Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pusat sehenti, khidmat ke rumah mudahkan mangsa bah dapat bantuan (VIDEO)

SHAH ALAM, 29 DIS: Pelbagai mekanisme disediakan Kerajaan Negeri untuk mengagihkan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di kawasan terjejas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia meliputi penubuhan pusat sehenti di pusat penempatan sementara (PPS) mulai hari ini yang mengumpul data mangsa.

“Kita gunakan senarai nama yang disahkan dan didaftar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pengurus PPS, mangsa tidak perlu sediakan dokumen tambahan.

“Lokasi pusat sehenti ditetapkan pejabat daerah dan tanah (PDT) khusus buat mangsa yang berpindah dari PPS,” katanya dalam keratan video yang dikongsi di Twitter.

Bagi pendaftaran dan penyerahan bantuan dari rumah ke rumah, Amirudin menjelaskan ia dibuat secara berperingkat mulai 3 Januari depan.

Beliau memaklumkan lokaliti akan ditetapkan PDT dibantu oleh pejabat parlimen, pusat khidmat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), ahli majlis, ketua kampung dan Team Selangor.

“Mangsa juga boleh mendaftar dalam talian melalui telefon dan laman web rasmi yang akan diumumkan. Kaedah ini bermula setelah pendaftaran manual selesai bagi mengelak pertindihan data,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata mangsa yang kekal di rumah semasa banjir perlu mengemukakan beberapa dokumen untuk memohon bantuan seperti kad pengenalan, lesen memandu atau pasport.

Amirudin menambah mereka juga perlu mendapatkan pengesahan oleh ketua kampung, penghulu, ahli majlis atau ketua persatuan penduduk atau yang setara.

“Tidak perlu gambar atau laporan polis untuk pendaftaran. Semoga ikhtiar ini diberkati dan Kerajaan Negeri akan terus memantau dan maklumkan bantuan yang perlu dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor Bangkit sedia pelbagai manfaat buat mangsa bah (VIDEO)

SHAH ALAM, 29 DIS: Pelbagai bantuan disediakan melalui Selangor Bangkit khusus buat rakyat negeri ini yang terkesan banjir antara 17 hingga 19 Disember lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan antaranya pengecualian bayaran bil air selama sebulan dan moratorium pinjaman Hijrah selama dua bulan.

Turut disediakan ialah tabung khas bagi membantu mangsa banjir, sumbangan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah.

“Fenonema banjir kali ini terjadi sekali dalam 100 tahun, namun ini bukan alasan saya dan pentadbiran negeri untuk lari dari tanggungjawab melakukan yang terbaik demi rakyat.

“Saya mohon maaf dan janji sedaya upaya untuk membawa rakyat Selangor keluar daripada episod duka ini,” katanya dalam keratan video yang dikongsi di Twitter.

Sementara itu, Amirudin berkata insiden banjir yang melanda sebahagian besar Selangor dengan taburan hujan hampir 450mm sehari melebihi jangkauan hingga menenggelamkan beberapa lokaliti.

Berikutan itu, jelasnya, hampir 40,000 penduduk terjejas dan ditempatkan di 205 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah seluruh negeri.

“Setiap tahun kita sedia kemungkinan akibat tengkujuh, malah agensi negeri mengeluarkan amaran dan bersedia sejak Oktober, namun tiada siapa menjangka hujan lebat dalam tempoh sehari menyamai taburan dalam sebulan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB anggar minimum 30,000 individu dapat bantuan bah RM1,000

SHAH ALAM, 29 DIS: Sekurang-kurangnya 30,000 individu yang terjejas banjir di negeri ini akan menerima manfaat RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan bagi meringankan beban mereka diagih mulai semalam di sekitar Petaling dan diteruskan hari ini.

“Agihan diteruskan ke seluruh daerah secara berperingkat, kemudian selepas habis agih di pusat pemindahan sementara (PPS) kita akan kenal pasti mereka yang tidak berpindah,” katanya.

Bercakap dalam temu bual bersama radio Hot FM pagi ini, beliau menambah skop bantuan diperluas membabitkan kediaman bertingkat seperti pangsapuri yang turut mengalami kerosakan harta benda.

Amirudin turut memaklumkan mangsa banjir akan menerima bantuan RM1,000 daripada kerajaan persekutuan dan RM600 sumbangan Lembaga Zakat Selangor untuk keluarga beragama Islam.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Amirudin menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari depan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor bantu pulih semula masjid terjejas bah

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerajaan Negeri akan membantu memulihkan semula kerosakan dialami masjid sekitar Selangor yang terjejas dalam insiden banjir dua minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan perkara itu ketika menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Batu 14, Hulu Langat hari ini.

“Saya turut melihat kerosakan dialami akibat bencana banjir. Pihak pengurusan masjid memaklumkan mereka sedang mengumpul dana bagi penggantian karpet, Insya-Allah kita akan bantu.

“Saya turut difahamkan beberapa masjid di kawasan-kawasan banjir turut mengalami kerosakan, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk bantu,” katanya di Facebook.

