Categories
AGENDA NASIONAL

Ratusan premis dikompaun gagal patuh skim harga maksimum hari raya

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM64,050 serta menyita barangan bernilai RM52,897.31 sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP HRP 2021) yang bermula dari 21 April hingga 20 Mei lepas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata sebanyak 73 aduan diterima sepanjang tempoh itu yang kesemuanya telah disiasat dan akan diambil tindakan.

Beliau berkata sebanyak 51,138 pemeriksaan ke atas premis di seluruh negara dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

“Sebanyak 454 tindakan undang-undang telah dikenakan iaitu 91 kes kerana menjual melebihi harga maksimum, 186 kes kerana gagal menggunakan tanda harga khas dan 177 kes tiada tanda harga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata secara keseluruhannya, didapati kadar pematuhan dalam kalangan peniaga adalah tinggi pada 99 peratus yang mana barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang telah ditentukan kerajaan.

“Malah, sesetengah barangan harga terkawal didapati dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan. Senario positif ini berlaku kerana persaingan yang sihat selain faktor penawaran dan permintaan yang seimbang di pasaran,” katanya.

Azman berkata kejayaan SHMMP HRP 2021 mendorong KPDNHEP untuk meneruskan pelaksanaan SHMMP bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 yang akan disambut tidak lama lagi.

Pengumuman mengenai senarai barangan yang terlibat dan harga maksimum akan dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Isnin ini (24 Mei), katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Pemimpin, pegawai negeri ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

 

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim

Syukur kerana kita masih dapat meraikan Aidilfitri, dikesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesalahan, keterlanjuran kata, terguris hati serta perasaan semua. Jangan simpan dalam hati

Ng Suee Lim
Speaker Dewan Negeri Selangor

 

 

Kerajaan giat melaksanakan pelbagai inisiatif supaya ekonomi terus berkembang dan ditingkatkan di saat mengharungi pandemik Covid-19. Dalam menempuh Aidilfitri ini, raikanlah dengan meriah bersama anggota keluarga dengan mematuhi SOP ditetapkan. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin

Dato’ Nor Azmie Diron
Setiausaha Kerajaan Negeri

Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Semoga di sebalik ujian ini kita akan lebih teguh memperkukuh ikatan persaudaraan dan meraikannya dengan penuh keinsafan. Sambutlah hari lebaran ini dengan berhemah, elakkan pembaziran dan amalkan berjimat cermat. Salam Aidilfitri.

Dato’ Haris Kasim
Pegawai Kewangan Negeri

 

Saya dan seluruh warga Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor mengucapkan Selamat Hari Raya kepaa seluruh umat Islam di Selangor. Dalam kegembiraan kita menyambut hari lebaran, amat penting untuk terus komited mematuhi SOP. Semoga Aidilfitri tahun ini lebih diberkati.

Dato’ Salim Soib @ Hamid
Penasihat Undang-undang Negeri

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Walaupun suasana sambutan ketika kita berperang dengan Covid-19, namun saya harap anda semua gembira dengan perayaan ini. Jangan lupa terus patuh dengan SOP.

Dato’ Teng Chang Khim
EXCO Pelaburan Perdagangan dan
Perindustrian, Industri Kecil Sederhana

Marilah kita menyambut lebaran dengan penuh keinsafan. Raikan Aidilfitri dengan kebiasaan baharu dan mematuhi SOP. Perjuangan kita belum berakhir, ayuh bersama memutuskan rantaian Covid-19. Kita mampu lakukan.

Rodziah Ismail
EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar,
Pembangunan Usahawan

Ambillah kesempatan Aidilfitri untuk kunjung mengunjungi sebagai tanda hormat dan saling bermaafan. Saya yakin, amalan ini akan dapat menjadi satu pelaburan yang memberikan dampak besar sekali gus menyumbang kepada keharmonian Kerajaan Negeri dan Malaysia. Salam Aidilfitri.

Ganabatirau Veraman
EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi, Kebajikan
Masyarakat, Pemberdayaan Pekerja

Selamat Hari Raya, semoga Syawal memberi kita kekuatan selepas sebulan berpuasa. Raikanlah dengan penuh kegembiraan dan kesederhanaan semoga membawa 1001 rahmat kepada kita semua.

Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam,
Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

Ambilah kesempatan Aidilfitri untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hee Loy Sian
EXCO Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi
Hijau, Hal Ehwal Orang Asli

Sudah masuk tahun kedua kita dilanda Covid-19. Kini, kita menghadapi norma baharu dan perlu mengubah cara hidup serta cara menyambut perayaan utama termasuk Hari Raya Aidilfitri. Namun, Syawal ini pasti akan kekal meriah dengan kiriman pelbagai ucapan hari raya. Kepada rakan-rakan, Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Ng Sze Han
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan
Awam dan Pembangunan Kampung Baru

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin buat semua rakyat. Semoga ukhuwah serta keharmonian kita kekal berterusan di dalam negeri kita, terus hormat menghormati dan saling bermaafan di antara kita.

