memberikan kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan sekiranya wujud skandal kilang plastik tersebut.

“Itu SPRM sudah boleh siasat bila-bila masa sahaja, dan langkah Kerajaan Negeri amat jelas, kilang ini perlu ditutup kerana kesannya amat parah kepada alam sekitar,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Jelajah Maju Bersama diteruskan ke Gombak, Sabak Bernam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 OKT : Program Jelajah Maju Bersama yang dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari akan diteruskan ke Gombak dan Sabak Bernam tidak lama lagi.

Amirudin berkata, namun ia akan ditangguhkan sementara waktu selepas tamat Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dan sekembalinya beliau dari Timur Tengah.

“Saya akan meneruskan jelajah ini selepas selesai lawatan di Timur Tengah yang akan bermula Isnin hadapan,” katanya kepada media selepas Majlis Hi-Tea di Hotel Concorde, semalam.

Jelajah Maju Bersama merupakan pendekatan Amirudin yang menjadi mata dan telinga, sekali gus mencari penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap daerah tidak tercicir dalam enam kluster pintar sedia ada yang membabitkan pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan.

Sebelum ini Amirudin sudahpun menggerakkan siri jelajahnya ke dua daerah iaitu Hulu Selangor dan Sepang.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

‘Jelajah Maju Bersama’ pendekatan terbaharu Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jelajah Maju Bersama merupakan pendekatan terbaharu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang menjadi mata dan telinga sekali gus, sumber penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat di negeri itu.

Amirudin berkata, pendekatan itu juga bagi menyemarakkan lagi semangat kerjasama dan kebersamaan pemimpin bersama rakyat termasuk ketua kampung, badan bukan kerajaan (NGO) dan penjawat awam di peringkat daerah.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap daerah tidak tercicir dalam enam kluster pintar sedia ada yang membabitkan pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan.

“Dengan hasrat mahu merakyatkan ekonomi supaya ia dapat dikongsi bersama, saya percaya hanya dengan mendekati rakyat dan pemimpin akar umbi dapat menyerlahkan keberkesanan kerjasama erat pemimpin bersama rakyat.

“Ia tidak hanya bersifat ‘one stop’ malah ia akan disemarakkan ke sembilan buah daerah di negeri Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

“Melalui program ini, kesemua sembilan daerah di negeri ini akan dapat lebih merakyatkan pentadbiran. Lebih penting untuk kita kenalpasti adalah hasil limpahan ekonomi dapat dirasai segenap lapisan,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata, ia merupakan jawapan terbaik dan aduan yang terbuku serta membebani rakyat selama ini dapat terus disalurkan tanpa sebarang birokrasi.

“Sebelum ini ramai yang menyuarakan masalah yang dihadapi terutama dalam era media sosial tetapi berakhir dengan ratusan komen yang mempertikaikan kecekapan tindakan diambil.

“Apabila hasil daripada maklumat susulan, ia menunjukkan bahawa aduan permasalahan itu tidak disalurkan kepada saluran yang betul,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mahu rakyat mengikis prasangka lama yang menyatakan wujudnya daerah terpinggir atau disisihkan dari arus pembangunan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mahu lagi ada sebilangan rakyat merasakan dipinggirkan dan tidakmendapat pembelaan sewajarnya.

“Sudah banyak kita dengar dan lihat kisah-kisah menyayat hati sebilangan masyarakat negeri ini, membabitkan wanita, ibu tunggal, kanak-kanak dan warga emas. Kita tidak mahu menjadi tangan yang hanya membantu dan kemudian berlalu pergi tanpa tindakan susulan diambil.

“Negeri itu wujud kerana wujudnya rakyat di dalamnya, dan rakyat itu wujud kerana terdapat hasil bumi dan keselesaan di dalamnya. Jadi sudah menjadi satu kewajipan pemimpin yang dipilih rakyat untuk memastikan keselesaan dan kemakmuran itu terjamin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu usaha mengekalkan keselesaaan dan menjadikan Selangor sebagai sebuah ‘Lembah Kemakmuran’ terulung di negara ini terus diperkasakan.

“Terdapat beberapa sektor utama dikenalpasti untuk dibangunkan di setiap daerah dan ia diyakini mampu melonjakkan lagi pembangunan masyarakat dan ekonomi dan merealisasikan hasrat negeri Selangor untuk menjadi ‘Regional Smart State’ di Asia Tenggara,” katanya.