Categories
SELANGOR

Kariah Masjid Bukit Antarabangsa lega boleh laksana ibadah korban

AMPANG, 20 JULAI: Kebenaran menjalankan ibadah korban sempena Aidiladha melegakan pengurusan jawatankuasa masjid negeri ini meskipun tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Bukit Antarabangsa Jasmi Md Yusof, 57, bersyukur kerana permohonan melaksanakan aktiviti sembelihan di institusi berkenaan mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Mereka (Jais) benarkan pelaksanaan aktiviti sembelihan tetapi perlu patuh setiap SOP digariskan selain mensyaratkan petugas ibadah korban divaksin sekurang-kurangnya satu dos.

Ahli Jawatankuasa Masjid Bukit Antarabangsa, Jasmi Md Yusof.

“Kami gembira walaupun kebenaran diberi empat hari sebelum perayaan, ahli kariah juga sudah mengumpul wang untuk membeli 10 ekor lembu,” katanya ketika ditemui di Stelvio Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Mengulas mengenai garis panduan solat sunat Aidiladha, beliau berkata seramai 60 jemaah termasuk AJK diberi kebenaran solat di masjid terbabit pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Program Ibadah Korban Bukit Antarabangsa Roslee Derohim, 55, berkata pihaknya memastikan kesemua 30 petugas terlibat dengan aktiviti penyembelihan lembu sudah mendapat suntikan pelalian.

Pengerusi Masjid Bukit Antarabangsa, Roslee Derohim.

“Kita berasa selamat apabila sudah divaksin walaupun bukan seratus peratus tetapi lebih baik ada perlindungan selain menekankan aspek pemakaian pelitup muka semasa aktiviti korban,” katanya.

Kerajaan Selangor menetapkan hanya tiga premis dibenar melaksanakan aktiviti sembelihan ibadah korban sempena perayaan Aidiladha mengikut SOP ketat.

Premis dibenarkan ialah rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang ternak yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan masjid bawah Jais.

Categories
AGAMA SELANGOR

Hari Terbuka Masjid Antarabangsa meriah, erat hubungan ahli kariah

OLEH SABIRAH AZIZ

BUKIT ANTARABANGSA, 18 MAC: Lebih 1,000 pengunjung hadir pada Hari Terbuka Masjid Antarabangsa yang diadakan buat julung kalinya bagi mengimarahkan masjid.

Pengarah programnya, Lt. Kolonel (B) Roslle Derohim berkata, pelbagai pengisian program dilaksanakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim di antara ahli kariah dan masyarakat.

“Terdapat pelbagai aktiviti diadakan seperti cabutan bertuah, kaunter informasi, kaunter bergerak Lembaga Zakat Selangor serta gerai jualan.

“Melalui aktiviti ini, sebanyak 28 gerai jualan dibuka kepada ahli kariah untuk menjual berbagai jenis produk seperti penjagaan kesihatan, makanan dan minuman yang turut mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Program itu berlangsung dari jam 5.45 pagi hingga 4 petang, Sabtu, yang dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui program itu, Infaq Jutawan Akhirat turut dilancarkan bertujuan mengumpul dana bagi kos operasi masjid.

Nazir masjid, Zulkifli Ahmad berkata, kos operasi masjid semakin meningkat sebanyak 26 peratus sejak dua tahun lalu yang mana kutipan Jumaat dan tabung masjid tidak dapat menampung perbelanjaan berkenaan.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam khususnya ahli kariah masjid untuk sama-sama membantu dalam memastikan sumber kewangan masjid mencukupi bagi membiayai kos berkenaan.

“Dengan adanya program seumpama ini, kita berpeluang untuk menginfakkan sedikit rezeki untuk dilaburkan ke saham akhirat kita kelak tanpa mengira berapakah nilainya.

“Apabila sumbangan ini dikumpulkan, maka lama-lama ia akan menjadi besar. Marilah kita bersama-sama mengamalkan konsep ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, katanya.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

Masjid Bukit Antarabangsa lancar Program Infaq Jutawan Akhirat

OLEH SABIRAH AZIZ

BUKIT ANTARABANGSA, 17 MAC: Masjid Bukit Antarabangsa hari ini melancarkan Program Infaq Jutawan Akhirat, bertujuan mengumpul dana bagi penyelenggaraan masjid berkenaan.

Program itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dalam ucapannya berkata, penyelenggaraan masjid harus dijadikan budaya supaya beban yang ditanggung ahli pimpinan masjid dapat dikurangkan.

“Institusi wakaf di negara ini masih belum mendapat sambutan menggalakkan daripada umat Islam.

“Bagaimanapun, ia harus menjadi budaya dalam kehidupan kita supaya dapat meringankan bebanan yang ditanggung pihak masjid.

“Maka, Kerajaan Negeri mengadakan pelbagai program bagi membangunkan institusi wakaf dengan melaksanakannya di pelbagai institusi Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Masjid Antarabangsa di sini, hari ini.

Dalam program hari terbuka itu, pelbagai aktiviti dijalankan bermula dari jam 5.45 pagi hingga 4 petang.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Negeri kawasan itu berkata, ia selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam mempertahankan kepentingan umat Islam.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan terus memberikan sokongan dalam merealisasikan usaha seumpama ini,” katanya.

=EZY=