Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pertahan integriti ketika bertugas, MB nasihat penjawat awam

SHAH ALAM, 24 JAN: Penjawat awam negeri ini diseru mempertahankan integriti dan bersikap profesional ketika menjalankan tugas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan mereka juga perlu menerapkan budaya kerja fleksibel dan tahan uji dalam setiap situasi bermula dari peringkat atasan hingga bawahan.

“Kadangkala kita berada dalam keadaan tekanan dan terdesak, (namun) momentum harus dikekalkan serta bersedia untuk (kerja) fleksibel dan tahan uji.

“Ini ciri baru yang harus ditekankan di samping mempertahankan integriti dan profesional serta bagaimana untuk melayan rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata meskipun negara berdepan tempoh sukar sepanjang pandemik, namun kutipan hasil di Selangor melebihi sasaran selama dua tahun berturut-turut.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD), ekonomi serta perniagaan tidak berjalan selain pelaburan sukar mendarat. Tetapi, kita mampu capai pungutan hasil melebihi sasaran.

“Jadi, untuk 2022 kita perlu hadapi dengan baik untuk melahirkan sesuatu yang lebih baik dalam diri kita,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Henti tuding jari isu banjir besar, tumpu baiki kelemahan

SHAH ALAM, 24 JAN: Dato’ Menteri Besar menggesa semua pihak berhenti menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain berhubung insiden banjir di Selangor bulan lalu.

Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan kelemahan pengurusan bencana di seluruh negara perlu dijadikan iktibar dan diperbetulkan bersama-sama.

“Walaupun ada pihak kritik dia tidak boleh selesaikan masalah (banjir), dia menunjuk oh salah di tempat lain, salah negeri lain salah daerah lain.

“Bila tidak boleh bagi arahan, bukan nak perbetulkan (tetapi) salahkan. Kita (Selangor) ada masalah kita hadap,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata banjir bukan halangan buat Selangor memberikan yang terbaik untuk rakyat dan menggerakkan bantuan yang masih berterusan sehingga hari ini.

“Amaran Jabatan Meteorologi Malaysia pada 18 Disember hujan lebat, masih lagi tidak anggap Selangor kawasan merah. Itu semua faktanya, tetapi pada 19 Disember kita perbetulkan dan laksanakan.

“Sebab itu menjelang 21 Disember sampai sekarang, segala apa yang dirancang pascabanjir iaitu Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjalan dengan baik dan pantas,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Categories
AGENSI SELANGOR

Baucar beli-belah Tahun Baharu Cina manfaatkan 350 warga Sungai Tua 

GOMBAK, 23 JAN: Sebanyak 350 baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sempena perayaan itu bulan depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata baucar tersebut boleh ditebus di pasar raya untuk membuat persiapan dan membeli barang keperluan bernilai RM100.

“Diharapkan sumbangan ini dapat memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina nanti,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua selepas menyerahkan baucar berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang penerima Ooi Chip Keong, 49, mahu menggunakan baucar terbabit untuk membeli kuih kapit dan limau yang sinonim dengan perayaan tersebut.

“Tahun ini mungkin lebih meriah kerana kerajaan beri banyak kelonggaran, jadi saya buat persediaan beli kuih kapit dan limau untuk makan bersama keluarga nanti,” katanya dari Kampung Laksamana.

Bagi Hon Ah Kiew, 62, pula pemberian itu dapat meringankan beban keluarganya menyediakan keperluan perayaan di sebalik kenaikan harga barang ketika ini.

“Sekarang banyak barang semakin mahal, jadi baucar ini dapat tampung perbelanjaan,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

70,000 mohon bantuan bah negeri, lebih separuh selesai diagih

GOMBAK, 23 JAN: Sebanyak 70,000 permohonan bantuan banjir RM1,000 diterima Kerajaan Negeri dengan lebih 41,000 isi rumah selesai mendapat manfaat setakat ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan bagi meringankan beban mangsa membaik pulih rumah dan membeli keperluan kini tertumpu kepada mereka yang tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan negeri mempunyai kemampuan kewangan untuk menyalurkan bantuan terbabit meskipun menyasarkan 30,000 penerima sebelum ini.

“Kita buat pendaftaran dari semasa ke semasa cuma ambil masa (untuk diagihkan) kerana setiap permohonan perlu ada pengesahan kerana membabitkan dana kerajaan.

“Kita juga dapati ada yang ambil kesempatan, jumlahnya kecil sahaja tetapi kita mahu mengelakkan perkara itu,” katanya selepas menyerahkan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Amirudin menambah mangsa juga perlu mengisi borang sama untuk memohon Bantuan Wang Ihsan RM1,000 daripada kerajaan persekutuan.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program Bantuan Selangor Bangkit susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Semangat bantu mangsa bah bukti muafakat rakyat Selangor

GOMBAK, 23 JAN: Kesungguhan dan semangat membantu ketika bencana banjir Disember tahun lalu membuktikan muafakat kukuh pelbagai lapisan kaum di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat tanpa mengira kaum membantu meringankan beban mangsa yang terjejas teruk dan kehilangan harta benda.

Menurutnya, kesungguhan dan muafakat berkenaan amat diharapkan Kerajaan Negeri untuk membawa Selangor terus maju dengan kesejahteraannya bakal dirasai rakyat.

