Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Maju Bersama Daerah Kuala Selangor bermula

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Dato’ Menteri Besar memulakan program Jelajah Maju Bersama ke Daerah Kuala Selangor hari ini, bagi mendekati rakyat serta melihat lebih dekat permasalahan di kawasan setempat.

Bermula seawal 6 pagi, Amirudin Shari tiba di perkarangan Masjid Jamek Sultan Ibrahim bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.

Usai di masjid, beliau bergerak ke Restoran Miah Corner, Taman Bendahara bagi menikmati sarapan disediakan sambil beramah mesra bersama penduduk setempat.

Pengunjung restoran turut mengambil peluang bersalaman dan merakam gambar kenangan bersama Amirudin.

Daerah Kuala Selangor merupakan lokasi terakhir Jelajah Maju Bersama sebelum menyambut ketibaan Ramadan, awal Mei depan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua dijadualkan menghadiri perhimpunan pagi bersama penjawat awam serta mendengar taklimat pembentangan laporan daerah Kuala Selangor.

Sekitar 10 pagi, beliau akan berada di Dewan Raja Lumu, Pejabat Agama Daerah Kuala Selangor bagi sesi ‘townhall’ sebelum berangkat ke Masjid Jamiul Muhammadiah, Kampung Kuantan untuk menunaikan solat Jumaat.

Jelajah itu juga akan disertai EXCO Kerajaan Negeri di beberapa lokasi ditetapkan sebelum berkumpul dan melawat Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya.

Categories
SELANGOR

Jelajah Maju Bersama teroka Kuala Langat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 12 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, memulakan lawatan kerja melalui program Jelajah Maju Bersama ke daerah Kuala Langat, hari ini.

Program dimulakan dengan menunaikan solat Subuh berjemaah bersama penduduk setempat di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, pagi tadi.

Beliau seterusnya memulakan perhimpunan pagi bersama penjawat awam di Dewan Sri Jugra, Telok Datok sebelum mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat.

Beliau kemudiannya dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Banting sebelum memulakan lawatan tapak di beberapa kawasan sekitar Kuala Langat.

Seusai solat Jumaat, Amirudin akan melawat tapak Paragliding, Bukit Jugra untuk mencuba sendiri sukan lasak itu disusuli lawatan ke Taman Rekreasi Paya Bakau, Sijangkang.

Manakala, pada sebelah petang pula Amirudin melakukan lawatan ke Ladang Teh Boh Plantation, Bukit Cheeding, Banting.

Program bakal diteruskan dengan mengadakan lawatan bagi menyelesaikan masalah kesesakan Jalan Bandar Saujana Putra, Surau Al-Ikhlas, di sini.

Manakala, pada sebelah malam pula, Amirudin akan mengadakan Sesi Townhall bersama wakil penduduk bagi mendengar sendiri permasalahan rakyat di daerah terbabit.

Jelajah Maju Bersama adalah pendekatan Amirudin yang menjadi mata dan telinga, sekali gus mencari penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat, di Selangor.

Kerajaan Negeri akan memastikan setiap daerah tidak tercicir dalam enam kluster pintar sedia ada membabitkan pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan.

 

Categories
SELANGOR

‘Roti canai terowong’ buka tirai Jelajah Maju Bersama

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 12 APRIL: Pemilik gerai Firdaus Cafe, di Kampung Kanchong Darat terharu apabila Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersarapan pagi bersama penduduk kampung di gerainya.

Abdullah Pangat, 33, menyifatkan kesudian pemimpin nombor satu negeri itu menikmati hidangan istimewa roti terowong di gerainya adalah satu kebanggaan.

“Sebenarnya gerai kami tutup setiap Jumaat tetapi hari ini kami buka khas untuk Menteri Besar merasai sendiri hidangan roti canai terowong yang pernah tular sebelum ini.

“Saya agak terkejut apabila dimaklumkan ada pegawai Menteri Besar yang pernah merasai hidangan itu mencadangkan gerai saya,” katanya kepada Media Selangor.

