KUALA LUMPUR, 15 JAN: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) melanjutkan pelaksanaan moratorium pinjaman sekurang-kurangnya hingga Ogos ini bagi pekerja yang terjejas oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata sikap berdiam diri BNM dalam isu itu tidak membantu masyarakat yang terjejas.
“Moratorium harus dilaksanakan segera untuk semua jenis pinjaman bank bagi membantu mereka yang terkesan oleh PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar syarikat insurans dilarang daripada menaikkan premium ketika pandemik masih menjejaskan ekonomi, selain kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada pekerja yang terkesan.
KUALA LUMPUR, 21 MEI: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan segera menyemak senarai kawalan harga untuk barangan makanan penting pada musim perayaan tahun ini dan menambah senarai barang yang lebih komprehensif.
Presidennya Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata berdasarkan senarai kawalan harga dikeluarkan kerajaan hanya terhad kepada barangan tertentu seperti ayam, telur, daging, kelapa parut dan kelapa biji, yang tidak mencukupi terutama untuk menyambut perayaan penting seperti Hari Raya.
“Ikan tidak termasuk; ia adalah satu daripada item yang harganya meningkat dengan ketara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sayur-sayuran seperti kubis, kentang, bawang, bawang putih, cili juga adalah bahan makanan penting yang tidak disenaraikan, harga beberapa barangan ini meningkat mendadak.
“Satu cara membantu pengguna adalah agar kerajaan mempunyai kawalan harga yang luas supaya banyak barangan penting mampu dimiliki dan penjual tidak mengambil kesempatan daripada musim perayaan untuk menaikkan harga dan membuat keuntungan berlebihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan harus membantu pengguna dengan mengekalkan harga makanan penting pada harga rendah supaya mampu dibeli oleh pengguna biasa pada musim perayaan ini, terutama pada masa ini ramai pengguna menghadapi tekanan kewangan yang teruk.
Selain itu, Fomca juga menyeru penggubal dasar agar kerap turun padang, jadi mereka akan memahami kebimbangan dan kesusahan rakyat terutama kalangan isi rumah golongan B40 dan M40 yang akan membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik.
PETALING JAYA 15 MAC : Sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen bagi menuntut bank supaya memberikan penyata bulanan secara percuma kepada pemegang akaun simpanan.
Kempen ?Hak Mendapatkan Penyata Simpanan Saya? itu akan digerakan menerusi laman sosial ‘Facebook’ kata Presiden FOMCA, Datuk Marimuthu Nadason.
“Sekarang, kebanyakan bank tidak lagi mengeluarkan buku bank atau penyata aliran dan jika pengguna perlu membuat pembayaran serendah RM2 dan adakala sehingga RM5O bagi sehelai penyata.
“Selain itu, buku bank dan penyata ini juga penting sebagai bahan bukti aliran kewangan pengguna secara hitam putih bukan sekadar melalui internet dan sebagainya,” ujar Marimuthu dalam satu sidang media yang diadakan di Bangunan SKPPK di sini pagi tadi.
Selain itu, FOMCA turut mendesak kerajaan pusat untuk memberi perhatian terhadap beberapa isu berkaitan sektor perbankan yang mengelirukan pengguna.
“Pihak bank sering mengemukakan terma dan syarat yang tidak jelas atau kontrak berat sebelah, sikap tidak peduli aduan pengguna, caj tersembunyi serta perkhidmatan pelanggan yang tidak memuaskan.
“Kadangkala juga mereka sengaja menangguhkan urusan pengguna untuk selesaikan masalah, mereka mengatakan ya tapi dalam masa yang sama memberikan pelbagai kerumitan terhadap pengguna.?
Marimuthu menambah undang-undang perbankan seharusnya diperketatkan lagi untuk mengawal sikap sambil lewa pihak bank.
Kempen ini akan berlangsung selama 45 hari bermula hari ini dan pengguna hanya perlu menekan butang ‘suka’ (like) di Facebook: Right to My Statement bagi menyatakan sokongan.
“Apabila sudah mencapai sasaran sokongan, kita akan memastikan Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan arahan kepada bank-bank seluruh Malaysia untuk memenuhi tuntutan pengguna.”
Marimuthu mensasarkan sokongan daripada 500,000 pelayar Facebook untuk kempen ini.