Categories
SELANGOR

Buang sisa makanan, lelaki warga asing ditahan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 4 JULAI: Tindakan tidak bertanggungjawab seorang lelaki warga asing membuang sampah sisa makanan perniagaan mengundang padah apabila ditahan penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Sabtu lalu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, sepasukan anggota penguat kuasa melakukan intipan berjaya menahan lelaki terbabit yang memandu kereta Proton Iswara ketika leka membuang sampah berupa sisa makanan di Jalan SP1 Bandar Saujana Putra tanpa menyedari perbuatannya sedang dirakam.

“Hasil soal siasat terhadap lelaki berkenaan, dia hanya seorang pekerja dan majikannya sebelum ini sudah dikenakan tindakan notis kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja MDKL 2007 kerana meninggalkan peralatan selepas waktu perniagaan dengan menyita sebuah lori.

“Antara kesalahan lain juga didapati peniaga terbabit tidak memiliki lesen perniagaan daripada MDKL,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, lelaki terbabit dikenakan notis kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007 atas kesalahan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan.

Katanya, kereta berkenaan disita di bawah Undang-Undang Kecil 21(1), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap MDKL 2007.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan alam sekitar dan tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mereka ini hingga ke tahap pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, beliau kesal terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah tanpa memikirkan kesan dan akibat terhadap alam sekitar.

“Saya mengajak seluruh masyarakat khususnya penduduk di daerah Kuala Langat bekerjasama dengan MDKL dalam memelihara dan menjaga alam sekitar dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti pembuangan sampah haram ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Buang sisa kulit durian, dua lelaki ditahan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 19 JUN: Tindakan dua lelaki membuang sisa kulit durian di tepi jalan mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota penguat kuasa, di Bandar Saujana Putra, di sini semalam.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, anggota penguat kuasa diketuai Wan Putara Noor Shahan Ngadirin melakukan intipan berhubung kegiatan itu bermula 8 malam, pada Isnin lalu.

Katanya, susulan itu pihaknya menahan kedua-dua individu terbabit yang memandu sebuah MPV Nissan Serena di Jalan SP1, Bandar Saujana Putra, 12.40 tengah malam tadi.

“Hasil soal siasat dilakukan, didapati mereka ini menjalankan peniagaan buah durian di kawasan berdekatan. Selain itu, mereka juga didapati melakukan kesalahan dengan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran daripada MDKL.

“Bagi kesalahan ini, peniaga berkenaan dikenakan notis kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (4), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap, Majlis Daerah Kuala Langat 2007.

“Barangan jualan dan kenderaan mereka juga disita di bawah Undang-Undang Kecil (21) (1), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pelupusan dan Pelupusan Sampah-Sarap, Majlis Daerah Kuala Langat 2007,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, pihaknya menyediakan tapak perniagaan di Jalan SP1, SP4 dan SP8 Bandar Saujana Putra bagi mana-mana peniaga yang mahu menjalankan perniagaan buah bermusim.

Katanya, peniaga juga perlu membuat permohonan permit bagi menjalankan perniagaan terbabit.

“Sikap masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan cintakan alam sekitar tanpa berbelah bahagi dituntut bagi memastikan generasi sekarang serta akan datang dapat menikmati suatu kehidupan lebih baik dan harmoni.

“Kami akan sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa setiap hari dengan kerjasama orang ramai yang diharap dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

PANTAS MDKL selesai alih pokok tumbang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya menyelesaikan kerja pengalihan pokok tumbang di beberapa kawasan di daerah itu, malam tadi.

Penyelaras PANTAS MDKL, Miskon Karim berkata, antara kawasan yang berdepan kejadian itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Banting, Taman Langat Jaya, Jalan Sultan Alam Shah, Taman Baiduri, Taman Delima dan Jalan Serdang Belah Sungai Buaya.

Katanya, kejadian itu berlaku berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang sekitar 12.30 tengah malam sehingga menyebabkan lapan pokok tumbang dan menghalang laluan.

“Terdapat juga sebatang paip utama patah di Taman Delima, Banting akibat dihempap pokok.

“Selepas menerima aduan seawal 1 pagi daripada orang awam, skuad PANTAS MDKL terdiri daripada tujuh anggota terus digerakkan segera ke lokasi terbabit.

