Categories
NASIONAL SELANGOR

Pensyarah: Pentadbiran Umno-BN Ke Arah Malayan Union

SUBANG JAYA 4 JULAI : Corak Pentadbiran Umno-BN kini dilihat mencabuli semangat federalisme yang pernah dipraktikan dahulu dan sudah hampir menyerupai Malayan Union.

Pensyarah Falsafah Sains Universiti Malaya, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ia merujuk kepada tindakan Kerajaan Pusat yang mencabuli hak berperlembagaan negeri yang dilucutkan sejak kebelakangan ini.

“Kita boleh lihat beberapa hak Kerajaan Negeri yang dicampur tangan agak ketara seperti penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung ‘Persekutuan’,” katanya ketika membentangkan forum bertajuk ‘Ke Arah Pendemokrasian Pilihan Raya di Malaysia: Mitos atau Realiti’ di Dialog Bajet Selangor 2013 di Hotel Grand Dorsett Subang di sini.

Sebelum ini, gagasan Malayan Union ditentang oleh Umno sendiri berikutan mengamalkan dasar-dasar yang berat sebelah seperti British dapat menguasai pentadbiran di negeri-negeri Melayu dan merampas kuasa Raja-Raja Melayu ketika itu.

Sementara itu, dengan bertemakan ‘Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia’, dialog berlangsung selama dua hari ini dapat menyediakan platform perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan rakyat bagi membangunkan ekonomi Selangor.

Tujuan dialog ini adalah bagi mendapatkan input dan menetapkan dasar serta hala tuju Bajet Negeri Selangor Tahun 2013 ke arah menjadikan negeri ini sebuah negeri maju dan terus meneraju ekonomi Malaysia.

Zuhdi berkata, demokrasi bukan hanya pilihan raya tetapi terdapat empat elemen penting iaitu pilihan kepimpinan, pembahagian kuasa, penyertaan rakyat dalam pembangunan serta memperkayakan rakyat yang bertamadun.

“Empat elemen ini merupakan asas kepada prinsip demokrasi yang perlu diamalkan oleh setiap negara membangun,” katanya yang juga Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Tambahnya, Kerajaan Negeri tidak perlu melakukan pemusatan kuasa dan perlu membahagikan kuasa dengan bijak seperti memberikan kuasa tertentu kepada institusi masyarakat.

“Ini merupakan contoh amalan Kerajaan Umno-BN yang memusnahkan institusi federalisme iaitu campur tangan ahli politik dalam institusi kesukanan yang sepatutnya jawatan tersebut perlu diberi kepada ahli sukan yang layak,” katanya.