Katanya, antara ramuan roti canai terowong adalah kerang, ayam goreng rangup dan sotong yang digulung di dalam roti canai telur.

Gerai terbabit turut menyediakan pelbagai variasi roti canai, antaranya roti canai paip pecah, raksaksa, mata air, hot, fiedol, mata hari serta rama-rama.

Program bersarapan bersama penduduk sebagai permulaan Jelajah Maju Bersama Daerah Kuala Langat itu menyaksikan Amirudin meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk beramah mesra bersama penduduk setempat.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin dan pegawai kerajaan.

Sebelum itu, Amirudin turut menunaikan solat subuh bersama penduduk di Masjid As-Solihin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB jelajah universiti, dekati anak Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 20 FEB: Program Jelajah Maju Bersama yang sinonim dengan Amirudin Shari, diperluaskan ke peringkat universiti, bagi mendekati anak Selangor.

Jelajah itu secara rasmi membuka tirai, semalam dengan Dato’ Menteri Besar berkunjung ke Universiti Putra Malaysia (UPM), untuk menjelaskan program dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Bercakap kepada Media Selangor, Amirudin berkata, inisiatif itu juga memberi peluang kepada beliau untuk berinteraksi secara dekat dengan pihak universiti.

“Melalui jelajah ini, kita mahu mengetengahkan gagasan dan bantuan dilaksanakan Kerajaan Negeri yang disediakan khas kepada anak Selangor.

“Antara pengisian yang akan diketengahkan adalah kita akan mengadakan sesi dua hala seperti ‘town hall’ atau membuka gerai pameran seperti Smart Selangor supaya mereka boleh melihat sendiri program itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar di Universiti Awam 2019, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya tidak menyasarkan jumlah universiti yang akan dilawati, sebaliknya fokus meneruskan jelajah itu dari semasa ke semasa.

“Kita tiada sasaran untuk melawat berapa (jumlah) universiti dan ia tidak semestinya akan habis dalam tahun ini kerana jelajah ini akan berlaku dari semasa ke semasa.

“Selain itu, sesi jelajah ini akan diadakan sehingga ke Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah kerana saya difahamkan terdapat anak Selangor juga belajar di sana,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jelajah Maju Bersama teroka Hulu Langat

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 15 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memulakan lawatan kerja hari ini melalui program Jelajah Maju Bersama ke daerah Hulu Langat.

Program dimulakan dengan perhimpunan pagi dan bersarapan bersama penjawat awam sebelum beliau
mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Beliau kemudiannya dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hasanah dan menyertai majlis kenduri rakyat serta penyerahan sumbangan .

Pada sebelah petang pula, beliau akan turun ke tapak rancangan tebaran banjir Sungai Semenyih dan mendengar taklimat Jabatan Pengairan dan Saliran Hulu Langat.

Program bakal diteruskan dengan Majlis Penyerahan Bangunan Sekolah Rendah Agama Kampung Batu 3, Semenyih oleh UEM Sunrise Berhad dan ke Majlis Penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat serta geran tanah, di Dewan Orang Ramai Semenyih.

Manakala, pada sebelah malam pula, Amirudin akan menyertai dialog bersama pemimpin masyarakat, di daerah berkenaan di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat.

Jelajah Maju Bersama adalah pendekatan Amirudin yang menjadi mata dan telinga, sekali gus mencari penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat, di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap daerah tidak tercicir dalam enam kluster pintar sedia ada membabitkan pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan.

Sebelum ini, Amirudin sudah menggerakkan siri jelajahnya ke beberapa daerah antaranya Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Sepang serta Klang.

Categories
SELANGOR

Jelajah Maju Bersama diteruskan di daerah Petaling

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JAN: Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari diteruskan di daerah ke lima iaitu Petaling, hari ini.

Ia dimulakan dengan perhimpunan pagi dan sarapan bersama penjawat awam sebelum mesyuarat bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Bagaimanapun, mesyuarat MMKN itu terpaksa dibatalkan susulan kematian Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor.