Mohd Khairuddin Othman
EXCO Pembangunan Modal Insan dan
Pembangunan Generasi Muda dan Sukan

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Selangor dan seluruh negara. Saya juga sebagai
hamba yang tak lekang dari salah serta silap, ingin memohon ribuan kemaafan kepada rakan-rakan dan
sahabat-sahabat sekalian.

Borhan Aman Shah
EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung
Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan

Raikan kemeriahan Aidilfitri dalam ikatan hati yang sentiasa ingat mengingati, panggilan telefon tanda
silaturahim yang utuh dan berdoa agar kehidupan yang damai, sejahtera serta harmoni di negara ini
berkekalan.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna
dan Industri Halal

Dr Siti Mariah Mahmud 

Marilah kita memaknai sambutan Syawal yang direzekikan pada tahun ini dengan penuh kesederhanaan dan rasa syukur. Jarak mungkin memisahkan kita, namun kiriman doa akan terus menyatukan hati-hati yang saling mengasihi. Salam Aidilfitri.

Dr Siti Mariah Mahmud
EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan
Pembangunan Wanita dan Keluarga

Categories
AGENDA NASIONAL

Fomca: Kaji semula kawalan harga barangan makanan penting

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan segera menyemak senarai kawalan harga untuk barangan makanan penting pada musim perayaan tahun ini dan menambah senarai barang yang lebih komprehensif.

Presidennya Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata berdasarkan senarai kawalan harga dikeluarkan kerajaan hanya terhad kepada barangan tertentu seperti ayam, telur, daging, kelapa parut dan kelapa biji, yang tidak mencukupi terutama untuk menyambut perayaan penting seperti Hari Raya.

“Ikan tidak termasuk; ia adalah satu daripada item yang harganya meningkat dengan ketara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sayur-sayuran seperti kubis, kentang, bawang, bawang putih, cili juga adalah bahan makanan penting yang tidak disenaraikan, harga beberapa barangan ini meningkat mendadak.

“Satu cara membantu pengguna adalah agar kerajaan mempunyai kawalan harga yang luas supaya banyak barangan penting mampu dimiliki dan penjual tidak mengambil kesempatan daripada musim perayaan untuk menaikkan harga dan membuat keuntungan berlebihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan harus membantu pengguna dengan mengekalkan harga makanan penting pada harga rendah supaya mampu dibeli oleh pengguna biasa pada musim perayaan ini, terutama pada masa ini ramai pengguna menghadapi tekanan kewangan yang teruk.

Selain itu, Fomca juga menyeru penggubal dasar agar kerap turun padang, jadi mereka akan memahami kebimbangan dan kesusahan rakyat terutama kalangan isi rumah golongan B40 dan M40 yang akan membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP Bersyarat: Perhimpunan sambutan perayaan tertakluk arahan KKM

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Perhimpunan yang dibenarkan untuk sambutan perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih tertakluk kepada sebarang arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Perkara ini dinyatakan dalam Peraturan 7 (2) (a), Warta Kerajaan Persekutuan mengenai Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6) 2020 yang dikeluarkan laman sesawang Jabatan Peguam Negara, semalam.

Subperaturan (2) di bawah Peraturan 7 itu menyebut “walau apa pun subperaturan (1), seseorang boleh berhimpun atau terlibat dalam suatu perhimpunan – (a) bagi Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak tertakluk kepada apa-apa arahan Ketua Pengarah Kesihatan, dan (b) bagi pengebumian, dengan syarat orang yang hadir ke pengebumian itu tidak melebihi 20.”

Warta itu yang ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan bahawa, Peraturan-Peraturan itu berkuatkuasa dari tempoh 13 Mei, 2020 hingga 9 Jun, 2020.

Warta itu turut menyatakan bahawa mana-mana orang yang memandu kenderaan persendirian tidak boleh membawa lebih daripada tiga penumpang dan penumpang itu hendaklah orang yang tinggal serumah dengannya.

Peraturan-Peraturan itu juga menyatakan tiada seorang pun boleh melakukan, menganjurkan, mengusahakan atau terlibat dalam mana-mana aktiviti terlarang dalam mana-mana kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan tempatan jangkitan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Warta itu menyenaraikan 15 aktiviti terlarang yang menyebabkan ramai orang berhimpun iaitu aktiviti hiburan, riadah, sukan, kelab malam, perayaan keagamaan, kebudayaan dan kesenian, perniagaan, perjudian, penggunaan bilik acu di dalam kedai pakaian, mencuba aksesori fesyen, perkhidmatan di kedai gunting rambut dan salun kecantikan, penggambaran filem, drama, dokumentari dan iklan serta aktiviti kapal persiaran dan perkhidmatan pelancongan.

Peraturan 6 (1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain kecuali untuk pergi dan balik kerja.

Peraturan-Peraturan itu juga menyatakan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing boleh menghadiri persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Bagi pengangkutan awam seseorang pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam darat, laut atau udara untuk membawa penumpang hendaklah memastikan pengangkutan awam yang berhubungan dengan lesen atau permitnya tidak membawa lebih daripada separuh jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang yang boleh dibawa di dalam pengangkutan awam itu bagi setiap perjalanan.