“Ketika banjir saya dapati bantuan datang daripada pelbagai pihak, orang India datang membantu membersihkan rumah, begitu juga Melayu dan Cina. Inilah semangat muafakat dan kekuatan kita,” katanya berucap merasmikan Pesta Ponggal di Taman Laksamana Permai di sini hari ini.

Program itu dianjurkan Jawatankuasa Penduduk Zon 7 dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua dan Pusat Wanita Berdaya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata Kerajaan Negeri giat menganjurkan program kebudayaan bagi memupuk semangat kebersamaan masyarakat majmuk sejak 2008.

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh supaya masyarakat India, Melayu, Cina dapat duduk bersama,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor agih RM33.25 juta bantu puluhan ribu mangsa banjir

SHAH ALAM, 14 JAN: Seramai 33,130 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM33.25 juta dibelanjakan untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Twitter, seramai 12 waris korban bencana di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 11,236 isi rumah diikuti 7,376 orang di Klang, manakala 6,457 penduduk Hulu Langat.

Turut menerima sumbangan sama ialah 3,600 isi rumah di Sepang, Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,693), Gombak (750), Hulu Selangor (93) dan Sabak Bernam (35).

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan negeri RM1,000 manfaatkan 31,585 mangsa bah

SHAH ALAM, 13 JAN : Seramai 31,585 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM31.705 juta dibelanjakan untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Facebook, seramai 12 waris korban bencana di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 9,837 isi rumah diikuti 7,376 orang di Klang, manakala 6,457 penduduk Hulu Langat.

Turut menerima sumbangan sama ialah 3,600 isi rumah di Sepang, Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,548), Gombak (750), Hulu Selangor (92) dan Sabak Bernam (35).

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 30,140 mangsa bah dapat RM1,000, selesai agih RM30.26 juta

SHAH ALAM, 12 JAN: Seramai 30,140 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat 12 Januari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM30.260 juta dibelanjakan untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Twitter, seramai 12 waris korban bencana di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 9,666 isi rumah diikuti 7,376 orang di Klang, manakala 6,457 penduduk Hulu Langat.

Turut menerima sumbangan sama ialah 2,326 isi rumah di Sepang, Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,548), Gombak (750), Hulu Selangor (92) dan Sabak Bernam (35).

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

20,086 mangsa bah dapat bantuan negeri RM1,000

SHAH ALAM, 8 JAN: Seramai 20,086 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat pagi ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM20.196 juta dibelanjakan untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Facebook, seramai 11 waris korban di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 6,483 isi rumah diikuti 3,600 penduduk Hulu Langat manakala 3,508 di Klang.

Turut menerima sumbangan sama ialah 2,326 isi rumah di Sepang, Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,548), Gombak (645), Hulu Selangor (51) dan Sabak Bernam (35).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri kumpul cadangan, nilai kaedah atasi banjir

SHAH ALAM, 8 JAN: Cadangan jangka pendek dan panjang pelbagai pihak bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini akan dinilai bulan depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan cadangan tersebut sedang dikumpul EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim khususnya di lokaliti tumpuan seperti Taman Sri Muda.

“Ada cadangan terowong pintar dan ada yang minta betulkan bajet untuk sungai. Semua ini kita akan nilai dan bentangkan dalam tempoh terdekat.

“Perkara ini juga dibincangkan dengan kerajaan persekutuan,” katanya selepas meninjau program Pembersihan Mega Pascabanjir di Taman Sri Muda hari ini.

Amirudin berkata antara pihak yang memberi cadangan ialah Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor dan beberapa sektor persendirian.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 11,000 keluarga terima bantuan pascabanjir RM1,000

SHAH ALAM, 5 JAN: Seramai 11,481 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Selangor berbelanja RM11.531 juta untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Twitter, lima waris korban di Sepang dan Hulu Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 4,349 isi rumah diikuti 2,143 penduduk Hulu Langat manakala 1,866 di Klang.

Turut menerima sumbangan sama ialah 1,115 isi rumah di Kuala Selangor, Sepang (904), Kuala Langat (705), Gombak (313), Hulu Selangor (51) dan Sabak Bernam (35).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa bah Kuala Selangor boleh periksa kenderaan secara percuma

SHAH ALAM, 5 JAN: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) menawarkan khidmat nasihat dan pemeriksaan percuma untuk kenderaan mangsa banjir, kata Dato’ Menteri Besar.

Penelitian termasuk ruang enjin dan penumpang serta casis meliputi kondisi kenderaan, minyak pelincir, kotak gear, cecair, brek, stereng dan unit kawalan elektronik.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bantuan asas servis turut tersedia, namun pemilik kenderaan perlu menyediakan barang berkaitan.

“Inisiatif oleh STDC ini sangat bermanfaat dan mampu mengurangkan beban kewangan mangsa banjir,” tulisnya di Twitter hari ini.

Sementara itu, wakil STDC Faizal Azmi ketika dihubungi berkata perkhidmatan tersebut khusus buat mangsa banjir sekitar Kuala Selangor sahaja.

“Buat masa ini saya dimaklumkan inisiatif ini hanya ditawarkan kepada mereka yang terlibat dengan banjir di Kuala Selangor,” katanya.

Sebelum ini, STDC melalui kumpulan khidmat teknikal elektrikal bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam membaik pulih barangan elektrik mangsa bencana yang rosak.

Sebanyak 90 peratus barangan elektrik berjaya diselenggara seperti soket alir keluar, suis lampu, kipas, perkakas elektrik mudah alih dan kotak fius agihan antara 27 Disember hingga 1 Januari lalu.