“Sepasukan kakitangan Syarikat Pengurusan Air Selangor turut bersama menjalankan kerja pembaikan bagi memastikan bekalan air segera dipulihkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Miskon berkata, bagi memastikan operasi berjalan lancar, anggota bertugas turut dilengkapi dua mesin pemotong pokok, sebuah mesin ‘high cutter’, dua kenderaan pacuan empat roda dan beberapa peralatan lain.

“Kerja operasi yang berjalan hampir lima jam itu tamat sekitar 5.30 pagi,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL tingkat kawalan keselamatan sepanjang RGG’19

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 12 APRIL: Majlis Daerah Kuala langat (MDKL) akan meningkatkan kawalan keselamatan sepanjang berlangsung Retromania Grand Gathering (RGG’19), di Dataran Pantai Morib, bermula Sabtu hingga Ahad ini.

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, pihaknya sudah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan pihak penguat kuasa bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap terbaik, khususnya penunggang motosikal.

“Kita harap pengunjung yang datang dapat menunggang motosikal dengan baik kerana masyarakat menilai dan kita mahu mengubah perspektif umum terhadap ‘mat motor’ yang dikatakan selalu melanggar peraturan.

“Walaupun kita faham akan ada ramai penunggang berkelakuan tidak sopan, tetapi inilah masanya untuk tunjukkan kepada masyarakat bahawa kita adalah penunggang yang baik.

“Kali ini perlu buktikan bahawa kita adalah masyarakat bertamadun dan dapat menunggang dengan baik walaupun secara berkumpulan,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas di sekitar daerah berkenaan, Mohammad Zain berkata, pengunjung diingatkan supaya meletakkan kenderaan di sepanjang jalan ke Pantai Morib.

“Kita mahu memastikan masyarakat menilai program ini dengan baik tanpa ada tanggapan serong, jadi sikap kita sendiri perlu dijaga sebaiknya mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

RGG’19: Lebih 25,000 dijangka banjiri Dataran Pantai Morib

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 12 APRIL: Lebih 25,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Pantai Morib sempena acara himpunan motosikal terbesar, Retromania Grand Gathering (RGG’19), pada 13 dan 14 April ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan luar jangkaan diterima pihaknya melalui siri penganjuran terdahulu.

“Kita akan dapat melihat penyertaan besar kali ini kerana kita sudah menggiatkan promosi acara di seluruh semenanjung Malaysia beberapa minggu lalu, maka impak yang kita harapkan adalah daripada segi kedatangan pengunjung.

“Saya yakin kedatangan pengunjung bukan sahaja dalam kalangan penunggang motosikal dari seluruh Malaysia, malahan penunggang dari luar negara yang bersedia untuk bersama memeriahkan acara selama dua hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, terdapat penyertaan dari Singapura, Thailand dan Sarawak dijangka tiba di Pantai Morib malam ini bersama jentera dua roda untuk membuat persiapan menjelang acara besar-besaran itu.

Pada masa sama, Mohammad Zain berkata, pengunjung diingatkan supaya menitikberatkan aspek kebersihan sepanjang dua hari RGG berlangsung bagi memastikan kebersihan di sekitar Pantai Morib berada dalam keadaan terkawal tanpa dicemari sampah-sarap.

“Selama ini, kita menerima banyak komen daripada orang ramai berkaitan kebersihan, jadi kali ini kita akan menerapkan unsur kebersihan dalam bentuk praktikal supaya masyarakat sedar isu itu.

“Pantai Morib adalah pantai yang sentiasa dijaga, bahkan sentiasa memenangi pengiktirafan daripada aspek kebersihan dan keceriaan selain dijadikan sebagai pantai rekreasi yang menjadi kunjungan ramai,” katanya.

Pernah mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebanyak dua kali, RGG’19 bakal mengetengahkan tema ‘Gila-Gila Zaman Remaja’ adaptasi daripada filem Gila-Gila Remaja.

Pelakon, Faizal Hussein yang popular dengan gelaran ‘Azroy’ dalam filem berkenaan juga akan tampil di pentas RGG.