Sementara itu, pemandu kereta sewa, teksi, teksi lapangan terbang, teksi mewah atau kenderaan e-hailing tidak boleh membawa lebih daripada dua penumpang bagi setiap perjalanan.

Bagi pengangkutan awam udara ke Negeri Sabah atau Sarawak dari Semenanjung Malaysia dan sebaliknya, Peraturan itu menyebut bahawa pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang hendaklah memastikan pengangkutan itu tidak membawa lebih daripada 66.6 peratus jumlah maksimum faktor beban pengangkutan yang boleh dibawa bagi setiap perjalanan penerbangan berjadual dari Negeri Sabah atau Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Ia juga menyatakan pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang boleh membawa jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang bagi setiap perjalanan penerbangan berjadual dari Semenanjung Malaysia ke Negeri Sabah atau Sarawak.

Bagi pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang boleh membawa jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang bagi setiap perjalanan penerbangan tidak berjadual dari Semenanjung Malaysia ke Negeri Sabah atau Sarawak, jika kesemua penumpang itu adalah pelajar di Semenanjung Malaysia yang pulang ke Negeri Sabah atau Sarawak.

Sesiapa yang melanggar Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Syukur dengan demokrasi negara – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur serta mengambil iktibar dengan apa yang berlaku kepada saudara Islam di negara luar apabila demokrasi yang diharap tidak mencapai tujuannya.

Rakyat Malaysia, tegas beliau, masih dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri dengan penuh selesa dan selamat tanpa perlu risau dan berasa terancam dengan serangan musuh.

“Marilah kita renungkan akan cabaran dan dugaan yang kita hadapi sekarang, dan bagaimana kita dapat mengatasinya. Insya-Allah dengan berkat usaha dan sikap tidak akan menyerah kalah, usaha ini akan diberkati Allah dan kita pasti akan berjaya melepasi segala rintangan.

“Percayalah, apa yang dihadapi oleh kita sekarang, tidak seberat apa yang dihadapi rakan kita di beberapa buah negara lain terutamanya di Timur Tengah,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2018, di sini, malam ini.

Dr Mahathir berkata 1 Syawal sebagai hari kemenangan melawan nafsu, tidak hanya terhad kepada menahan lapar dan dahaga, malah melawan nafsu dengan menolak apa jua perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Ada kalanya nafsu menghumban kita ke dalam perkara yang dilarang, ini akan mencemarkan imej kita sebagai seorang Muslim tetapi Alhamdulillah, Islam itu sempurna.

“Jika diamati dengan teliti, ia tetap menjadikan kita manusia yang baik dan berjaya. Islam bukan sahaja agama, ia adalah ‘Ad-deen’ atau cara hidup,” katanya.

Dr Mahathir pada masa sama berkata kerajaan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

“Untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil dan orang ramai hendaklah terima keperluan berjimat bersama kerajaan,” katanya.

Beliau berkata jika negara aman dan selamat, pelabur akan melabur dengan banyak dan peluang pekerjaan akan bertambah, serta dapat menyelesaikan masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan mereka yang pulang beraya di kampung halaman agar sentiasa memandu dengan cermat serta mengajak masyarakat bukan Islam untuk turut serta dalam sambutan Hari Raya bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Berhati memandu balik kampung, makan secara bersederhana

PUTRAJAYA 14 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada seluruh rakyat yang akan menyambutnya, esok.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik Chedet Official di Facebook, hari ini, Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat yang pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati memandu.

“Hari ini hari terakhir berpuasa, esok hari raya Aidilfitri tetapi hari terakhir ini, saya masih bertimbun kerja dan terpaksa bekerja sampai petang dan tidak boleh rehat.

“Jadi, kepada semua yang sedang balik ke kampung, ingatlah keluarga menunggu dan jangan kecewakan mereka dengan terlibat dengan kemalangan di jalan raya

“Oleh itu, pandulah dengan cermat, biar lambat asal selamat, jangan terburu-buru,” katanya.

Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat supaya tidak makan terlalu banyak pada hari raya dan makan secara bersederhana.

Menerusi video itu, Perdana Menteri turut berkongsi saat hari raya yang paling menggembirakannya iaitu apabila seluruh keluarga dapat berkumpul dan berhari raya bersama selepas selesai sembahyang raya.

Selain itu, beliau juga sempat berkongsi mengenai kuih, lagu dan warna baju raya kegemarannya.

“Kuih makmur tetapi kurang gula, dulu saya banyak gula, sekarang kurang gula.

“Lagu kegemaran Selamat Hari Raya dendangan Allahyarham Sudirman, warna baju ungu,” katanya.

Sebelum mengakhiri rakaman itu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya dan menjemput rakyat untuk hadir ke Rumah Terbuka Perdana Menteri, yang diadakan esok di Seri Perdana, Putrajaya.

Categories
BERITA UTAMA

Kesilapan semasa meraikan Hari Raya Aidilfitri

Oleh: Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

selamat-hari-raya-2012-emozac3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali.

Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan ‘chat’, berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Dipetik Facebook:  Zaharuddin Abd Rahman