Amirudin dijadual melawat dan membersihkan sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir di Batu 16/17 dan Taman Sri Nanding seawal jam 8 pagi.

Beliau turut melepaskan bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18 dan menyerahkan bantuan pascabanjir ke pusat pemindahan sementara Sungai Serai.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Kerosakan dialami Masjid Batu 14, Hulu Langat susulan banjir. Foto Facebook Amirudin Shari
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pembaikan jambatan Dengkil-Banting dijangka siap 20 Januari

SEPANG, 28 DIS: Jambatan yang menghubungkan Dengkil ke Banting di sini yang runtuh akibat banjir baru-baru ini dijangka siap pada 20 Januari tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin kerja baik pulih dapat diselesaikan segera meskipun mengalami hakisan teruk sejak 17 Disember lalu.

“Kita jangka paling maksimum (pembaikan) siap pada 20 Januari 2022 kemudian dibuka semula kepada umum kira-kira dua atau tiga hari selepas menerima taraf selamat.

“Beberapa urusan pencegahan banjir, kerja tambak dan pemasangan ‘shift piling’ akan dibuat segera,” katanya pada sidang media selepas melawat pascabanjir di Sepang hari ini.

Kerja baik pulih jambatan yang menelan kos sehingga RM800,000 diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS).

Amirudin menambah pembaikan itu berkemungkinan melewatkan proses tebatan banjir Sungai Langat yang bermula sejak Julai lalu dan dijangka siap pada 20 Julai 2023.

“Ini sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri melalui JPS untuk menangani masalah banjir di daerah Sepang dan kawasan sekitar,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan kembar puji MB segera atasi sampah banjir di Kampung Tengah

SUBANG, 28 DIS: Reaksi segera Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di media sosial membantu menyelesaikan masalah timbunan sampah banjir di Kampung Tengah dekat sini.

Isu terbabit dibangkitkan di Facebook salah seorang penduduk yang juga pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001, iaitu Muhammad Rosli, 23.

“Saya dihubungi pegawai Dato’ Menteri Besar malam tadi yang meminta maklumat lanjut, hari ini kerja pembersihan dilakukan. Gembira lihat persekitaran kampung bersih.

“Bimbang juga ada penyakit sekiranya sampah dibiarkan begitu sahaja,” katanya ditemui hari ini.

Pekerja kontraktor KDEBWM membersihkan timbunan sampah sisa banjir di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pad 28 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Muhammad dan abangnya, Ahmad adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.

Pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Mengimbau insiden banjir dua minggu lalu, Muhammad berkata rumahnya dinaiki air kira-kira jam 9 malam menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berteduh di loteng bengkel keluarganya.

“Ayah (Rosli Abdul Rahim) dukung saya dan abang ke atas, memang menakutkan kerana melalui arus deras selain angin kuat. Kira-kira Jam 4 pagi kami dibawa keluar menggunakan bot orang kampung,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa banjir boleh mohon dalam talian bantuan bersih rumah

SHAH ALAM, 28 DIS: Mangsa banjir yang memerlukan bantuan sukarelawan untuk membersihkan rumah boleh membuat permohonan menerusi laman web www.teguhbersama.com.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata platform itu juga membolehkan orang ramai menyumbang derma untuk meringankan beban mereka yang terkesan.

“Mangsa boleh memohon bantuan menguruskan rumah atau mengutip sisa sampah kesan banjir, hasil inisiatif Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze.

“Terima kasih kepada semua termasuk syarikat swasta dan kumpulan sukarelawan yang datang dari seluruh negara untuk membantu Selangor,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas banjir dengan Amirudin menyumbang sebulan gaji sebagai permulaan.

Setakat semalam, Selangor menerima sejumlah RM2.23 juta sumbangan individu, syarikat serta kerajaan Kedah dan Kelantan bagi membantu usaha tersebut.

Individu atau syarikat yang ingin menyumbang boleh membuat bayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref: Tabung Ikhtiar).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 13,000 tan sampah banjir dikutip, libat kewangan RM6 juta

SHAH ALAM, 27 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip sebanyak 13,699.55 tan sampah susulan banjir teruk di beberapa daerah negeri ini minggu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan kerja oleh anak syarikat Kerajaan Negeri melibatkan dampak kewangan berjumlah RM6.031 juta.

“Kita anggarkan pembersihan ini berterusan dan sampah bertambah banyak selain melaksanakan proses penutupan jalan untuk melancarkan kutipan sampah,” katanya dalam sidang media semalam.

Sementara itu, beliau berkata jalan di sekitar Hulu Langat ditutup selama dua jam mulai 8 pagi setiap Isnin hingga Khamis bagi melancarkan kutipan sampah.

“Justeru, orang ramai termasuk sukarelawan diminta bersabar dan memilih waktu lain untuk ke kawasan terbabit,” katanya.

KDEBWM membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 19 Disember lalu secara berperingkat yang dijangka selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Bermula semalam, operasi pembersihan dilanjut sehingga malam untuk mempercepatkan kutipan sampah pukal pascabanjir terutama di kawasan kritikal.

