Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ayuh mensyukuri Eidulfitri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi ini.

Segak mengenakan sepasang baju Melayu berwarna biru muda, baginda tiba sekitar jam 7.20 pagi dan disambut Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin serta Sohibus Samahah Dato’ Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mengenakan sepasang baju Melayu berwarna ungu.

Solat sunat Aidilfitri berjemaah dimulakan pada jam 8 pagi yang dipimpin Imam Masjid Negeri, Ustaz Muhammad Farhan Wijaya.

Khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Mensyukuri Eidulfitri’ pula disampaikan oleh Sohibus Samahah Dato’ Mufti Selangor.

Mimbar antaranya memberikan peringatan supaya terus bertaqwa dan mentaati perintah Allah seperti yang dilakukan sepanjang Ramadan.

Disamping itu, amalan bermaafan dan ziarah bagi menyambung silaturrahim turut diingatkan supaya perpaduan sesama ummah dapat dikekalkan.

Dikesempatan ini juga, para jemaah mengambil peluang bersalaman serta bergambar bersama Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor serta pimpinan Kerajaan Negeri sebelum Baginda berangkat meninggalkan perkarangan masjid sekitar jam 9 pagi.

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Masjid Selangor hidup 18 jam sehari hasil dokongan semua pihak

OLEH : NAZLI IBRAHIM

KLANG, 8 MAC: Berbanding dahulu masjid di Selangor meriah pada hari dan masa tertentu tetapi berbeza kini apabila kebanyakan masjid di negeri itu berjaya diimarahkan di sepanjang hari dengan pelbagai program manfaat.

Antaranya, Masjid Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang hampir setiap hari programnya berjalan sehingga 18 jam sehari.

Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam, Muhammad Farhan Wijaya, berkataperubahan itu berlaku apabila institusi masjid mendapat dokongan kuat semua pihak seperti Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat.

Masjid Shah Alam“Suasana pengimarahan masjid dulu dan sekarang berbeza dengan adanya semangat baru dan sikap profesional pegawai agama daripada semasa ke semasa menambah kualiti di sudut pengurusan ini termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merancang dengan baik, bersistematik dan dengan adanya indeks prestasi utama (KPI) yang baru.

“Alhamdullilah, ini yang kita nak di Selangor supaya masjid hidup, contohnya Masjid Negeri, sehari lebih 18 jam kita susun pelbagai program daripada pelbagai sudut seperti akidah, fiqh, hadis, Al-Quran sendiri dan sebagainya kerana cabang ilmu Islam itu sendiri luas,” kata Muhammad Farhan.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Imam Masjid Seluruh Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Katanya, selain ilmu keagamaan, Masjid Negeri turut mengadakan program ilmuan lain seperti teknologi maklumat (IT) dan program motivasi yang menarik minat generasi muda datang ke masjid dan sekaligus mampu melahirkan modal insan berkualiti.

Selain itu, tambah beliau, program dan aktiviti juga perlu diselaraskan dengan keadaan semasa dan bersesuaian dengan keadaan masyarakat setempat.

Sementara itu, Imam Masjid Al-Huda, Paya Jaras, Othman Ab Kadir pula berkata, pihak beliau sentiasa mendapat kerjasama baik daripada Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

“Bila saya maklumkan masjid mohon sesuatu bantuan untuk program tertentu, biasanya tidak menghampakan.

“Baik ADN mahupun Kerajaan Negeri berusaha membantu pengurusan masjid untuk kebaikan masyarkat Islam,” kata Othman.

EZY

Categories
SELANGOR

Masjid Selangor paling imarah di Malaysia selepas PR mentadbir

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PERMATANG PAUH, 4 MEI: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam semakin imarah dengan pelbagai majlis keilmuan sejak Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Kerajaan Selangor pada 2008.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, ini berbeza Selangor diera pentadbiran Barisan Nasional (BN) apabila masjid di Selangor ditadbir mengikut kepentingan politik Umno.

DYYM dan MB bersama bakal haji di masjid negeri (7)“Ustaz-ustaz kita turun ke masjid dan masjid di Selangor paling imarah dalam Malaysia. Kenapa? Kerana PR. Kalau dulu masa Umno, taubat dia nak bagi kita masuk. Masa Khir Toyo dulu, bekas Mufti Ishak Baharum pun tak boleh kuliah di Selangor.

“Sekarang ustaz-ustaz kita nak buat tahfiz ke atau nak buat apa pakat pergi Selangor. Kerana apa? Kerana PR memerintah,” kata Mohamad dalam ceramahnya di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang Pasir di sini, malam tadi.

Jelas Mohamad lagi, kejayaan ini diperolehi selepas PAS, PKR dan DAP menjalinkan kerjasama untuk menentang BN.

Sementara itu, kempen PR dalam PRK Permatang Pauh yang memasuki hari ke-10 hari ini semakin mendapat sambutan masyarakat di sini.

Dalam program ceramah di Pusat Khidmat Rakyat Permatang Pasir malam tadi, walaupun diadakan di kawasan yang agak kecil dan serentak dengan program lain tetapi dianggarkan dihadiri 150 orang masyarakat tempatan.

EZY