Amirudin berkata, program itu kesinambungan jelajah tahun lepas, yang mensasarkan turun padang di sembilan daerah negeri berkenaan.

“Daerah Petaling ini merupakan nadi penting pembangunan dalam negeri ini. Pastinya pertemuan awal tahun ini wajar memberi manfaat dan seharusnya ia memberi arah tuju penting bagi meneruskan kecemerlangan negeri maju.

“Diperingkat Kerajaan Negeri, kami tidak mahu rakyat ketinggalan untuk berkongsi kejayaan dan kemajuan dikecapi negeri.

“Oleh itu, dalam konteks penting ‘Maju Bersama’, kita mengajak semua pihak untuk sederap selangkah bersama Kerajaan Negeri mensejahterakan rakyat dan merancakkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan amanat kepada penjawat awam di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri dijangka akan mengadakan jelajah disetiap parlimen di negeri itu selepas berakhir di sembilan daerah nanti.

“Dalam tempoh lima tahun ini, kami menyasarkan untuk turun padang ke setiap pelusuk negeri.

“Oleh itu, selepas ini kami menjangkakan akan turun padang ke semua parlimen selepas berakhir program jelajah maju bersama,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Rakyat Sabak Bernam dilimpahi manfaat sumbangan Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Pelbagai manfaat diterima rakyat menerusi Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ke daerah Sabak Bernam, hari ini.

Program sehari itu diserikan dengan Majlis Penyerahan Notis 5A dan 4A, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa II dan Penyerahan Bantuan Masjid, Surau, Sekolah Rendah Agama dan KAFA Integrasi di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar.

Amirudin yang tiba sekitar 12.30 tengahari menyerahkan Notis 5A kepada 69 penerima sementara 15 yang lain diberikan surat kelulusan lesen menduduki sementara (TOL).

Tidak ketinggalan, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Soffan Affendi Aminudin turut menyumbangkan RM125,000 bagi memperkasa institusi agama seperti masjid, surau, sekolah rendah agama (SRA) di sekitar Sabak Bernam.

Turut diraikan dalam majlis sama 55 penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang terdiri daripada beberapa mukim setempat.

Amirudin yang ditemui sejurus selesai majlis penyerahan berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan komitmen membantu rakyat khususnya memiliki kediaman sendiri.

Beliau kemudiannya menunaikan solat Jumaat bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan disusuli Majlis Kenduri Rakyat.

Categories
SELANGOR

Jelajah Maju Bersama daerah Sabak Bernam ‘prestij’ & ‘istimewa’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 5 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam mengalukan kunjungan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari termasuk barisan kepimpinan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sempena Jelajah Maju Bersama yang dijadual berlangsung, pada 9 November ini.

Pegawai Daerahnya, Nasir Mamat berkata, pihaknya sudah bermesyuarat dan membuat perbincangan terperinci dengan menyelaras setiap tindakan bagi memastikan agenda program berjalan sempurna.

Katanya, ia disifatkan sebagai satu kunjungan berprestij dan istimewa bagi daerah berkenaan.

“Kita memanggil semua jabatan di daerah ini supaya turut serta menjayakan setiap program diatur bersama Dato’ Menteri Besar dan EXCO terbabit.

“Banyak program sudah dirancang dalam tempoh singkat ini dan ia sekali gus memberi peluang kepada penjawat awam daerah Sabak Bernam untuk berinteraksi bersama pimpinan Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, lawatan turun padang itu adalah saat paling dinantikan setiap lapisan masyarakat, di daerah terbabit.

“Ini kesempatan yang baik untuk masyarakat setempat berjumpa, mengadu hal atau masalah dan memberi cadangan yang boleh memberi manfaat, pada masa akan datang.

“Kita mahu membawa misi Kerajaan Negeri bahawa setiap masalah yang timbul dalam kalangan penduduk dapat diselesaikan,” katanya.