Categories
PBT SELANGOR

Potensi ketengah produk pelancongan Kedah ke Kuala Langat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

ALOR SETAR, 28 MAC: Kepelbagaian produk pelancongan dari Kedah berpotensi untuk diketengahkan ke Kuala Langat, sejajar usaha mempromosikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan terkenal, di Selangor.

Penolong Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Zulfatul Husna Zakaria berkata, perkembangan positif itu bukan sahaja akan menggamit lebih ramai kemasukan pelancong, malahan berupaya melonjakkan industri pelancongan kedua-dua pihak terbabit.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha mempromosi produk yang ada di negeri berkenaan dengan melihat keperluan merangka hala tuju dan pendekatan holistik terhadap perkara itu.

“Kita akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk mempromosikan produk pelancongan dari Kedah ke Kuala Langat atau Selangor secara amnya.

“Di MBAS, kita juga ada bahagian pelancongan yang akan menjalankan promosi bagi produk pelancongan terutama di Alor Setar dan Kedah amnya

“Ia akan digerakkan secara bersama melalui Unit Perancang Negeri misalnya unit pelancongan untuk kita meneruskan kolaborsi yang akan memberi impak positif dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi penyerahan bahan promosi Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19) yang bakal berlangsung secara besar-besaran, di Dataran Pantai Morib, pada 13 dan 14 April ini.

Terdahulu, Zulfatul yang mewakili Datuk Bandar MBAS menerima bahan promosi itu daripada Yang Dipertua MDKL, Mohd Zain A Hamid, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar, di sini, hari ini.

Ditanya bentuk mekanisme akan diatur untuk turut menjayakan RGG’19, Zulfatul memaklumkan, pihaknya komited membantu penganjuran program itu dengan mempergiatkan kempen hebahan kepada umum seterusnya memastikan penyertaan menggalakkan peserta, khususnya dari Kedah.

Beliau akan memanjangkan cadangan kepada pengurusan tertinggi untuk terus menjalin kerjasama utuh dalam pelbagai program yang dirancang selepas ini.

“Kita akan bekerjasama dengan kelab konvoi MBAS dan MDKL termasuk pihak berkuasa tempatan di Selangor yang turut menyertai konvoi ini, selain mempromosi pelbagai program lain seperti Pesta Morib,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Bantuan Kemanusiaan MDKL, Machang pahat sejarah 2014

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

MACHANG, 28 MAC: Komitmen Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menghantar misi bantuan kemanusiaan susulan bencana banjir teruk yang melanda Machang, Kelantan, pada 2014 masih terpahat kukuh dalam ingatan sehingga ke hari ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Machang (MDM), Ibrahim Bakri Mat Deris berkata, kejadian meruntun hati sehingga memaksa ribuan penduduk dipindahkan ke tempat lebih selamat mendorong MDKL menghantar Skuad PANTAS bagi membantu mangsa banjir terjejas di kawasan terbabit.

Katanya, pihak terbabit memberi bantuan dalam dua bentuk fasa meliputi keperluan segera makanan harian dan tumpuan terhadap kerja pembersihan kemudahan awam.

“Kehadiran MDKL kali ini seperti kasih lama kembali bertaut sejak persaudaraan dijalin pada 2014 selepas negeri ini ditimpa musibah banjir yang sangat teruk.

“Bentuk pertolongan sewaktu itu jelas memberi kesan amat mendalam kepada kami,” katanya ketika ditemui media selepas sesi penyerahan bahan promosi Retromania Grand Gathering 2019 (RGG’19), di sini, semalam.

Beliau menerima bahan kempen seperti sijil, plak, cakera padat (CD), poster dan gegantung daripada Yang Dipertua MDKL, Mohd Zain A Hamid.

Selepas musibah banjir melanda negeri berkenaan, MDKL menghantar kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan fasa pertama bersama konvoi PBT yang lain dengan membawa tiga buah lori dan dua buah pacuan empat roda meredah laluan banjir untuk menyampaikan bantuan.

Selain itu, sebuah lori dengan muatan sama turut digerakkan untuk memindahkan semua barang sumbangan kepada mangsa banjir di pantai timur menerusi Pusat Pengumpulan Bantuan Pengkalan Udara TUDM Subang.

Misi bantuan kemanusiaan MDKL turut menggerakkan pasukan kedua seramai 14 anggota bagi menjalankan kerja pembersihan kawasan dipenuhi sampah sarap dan lumpur.

