Categories
NASIONAL

Janji ambil alih ikut perlembangaan

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU KELANG, 6 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) berjanji akan mengambil alih negara secara demokrasi dan berpelembagaan sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, tidak timbul huru hara dalam peralihan kuasa kerana PAKATAN sentiasa memelihara demokrasi.

“Saya ingin berpesan pada Ketua Polis Negara, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Pegawai Tinggi Kerajaan yang lain supaya menghormati demokrasi.

“PAKATAN akan mengambil alih mengikut demokrasi, berpelembagaan dan tidak timbul huru hara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat, di sini.

Beliau yang juga calon P111 Kota Raja turut mendakwa Barisan Nasional (BN) kini diibaratkan seperti ais yang semakin mencair.

Katanya, ia berlaku lebih drastik apabila Tun Daim Zainudin, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz menyokong kepimpinan PAKATAN.

“Kita pergi roadshow ke seluruh negara dan kita melihat tsunami rakyat berlaku, di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Juga negeri-negeri lain, kita dibanjiri lautan manusia yang sangat luar biasa,” katanya.

Categories
NASIONAL

Demi masa depan generasi akan datang

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 6 MEI: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan, Nik Omar Nik Aziz menyeru pengundi memilih Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) demi masa depan negara.

Nik Omar turut mendoakan semua pengundi berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

“Peluang ini harus kita guna sebaik mungkin supaya kerajaaan dan pemimpin dapat melaksanakan tugas di bahu mereka.

“Ini peluang merubah negara Malaysia ke arah lebih baik.

“Saya merayu semua pengundi supaya fikirkan kehidupan kita dan generasi akan datang,” katanya.

Nik Omar berkata demikian ketika berucap menerusi lintas langsung pada himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat.

Categories
NASIONAL

Tekad pangkah PAKATAN, jangan termakan ‘dedak’

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 6 MEI: Menjelang hari pengundian pada 9 Mei, pengundi diminta membulatkan tekad untuk kekal mengundi Pakatan Harapan (PAKATAN) dan tidak termakan ‘dedak’ ditaburkan lawan.

Calon Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku demi mengalih perhatian rakyat daripada melakukan perubahan.

“Jangan hilang momentum, banyak dedak akan turun untuk mengalihkan isu. Beri tumpuan kepada kerja kuat supaya tidak terpesong

“Pastikan undi kalian hanya untuk PAKATAN,” katanya pada himpunan Malam Semarak Tsunami Rakyat di Padang AU2, Keramat.

Beliau turut meminta warga Kedah di perantauan untuk pulang mengundi dan yakin PAKATAN mampu membentuk kerajaan di negeri jelapang padi itu.

“9 Mei Kerajaan Pakatan Harapan akan tertubuh di Kedah.

“Tetapi kita masih perlukan suntikan sokongan khusus di perantauan warga Kedah di Selangor untuk balik mengundi,” katanya.