Difahamkan, Amirudin akan menghadiri perhimpunan pagi bersama kira-kira 450 penjawat awam daerah Sabak Bernam, di Dewan Seri Bernam sebelum mempengerusikan Mesyuarat EXCO, pada sebelah pagi.

Selepas itu, beliau dijangka menunaikan Solat Jumaat di Masjid Padu Permai sebelum menyantuni masyarakat, pada Jamuan Rakyat dan seterusnya mengadakan lawatan di beberapa kawasan sekitar daerah Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri teruskan tanggungjawab semarak institusi agama

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 26 OKT: Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyalurkan sumbangan RM60,000 kepada 20 buah institusi agama sempena program menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Sumbangan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sempena Jelajah Maju Bersama ke Daerah Gombak di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, hari ini.

Setiap institusi agama terdiri daripada masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) masing-masing menerima sumbangan RM5,000.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noor Azmie Diron; Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim; Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan bantuan pembiayaan perniagaan Hijrah Selangor (HIJRAH) berjumlah RM351,000 bagi Daerah Gombak.

Bagi Sumbangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua, 10 buah institusi agama menerima sumbangan al-Quran, tiga buah komputer riba manakala sumbangan baik pulih Bangunan KRT berjumlah RM32,000.

Amirudin bersama rombongan Kerajaan Negeri sebelum itu menunaikan solat fardhu Jumaat dipimpin Imam 3 Masjid Jamek Al-Amaniah, Nasrul Yaqin Abdullah dengan tajuk khutbah ‘Akhlak Mulia Cerminan Solat Sempurna’.

Dalam ucapannya beliau berharap sumbangan diberikan kepada institusi agama dapat menambahkan lagi aktiviti ilmu di samping menjadi pusat pertemuan rakyat dan penyatuan ummah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hulu Selangor pilihan Jelajah Maju Bersama Siri 2

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA KUBU BAHRU, 28 SEPT: Program Jelajah Maju Bersama Siri kedua bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berlangsung di daerah Hulu Selangor, hari ini.

Ia dimulakan dengan perhimpunan pagi dan sarapan bersama penjawat awam sebelum mesyuarat bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dimulakan, di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.

Amirudin berkata, program itu bermula dengan pertemuan bersama penjawat awam kerana mereka adalah nadi kepada kemajuan dan pembangunan negeri.

“Sebelum bertemu rakyat, kita mahu bertemu kakitangan kerajaan terlebih dahulu.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, Selangor mencatatkan kejayaan daripada segi angka, data mahupun ekonomi dan sosial hasil keupayaan penjawat awam bekerja dengan penuh integriti,” katanya pada perhimpunan pagi dan sarapan bersama penjawat awam, di sini.

Katanya, ketika mula mengambil alih pentadbiran pada awal 2008, ramai penjawat awam ketika itu tidak selesa dengan pentadbiran kerajaan baharu, namun kesepakatan pimpinan tercapai selepas 10 tahun.

Amirudin berkata, pemimpin parti politik sering bersilih ganti, namun penjawat awam kekal sebagai ejen pelaksana.

“Sehubungan itu, kita perlu mengekalkan konsep hormat-menghormati antara pemimpin politik mahupun penjawat awam kerana masing-masing senada seirama memastikan arah perjalanan berjaya dilaksana sehingga akar umbi,” katanya.

Program itu turut menyaksikan Amirudin melawat Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa, tapak isu Brownfield dan tapak jalan Missing Link.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

‘Jelajah Maju Bersama’ pendekatan terbaharu Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jelajah Maju Bersama merupakan pendekatan terbaharu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang menjadi mata dan telinga sekali gus, sumber penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat di negeri itu.

Amirudin berkata, pendekatan itu juga bagi menyemarakkan lagi semangat kerjasama dan kebersamaan pemimpin bersama rakyat termasuk ketua kampung, badan bukan kerajaan (NGO) dan penjawat awam di peringkat daerah.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap daerah tidak tercicir dalam enam kluster pintar sedia ada yang membabitkan pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan.