Turut dibawa dalam konvoi pada ketika itu adalah sebuah lori, sebuah van dan sebuah pacuan empat roda serta kelengkapan pembersihan seperti ‘high cutter’, ‘chainsaw’, ‘water jet’, pam air juga generator.

Categories
PBT SELANGOR

RGG’19: Deruman enjin motosikal gegar kediaman YDP Machang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

MACHANG, 27 MAC: Deruman enjin pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi oleh peserta konvoi Jelajah Semenanjung Malaysia memecah kesunyian dan menggegarkan perkarangan kediaman rasmi Yang Dipertua Majlis Daerah Machang (MDM), hari ini.

Ketibaan konvoi diketuai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Zain A Hamid sekitar 10 pagi itu disambut mesra Yang Dipertua MDM, Ibrahim Bakri Mat Deris, bersama beberapa pengurusan tertinggi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Aneka jenama merangkumi pelbagai jenis model motosikal menyertai konvoi itu antaranya BMW-R1200GS, Kawasaki Versys 650, BMW RY1000, Kawasaki Z-800 dan Kawasaki Z-1000.

Machang, salah sebuah daerah di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi ‘pit stop’ kelima selepas Port Dickson, Alor Gajah, Kulai dan Marang, dalam konvoi yang bermula sejak Isnin lalu.

Terdahulu, konvoi anjuran MDKL disertai kira-kira 30 penunggang motosikal yang bergabung tenaga bagi memperhebatkan promosi sempena acara Retromania Grand Gathering 2019 (RGG19), pada 13 dan April ini.

Ibrahim ketika ditemui berkata, inisiatif penganjuran acara terulung yang akan menghimpunkan semua peminat motosikal dari seluruh negara itu menjadi inspirasi kepada pihaknya untuk melaksanakan program seumpama itu, pada masa akan datang.

Katanya, percaturan cukup baik dibuat MDKL dalam memastikan edisi ketujuh penganjurannya tahun ini berjalan dengan jayanya melalui promosi yang dipergiatkan di beberapa PBT di semenanjung Malaysia.

“Syabas kepada RGG’19 Kuala Langat kerana dapat mengadakan program seperti ini di Dataran Pantai Morib, April nanti.

“Program ini tidak akan terlaksana jika tidak dirancang dengan baik dan teliti tetapi saya percaya MDKL dapat melaksanakannya dengan baik,“ katanya.

Pada masa sama, bahan kempen RGG’19 seperti sijil, plak, cakera padat (CD), poster dan gegantung turut diserahkan kepada MDM sebagai medium promosi untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam kalangan masyarakat di Kelantan, khasnya Machang.

Categories
SELANGOR

MDKL perlu sedia terima limpahan kemajuan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 16 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) perlu bersedia menerima limpahan kemajuan di kawasan pentadbirannya dari masa ke masa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana ketika ini kawasan pentadbiran MDKL mempunyai pembangunan besar daripada beberapa pemaju gergasi.

Katanya, selain pembangunan pesat, daerah berkenaan juga sedang menjadi tumpuan pelabur asing dan tempatan yang mampu menjana pendapatan berbilion ringgit.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, daerah ini menerima pelbagai pembangunan dan menjana pendapatan melebihi sasaran.

“Bukan hanya pembinaan infrastruktur seperti lebuh raya besar, namun pelabur dari syarikat negara China turur membawa pelaburan berjumlah RM5 bilion.

“Ini menunjukkan bukti daerah ini menerima lonjakan pembangunan dan memberi peluang warga kerjanya mencipta perubahan dan bersedia menerima limpahan kemajuan akan datang, seiring perubahan cara kerja bagi mengecapi hasrat Kerajaan Negeri ke arah Smart State,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Media dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2018, di Galeri Jualan, Bandar Rimbayu, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Pada masa sama, Amirudin berkata, cabaran bagi menghadapi limpahan pembangunan dan kemajuan itu perlu digalas semua pihak walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran akan datang.

“Sudah tentu limpahan ini bukan hanya sekadar perubahan kemudahan tetapi membabitkan sosial budaya masyarakat keseluruhannya.

