Categories
SELANGOR

Makmal dadah diserbu, aset lebih RM10 juta disita

SHAH ALAM, 29 NOV: Polis menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi menerusi enam siri serbuan di sekitar Selangor, hasil penahanan 10 lelaki tempatan pada 22 Nov lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata kegiatan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu berjaya dibongkar pihaknya, menerusi serbuan yang dijalankan serentak oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, antara jam 12.10 hingga 4.30 petang sekitar Gombak dan Puchong.

Menerusi serbuan tersebut pihaknya juga turut membongkar aktiviti pemprosesan dadah dipercayai jenis heroin, yang dijalankan di sebuah premis rumah kedai di sekitar kawasan Bukit Puchong, Puchong.

“Hasil serbuan di kesemua lokasi itu, pihak kami telah berjaya merampas sejumlah 19.7 kilogram (kg) dadah heroin base; 43.1kg dadah heroin; 3.2kg pil ekstasi dan 110kg serbuk dadah MDMA dianggar bernilai RM8.09 juta,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

Razarudin berkata bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Selain itu, katanya polis turut merampas dan menyita aset sindiket berkenaan termasuk pelbagai jenis kenderaan mewah, barang kemas serta tindakan pembekuan akaun bank serta wang tunai, bernilai lebih RM2.039 juta.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan lebih RM10 juta,” katanya.

Razarudin berkata saringan awal pihaknya terhadap 10 suspek tersebut mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dan lapan daripadanya mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.

Katanya kes tersebut kini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek telah direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 Nov lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kastam gempur makmal mini proses dadah, suami isteri ditahan

NILAI, 22 MEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semalam menggempur sebuah pangsapuri di Hulu Kelang, yang dijadikan sebagai makmal mini pemprosesan dadah.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam serbuan pada pukul 1.10 tengah hari oleh sepasukan anggota JKDM, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri warga tempatan, yang kedua-duanya berumur 32 tahun.

“Dalam serbuan itu, kita turut menemui seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, disyaki anak kepada pasangan terbabit.

“Kita turut merampas sebuah kotak yang mengandungi lebih kurang 500 biji pil ekstacy mengandungi dadah MDMA, dengan berat kasar 300 gram, tumbuhan hidup disyaki pokok ganja setinggi lebih kurang dua meter dan ketulan mampat disyaki ganja dengan berat kasar lima gram dan serbuk kristal disyaki methamphetamine seberat tiga gram,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif methamphetamine dan telah direman selama enam hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut, manakala perihal anak suspek akan ditentukan oleh mahkamah.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana kesalahan mengedar dadah, Seksyen 6B ADB bagi kesalahan menanam pokok ganja dan Seksyen 15(1)(a) ADB bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan Abdul Latif berkata, pihaknya berjaya merampas sebuah bungkusan di sebuah premis syarikat penghantaran (kurier) di Seri Kembangan, Selangor, yang mengandungi dadah.

“Parcel berkenaan diikrarkan sebagai alat tulis dan dialamatkan ke New Zealand. Hasil pemeriksaan ke atas parcel berkenaan menjumpai balutan plastik lutsinar yang mengandungi serbuk kristal putih disyaki methamphetamine yang disorokkan di dalam marker pen pelbagai warna.

“Berat kasar keseluruhan adalah 600 gram dan nilai rampasan dianggarkan RM24,000 dan tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kita sedang mengesan pengirim dan bagi individu yang menerima kiriman itu di sana, kita akan berkerjasama dengan penguatkuasa di negara berkenaan,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang awam agar terus memberikan kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan lain-lain seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis kesan sindiket ubah makmal dadah ke luar bandar

SHAH ALAM, 7 NOV: Sindiket tempatan kini menjadikan kawasan luar bandar sebagai lokasi makmal memproses dadah bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata, trend berpindah ke kawasan luar bandar itu dikesan berdasarkan pembongkaran beberapa makmal dadah di kawasan luar bandar hasil operasi polis tahun ini.

“Tahun ini sahaja polis berjaya membongkar 19 makmal memproses dadah di seluruh negara dan daripada jumlah itu, terdapat peningkatan dari segi trend lokasi seperti makmal yang kami lumpuhkan terletak di kawasan luar bandar.

“Seperti contoh makmal dadah yang dilumpuhkan di Meru, Klang bulan lepas…makmal itu terletak di luar bandar berhampiran kawasan kampung,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Khalil menasihati penduduk kampung agar membuat laporan polis sekiranya melihat pergerakan kenderaan keluar masuk yang luar biasa di kawasan mereka.

Mengenai anggota polis yang terlibat dalam kegiatan dadah, Mohd Khalil berkata, pengaruh rakan dan tekanan kerja merupakan faktor utama yang membawa kepada penglibatan anggota pasukan keselamatan itu dalam gejala dadah.

Katanya, kerjaya sebagai pasukan keselamatan itu berdepan dengan pelbagai tekanan sehingga mereka menjadikan dadah sebagai sumber hiburan.

“Tidak dinafikan dalam kalangan mereka ini terlibat dengan kegiatan dadah disebabkan pengaruh rakan mereka selain tekanan kerja sebagai polis itu sifatnya mencabar.

“Hasil siasatan dijalankan menerusi tangkapan menerusi Op Blue Devil sejak dilancarkan Ogos lepas mendapati ada juga dalam kalangan mereka menjadikan dadah sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Mohd Khalil berkata, secara keseluruhan Op Blue Devil turut memberikan kesan positif dalam kalangan pegawai dan anggota polis sedia ada dan ada dalam kalangan mereka yang telah melakukan perubahan dalam diri mereka.

“Kami turut mempergiatkan lagi usaha-usaha membendung perkara ini daripada terus berlaku menerusi taklimat terhadap anggota polis pelatih termasuk yang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seramai 190 pegawai dan anggota polis ditahan di seluruh negara selepas didapati positif dadah menerusi Op Blue Devil sejak Ogos lepas.

– BERNAMA