Categories
AGENDA NASIONAL

KLIA terus alami gangguan sistem

SEPANG, 23 OGOS: Gangguan sistem, yang antara lain mengakibatkan kelewatan penerbangan, masih berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, pasukan mereka masih berusaha untuk menstabilkan sistem itu pada 6 pagi ini.

Para penumpang dinasihati supaya berada di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pesawat mereka berlepas.

Gangguan hubungan itu, yang bermula sejak Rabu malam, menjejaskan sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

MAHB berkata, dalam mengurangkan masalah itu, kesemua 38 tapak pesawat tanpa pintu di terminal utama KLIA digunakan untuk memenuhi keperluan kapal terbang yang tidak dapat bergerak menuju ke pintu yang dijadualkan kerana masih digunakan.

Mereka turut menyediakan empat bas tambahan, di samping perkhidmatan pengendalian daratan bagi syarikat penerbangan untuk melancarkan pergerakan penumpang dengan membawa mereka ke tapak pesawat tanpa pintu dari terminal dan sebaliknya.

“Kami turut melanjutkan waktu operasi di semua lapangan terbang lain di seluruh negara pada malam tadi untuk memenuhi keperluan penerbangan keluar dari Kuala Lumpur yang mengalami kelewatan,” jelas kenyataan itu.

Setakat 10 malam tadi, 68 kelewatan penerbangan telah dilaporkan.

MAHB berkata, mereka turut menyediakan tempat letak kenderaan percuma bagi semua penumpang yang meletak kenderaan mereka di terminal utama KLIA (Blok A, B, C dan D) sehingga 6 pagi Jumaat (23 Ogos) kerana ramai yang menghadapi kelewatan ketibaan penerbangan.

“Kami amat dukacita dengan kesulitan yang dihadapi semua penumpang,” kata MAHB.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tony : ‘Kenapa takut jemput ahli parlimen PR lawat KLIA2 ?’

tony klia2

SHAH ALAM 22 OGOS : Ahli Parlimen  Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang enggan menjemput Ahli Parlimen Pakatan Rakyat melawat tapak kerja KLIA2.

Menurut Tony Pua, sejak dua tahun lalu, beliau meminta satu sesi perjumpaan dengan pihak Menteri dan lawatan ke tapak pembinaan KLIA2.

Kali terakhir permintaan ini dibuat semasa parlimen bersidang pada bulan Jun dan Abdul Aziz menjawab bahawa permintaan ini akan dipertimbangkan.

“Sehingga hari ini, permintaan kami masih belum ditunaikan dan pihak menteri langsung tidak berkeyakinan bahawa projek KLIA2 dapat disiapkan seperti yang dilaporkan.

“Isu kelewatan pembinaan KLIA2 yang sepatutnya siap pada September 2011, dan peningkatan kos pembinaan daripada RM1.7 bilion sehingga memcecah RM4 bilion dibangkitkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sejak dua tahun yang lalu,” kata Tony dalam kenyataan medianya.

Menurut Tony, jaminan sebelum ini yang diberikan pihak kerajaan dan juga Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bahawa kos tidak akan meningkat dan kerja pembinaan tidak akan lewat.

Akan tetapi, akhirnya, pihak MAHB terpaksa mengakui bahawa projek ini tidak dapat disiap mengikut jadual dan kos melonjak ke RM4 bilion.

Kata beliau, pihak kementerian didakwa tidak bersifat telus dan tidak berani berbuat begitu kerana adanya udang disebalik batu yang tidak dilaporkan kepada media mengenai projek ini.

“Kita dapat perhati bahawa sikap MAHB dan Kementerian selama ini adalah untuk menuding jari kepada pihak lain selama ini tanpa mengakui bahawa keputusan MAHB untuk memindahkan tapak KLIA2 dan juga ketidakcekapan pengurusan projek telah menyebabkan penundaan projek berkali-kali.

“Kesemua pihak di atas menafikan tuduhan daripada MAHB dan rakyat masih berkabur dan tidak mendapat kebenaran dalam skandal yang memakan perbelanjaan sebanyak RM4 bilion ini,” kata Tony.

Katanya lagi, akibat peningkatan kos, MAHB sekarang dilaporkan terpaksa meminjam sebanyak RM1 bilion melalui penawaran sukuk dengan kos lebih tinggi.

“Sikap kerahsiaan daripada MAHB dan kementerian menunjukkan bahawa segala jaminan diberi kedua-dua pihak adalah jaminan kosong.

“Dan ada isu besar yang ingin dikuburkan supaya rakyat tidak akan mengetahui kebenaran atau pihak yang bersalah tidak akan dikenakan sebarang hukuman,” katanya.- mza