“Justeru, dengan perkembangan yang berlaku ini, saya yakin warga kerja MDKL mampu memikul tugas dengan sebaiknya dan menjadikan Kuala Langat sebagai majlis perbandaran yang menjadi contoh kepada Pihak Berkuasa Tempatan lain,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kakitangan Media Selangor ungguli Anugerah Media MDKL 2018

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 16 MAC: Enam kakitangan Media Selangor mengungguli Anugerah Media bagi kategori Media Cetak dan Televisyen untuk 2018 daripada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Daripada enam kakitangan itu, tiga daripadanya dari akhbar SelangorKini iaitu Penolong Editor, Hafizan Taib dan Wartawan Norhayati Umor serta Wan Muhammad Zareef Muzammil Wan Zulfikri.

Manakala, daripada TV Selangor pula dianugerahkan kepada Penolong Penerbit, Anna Farina Abdul Rauf dan Ahmad Nahar Sulaiman serta Jurukamera Kanan, Hanafi Mohamed.

Masing-masing membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai.

Anugerah berkenaan disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, pada Majlis Penghargaan Media dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MDKL 2018 yang diadakan di Galeri Jualan, Bandar Rimbayu, di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Amirudin dalam ucapannya berkata, hubungan baik antara Pihak Berkuasa Tempatan mahupun Kerajaan Negeri dengan media perlu dipupuk dan dipertingkatkan sebaik mungkin.

Katanya, hal itu kerana peranan media untuk melaporkan sebarang aktiviti sangat penting bagi memberi impak kejayaan sesebuah organisasi.

“Media yang adil serta bertanggungjawab akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Laporan pihak media adalah bahagian penting untuk kita menambahbaik pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Media Selangor adalah lidah rasmi Kerajaan Negeri di bawah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar, iaitu Communication Corporation Sdn Bhd.

Categories
SELANGOR

Lupakan kejayaan lampau, kecapi lebih tinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 16 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, mahu semua penjawat awam tidak terus diulik dengan kejayaan lampau, sebaliknya komited mencipta lebih banyak kejayaan, pada masa akan datang.

Beliau berkata, usaha menggembleng ke arah itu mampu direalisasikan apabila kakitangan menambah baik kualiti perkhidmatan sedia ada.

“Beberapa elemen perlu dipertingkatkan antaranya menukar cogan kata daripada melaksanakan tugas kepada amanah.

“Ini adalah anjakan besar seseorang penjawat awam kerana perlu menanam sifat berkenaan dengan bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh.

“Penjawat awam juga perlu memastikan perubahan dengan berkongsi kepandaian, melebarkan suasana negatif kepada positif ke arah membakar semangat lebih baik antra satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Media dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 2018, di Galeri Jualan, Bandar Rimbayu, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Pada masa sama, Amirudin berkata, seramai 34 kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan dua pesara itu dapat menjadi pembakar semangat kakitangan lain.

“Dengan pencapaian cemerlang ditunjukkan warga kerjanya, pastinya kejayaan ini dikecapi berdasarkan kejayaan lampau dan boleh menjadi contoh kepada kakitangan lain.

“Saya percaya, dengan kepimpinan tradisi yang ditunjukkan sejak 10 tahun lalu dalam melaksanakan tugas tanpa politik keterlaluan, pasti membuahkan kejayaan positif,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL ajak sertai program Draf Rancangan Tempatan

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 6 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menjemput orang ramai untuk menghadirkan diri ke Publisiti Awal Draf Rancangan Tempatan Kuala Langat (Pengubahan 1) 2030.

Program itu bermula jam 9 pagi hingga 4 petang, mulai 4 hingga 29 Mac ini, di Ruang Legar Majlis Daerah Kuala Langat.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Yasin Alwi berkata, program itu bertujuan memaklumkan kepada orang ramai khususnya penduduk tempatan berkenaan penyediaan Rancangan Tempatan.

“Program ini memberi peluang kepada mereka untuk memberi pandangan, cadangan awal, hasrat dan aspirasi bagi diambil kira dalam kajian yang akan dijalankan di bawah Seksyen 12A, Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172).

“Justeru, orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama MDKL menyediakan sebuah perbandaran terbaik seiring hasrat menuju ke arah “Perbandaran Maju Dinamik Dan Lestari”,” katanya.