“Dengan hasrat mahu merakyatkan ekonomi supaya ia dapat dikongsi bersama, saya percaya hanya dengan mendekati rakyat dan pemimpin akar umbi dapat menyerlahkan keberkesanan kerjasama erat pemimpin bersama rakyat.

“Ia tidak hanya bersifat ‘one stop’ malah ia akan disemarakkan ke sembilan buah daerah di negeri Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

“Melalui program ini, kesemua sembilan daerah di negeri ini akan dapat lebih merakyatkan pentadbiran. Lebih penting untuk kita kenalpasti adalah hasil limpahan ekonomi dapat dirasai segenap lapisan,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata, ia merupakan jawapan terbaik dan aduan yang terbuku serta membebani rakyat selama ini dapat terus disalurkan tanpa sebarang birokrasi.

“Sebelum ini ramai yang menyuarakan masalah yang dihadapi terutama dalam era media sosial tetapi berakhir dengan ratusan komen yang mempertikaikan kecekapan tindakan diambil.

“Apabila hasil daripada maklumat susulan, ia menunjukkan bahawa aduan permasalahan itu tidak disalurkan kepada saluran yang betul,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mahu rakyat mengikis prasangka lama yang menyatakan wujudnya daerah terpinggir atau disisihkan dari arus pembangunan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mahu lagi ada sebilangan rakyat merasakan dipinggirkan dan tidakmendapat pembelaan sewajarnya.

“Sudah banyak kita dengar dan lihat kisah-kisah menyayat hati sebilangan masyarakat negeri ini, membabitkan wanita, ibu tunggal, kanak-kanak dan warga emas. Kita tidak mahu menjadi tangan yang hanya membantu dan kemudian berlalu pergi tanpa tindakan susulan diambil.

“Negeri itu wujud kerana wujudnya rakyat di dalamnya, dan rakyat itu wujud kerana terdapat hasil bumi dan keselesaan di dalamnya. Jadi sudah menjadi satu kewajipan pemimpin yang dipilih rakyat untuk memastikan keselesaan dan kemakmuran itu terjamin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu usaha mengekalkan keselesaaan dan menjadikan Selangor sebagai sebuah ‘Lembah Kemakmuran’ terulung di negara ini terus diperkasakan.

“Terdapat beberapa sektor utama dikenalpasti untuk dibangunkan di setiap daerah dan ia diyakini mampu melonjakkan lagi pembangunan masyarakat dan ekonomi dan merealisasikan hasrat negeri Selangor untuk menjadi ‘Regional Smart State’ di Asia Tenggara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jelajah Maju Bersama bangun ekonomi, makmur negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 14 SEPT: Jelajah Maju Bersama yang dimulakan di Sepang bertujuan mengajak rakyat membangunkan ekonomi dan mengekalkan kemakmuran negeri secara bersama.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jelajah di setiap pelusuk negeri itu turut mengajak rakyat membantu antara satu sama lain ke arah menjadi komuniti penyayang.

“Kerajaan Negeri mahu anak-anak muda dapat bersama-sama kita kali ini untuk bersama membangunkan negeri tanpa meninggalkan komuniti lain.

“Sikap ini perlu ditanamkan dalam diri masyarakat semua penduduk. Menjaga kebajikan bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi secara bersama dengan semua latar belakang untuk merakyatkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Orang Ramai, Kampung Hulu Chuchoh, di sini.

Amirudin berkata, pembangunan yang tidak mengabaikan masyarakat akan membina gedung yang besar dalam membina pelbagai aspek ekonomi.

Pada masa sama, beliau percaya pencapaian ekonomi negara akan jatuh sekiranya ekonomi Selangor berada dalam keadaan kurang memuaskan.

“Sebagai contoh, pada 2017 ketika ekonomi berdepan pelbagai persoalan, tetapi ekonomi negara berada pada 5.9 peratus dan masih baik. Ini hasil daripada sumbangan Selangor.

“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab semu pihak memastikan prestasi cemerlang ekonomi kita dan dalam masa sama, penduduk menikmati pembangunan ini,” katanya.