Categories
AGENSI SELANGOR

MB: Kepala air dari gunung punca banjir Hulu Langat

SHAH ALAM, 28 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar.

Beliau berkata kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

Beliau juga memaklumkan tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) antara faktor menyebabkan banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media.

“Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya perolehi, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir).

“Daripada taklimat awal yang diperolehi, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir semalam.

Dalam pada itu, Amirudin mengakui pembinaan sebatang tiang untuk projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, dekat sini memutuskan sebuah ban lalu menyebabkan air melimpah.

“Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan.

“Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-Allah akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jalan di Hulu Langat ditutup dua jam untuk bersihkan sampah banjir

SHAH ALAM, 28 DIS: Beberapa jalan sekitar daerah Hulu Langat akan ditutup selama dua jam setiap Isnin hingga Khamis bagi memudahkan urusan kerja-kerja pembersihan sampah pascabanjir di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penutupan itu, dari 8 hingga 10 pagi, bagi melancarkan proses kutipan sampah oleh KDEB Waste Management Sdn Bhd susulan berlaku kesesakan jalan sehingga menghalang lori syarikat tersebut menjalankan tanggungjawabnya.

“Di peringkat awal, kita ingin melakukan penutupan itu selama dua hari sahaja namun setelah diputuskan kita akan melaksanakannya setiap hari kecuali Jumaat hingga Ahad,” katanya dalam sidang khas berhubung perkembangan banjir di sini semalam.

Beliau berkata kesesakan jalan di daerah itu adalah disebabkan oleh kehadiran sukarelawan yang ramai sehingga menyebabkan operasi kutipan sampah mengambil masa dan pihaknya terpaksa menambah jumlah hari bagi operasi pembersihan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media berkenaan situasi banjir dan bantuan Selangor Bangkit di bilik Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI

Katanya, setakat ini, sebanyak 13,699.55 tan sampah banjir telah dikutip yang melibatkan implikasi kewangan RM6.03 juta.

Amirudin berkata pihaknya juga sedang meneliti kemungkinan melaksanakan perkara sama di Padang Jawa dan Taman Sri Muda di daerah Klang namun bergantung kepada kesesuaian serta akan diumum awal sehari bagi memudahkan perancangan penduduk sekitar.

Mengulas isu pendaftaran sukarelawan, beliau berkata langkah itu bagi memudahkan penyelarasan dan keselamatan.

“Saya dimaklumkan ada dua sukarelawan telah meninggal dunia akibat lemas dalam membantu proses (pemindahan mangsa banjir).

“Kita tidak mahu mereka yang datang sebagai sukarelawan untuk menabur bakti akhirnya menjadi mangsa kepada bencana akibat kekurangan penyelarasan dan koordinasi,” katanya sambil menambah Kerajaan Negeri memerlukan lebih RM368 juta bagi melaksanakan projek pembaikan selepas banjir melanda Selangor.

Beliau berkata bagi kategori darurat seperti keperluan Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor dan Pejabat Tanah serta Jabatan Kerja Raya adalah lebih RM142 juta, kategori segera lebih RM177 juta dan kadar biasa lebih RM49 juta.

“Sebahagian kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan sudah pasti senarai (itu) dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan pelarasan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Mangsa banjir negeri dapat dapur masak, tong gas

SHAH ALAM, 28 DIS: Dapur dan tong gas antara alatan disumbang Kerajaan Selangor kepada mangsa banjir di seluruh negeri, umum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan melalui inisiatif Selangor Bangkit itu adalah keperluan asas untuk mangsa meneruskan kehidupan.

“Pemberian disekalikan dengan bantuan RM1,000 di samping beberapa sumbangan lain. Semalam, Malaysian Resources Corporation Bhd menyumbang 1,000 dapur gas.

“Kita menerima apa sahaja sumbangan daripada pihak lain,” katanya pada sidang media di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri semalam.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas banjir dengan Amirudin menyumbang sebulan gaji sebagai permulaan.

Setakat semalam, Selangor menerima sejumlah RM2.23 juta sumbangan individu, syarikat serta kerajaan Kedah dan Kelantan bagi membantu usaha tersebut.

Individu atau syarikat yang ingin menyumbang boleh membuat bayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref: Tabung Ikhtiar).

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 2,800 tan sampah bah dikutip dalam sehari di seluruh negeri

SHAH ALAM, 24 DIS: Sebanyak 2,857 tan sampah dan sisa tinggalan banjir berjaya dibersihkan serta diangkut oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter memaklumkan jumlah tong sampah besar dan jentera akan ditambah bagi melancarkan pembersihan.

“Hari ini sahaja sebanyak 2,857 tan sampah dan sisa tinggalan banjir berjaya dibersih dan diangkut. Kita akan tambah jumlah tong roll-on-roll-off (Roro) dan pengorek kaut bagi pembersihan,” katanya.

KDEBWM membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah negeri ini mulai Ahad secara berperingkat dan menjangka ia selesai dalam tempoh seminggu lagi.

Selangor turut menerima bantuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri lain dan sukarelawan bagi mempercepat urusan pembersihan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.