Categories
AGENDA EKONOMI

Kerajaan utamakan penambahbaikan jaringan kereta api – Kamarudin

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Usaha penambahbaikan jaringan kereta api dan perkhidmatannya sentiasa menjadi keutamaan kerajaan memandangkan ia akan meningkatkan penggunaan awam dan pengangkutan barangan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata perkhidmatan kereta api di Malaysia masih dianggap tidak digunakan secara optimum justeru, kerajaan berharap lebih ramai rakyat di negara ini menggunakan kemudahan itu pada masa depan khususnya apabila projek kereta api utama siap sepenuhnya.

Beberapa projek berskala besar sedang dibangunkan di Lembah Klang seperti Transit Aliran Massa Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan projek Transit Aliran Ringan 3, yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi di samping meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang, katanya.

“Walaupun sistem pengangkutan awam yang cekap merupakan pemangkin pertumbuhan namun pemacunya bergantung kepada komuniti perniagaan.

“Memandangkan kebanyakan anda di sini merupakan warga sektor swasta, saya menyeru anda membuat pertimbangan serius untuk mengembangkan operasi perniagaan anda ke negeri-negeri dan bandar-bandar lain sekali gus membantu mewujudkan pekerjaan baharu untuk rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2020 di sini, hari ini.

Kamarudin berkata bagi memastikan kesalinghubungan di kawasan bandar, kerajaan juga memperluas liputan pengangkutan awam termasuk memperkenalkan tiga laluan baharu tahun lepas bagi perkhidmatan bas percuma GoKL.

Beliau menjelaskan kesalinghubungan bagi perjalanan pengguna menerusi pengangkutan awam sentiasa menjadi cabaran dalam sektor pengangkutan.

Antara strategi untuk menyelesaikannya adalah melalui usaha memanfaatkan teknologi baharu dalam Revolusi Industri Keempat seperti Internet Pelbagai Benda, pembelajaran mesin, analisis data raya dan pengkomputeran awan, katanya.

“Contohnya ‘e-hailing’ merupakan antara penyelesaian bagi perjalanan pengguna. Dalam era digital hari ini, ‘e-hailing’ bukan hanya sebagai penyelesaian pengangkutan, malah berperanan dalam aspek lebih luas termasuk pembayaran lancar dan pewujudan pekerjaan, serta membentuk gaya hidup dan ekonomi,” katanya.

Kamarudin berkata kerajaan juga telah memulakan program pembuktian konsep bagi perkhidmatan teksi motosikal sejak awal Januari di dalam Lembah Klang.

Beliau berkata tempoh percubaan adalah enam bulan dengan matlamat untuk menilai kebolehlaksanaan serta kesesuaian budaya bagi perkhidmatan teksi motosikal mengikut konteks tempatan.

Kerajaan juga perlu memastikan kesaksamaan dan keseimbangan di dalam industri pengangkutan khususnya antara pengendali perkhidmatan pengangkutan awam dalam semangat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, katanya.

Langkah yang diambil kerajaan termasuklah memastikan tahap persaingan lebih baik di dalam industri teksi dan ‘e-hailing’ seperti memberi pilihan kenderaan dan model untuk kegunaan teksi.

Forum satu hari itu dianjurkan bersama Institut Strategi bagi Asia Pasifik Kingsley, Kelab Ekonomi Kuala Lumpur serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tidak pinggir warga teksi

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak meminggirkan kebajikan pemandu dan pengusaha teksi serta telah memberikan bantuan sewajarnya, yang tidak kurang daripada apa diterima daripada kerajaan sebelum ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, jika ada sebarang langkah atau keputusan kerajaan yang dianggap tidak begitu menguntungkan kepada kumpulan tersebut, satu penyelesaian terperinci akan dilakukan.

“Dalam kita mempertimbangkan operasi e-hailing, sudah tentu pertimbangan kita adalah untuk mempastikan bahawa kebajikan pemandu dan pengusaha teksi tidak terjejas dan terabai.

“Tetapi kita sudah tentulah tidak dapat menafikan oleh kerana adanya Grab ini, akan ada pertambahan jumlah perkhidmatan teksi e-hailing, dan ia menjadikan perkhidmatannya kepada rakyat lebih baik kerana mudah untuk rakyat menggunakan perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Kasih Ramadan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal memetik Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail yang mendakwa rata-rata pemandu teksi menyuarakan rasa kecewa dengan pentadbiran kerajaan PAKATAN kerana gagal menjaga kebajikan mereka selepas setahun mentadbir Putrajaya.

Kamaruddin yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak berkata, langkah pihaknya mengenakan syarat yang ketat terhadap penyedia perkhidmatan e-hailing pada masa ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, ia juga menunjukkan kerajaan PAKATAN tidak memberikan kelebihan kepada penyedia perkhidmatan e-hailing berbanding pemandu dan pengusaha teksi.

Terdahulu, Kamaruddin menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 400 penduduk sekitar Parlimen Bandar Tun Razak pada majlis yang dianjurkan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) dengan kerjasama persatuan penduduk Kampung Malaysia Raya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tony : ‘Kenapa takut jemput ahli parlimen PR lawat KLIA2 ?’

tony klia2

SHAH ALAM 22 OGOS : Ahli Parlimen  Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang enggan menjemput Ahli Parlimen Pakatan Rakyat melawat tapak kerja KLIA2.

Menurut Tony Pua, sejak dua tahun lalu, beliau meminta satu sesi perjumpaan dengan pihak Menteri dan lawatan ke tapak pembinaan KLIA2.

Kali terakhir permintaan ini dibuat semasa parlimen bersidang pada bulan Jun dan Abdul Aziz menjawab bahawa permintaan ini akan dipertimbangkan.

“Sehingga hari ini, permintaan kami masih belum ditunaikan dan pihak menteri langsung tidak berkeyakinan bahawa projek KLIA2 dapat disiapkan seperti yang dilaporkan.

“Isu kelewatan pembinaan KLIA2 yang sepatutnya siap pada September 2011, dan peningkatan kos pembinaan daripada RM1.7 bilion sehingga memcecah RM4 bilion dibangkitkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sejak dua tahun yang lalu,” kata Tony dalam kenyataan medianya.

Menurut Tony, jaminan sebelum ini yang diberikan pihak kerajaan dan juga Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bahawa kos tidak akan meningkat dan kerja pembinaan tidak akan lewat.

Akan tetapi, akhirnya, pihak MAHB terpaksa mengakui bahawa projek ini tidak dapat disiap mengikut jadual dan kos melonjak ke RM4 bilion.

Kata beliau, pihak kementerian didakwa tidak bersifat telus dan tidak berani berbuat begitu kerana adanya udang disebalik batu yang tidak dilaporkan kepada media mengenai projek ini.

“Kita dapat perhati bahawa sikap MAHB dan Kementerian selama ini adalah untuk menuding jari kepada pihak lain selama ini tanpa mengakui bahawa keputusan MAHB untuk memindahkan tapak KLIA2 dan juga ketidakcekapan pengurusan projek telah menyebabkan penundaan projek berkali-kali.

“Kesemua pihak di atas menafikan tuduhan daripada MAHB dan rakyat masih berkabur dan tidak mendapat kebenaran dalam skandal yang memakan perbelanjaan sebanyak RM4 bilion ini,” kata Tony.

Katanya lagi, akibat peningkatan kos, MAHB sekarang dilaporkan terpaksa meminjam sebanyak RM1 bilion melalui penawaran sukuk dengan kos lebih tinggi.

“Sikap kerahsiaan daripada MAHB dan kementerian menunjukkan bahawa segala jaminan diberi kedua-dua pihak adalah jaminan kosong.

“Dan ada isu besar yang ingin dikuburkan supaya rakyat tidak akan mengetahui kebenaran atau pihak yang bersalah tidak akan dikenakan sebarang hukuman,” katanya.- mza