Categories
SELANGOR

Semua Kaum Rasai Peruntukkan ADUN Teluk Datuk

philip tan pc kaum 04

KUALA LANGAT, 3 MAC : Penduduk Melayu, Cina dan India di kawasan Teluk Datuk di sini telah menikmati peruntukan sebanyak RM 500 ribu setahun yang diagihkan secara adil dan saksama oleh Adun mereka sepanjang lima tahun perkhidmatannya.

Setiap tahun kata Adun Teluk Datuk, Philip Tan Choon Swee, beliau membelanjakan RM 100 ribu untuk setiap komuniti di kawasannya. Pebelanjaan itu melibatkan projek memperbaiki rumah dan sumbangan ke rumah ibadat komuniti India dan Cina.

Manakala RM 200 ribu dibelanjakan dalam aktiviti yang melibatkan semua kaum seperti sumbangan ke PIBG dan membeli peralatan murid. Jumlah ini juga digunakan untuk memperbaiki infrastruktur seperti jalan raya dan parit.

Philip memberi penjelasan tersebut sebagai respons kepada bekas Ketua Komuniti India Teluk Datuk, John Paramasivam Veerasamy yang menuduhnya tidak menggunakan peruntukan ADUN untuk kaum India di kawasannya.

“Saya ada ‘figure-figure’ tunjukkan apa yang dia kata saya ‘racist’.

“Selain daripada saya menjaga kaum Cina, saya juga jaga India dan kaum Melayu, saya bukan cakap sahaja,” tegasnya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Telok-DatukMenurut Philip, peruntukan RM 100 ribu pada tahun lalu digunakan untuk membaikpulih 20 buah rumah dan surau di empat kampung Melayu tradisional.

“Lebih 20 rumah sudah siap dan ada tujuh rumah lagi yang saya beri bahan dan mereka buat sendiri,” katanya lagi.

Manakala majoriti peruntukkan RM 100 ribu untuk kaum India dan Cina disumbangkan ke rumah ibadat dan majlis perayaan kaum-kaum tersebut.

Baru-baru ini, John Paramasivam bersama-sama Kumarayah Ponnayah dan Saravanan Kaliannan telah mengadakan sidang media pada 27 Februari lalu dan menuduh Philip tidak menjaga komuniti India dan Melayu dan hanya mementingkan komuniti Cina sahaja.

Sementara itu, Ketua Komuniti Kaum India Teluk Datuk, Muniandy Manirasu, berkata Philip sentiasa prihatin terhadap rakyat di kawasannya dan menafikan dakwaan bahawa kaum India di kawasan itu dianaktirikan.

“YB telah membelanjakan ratusan ribu sejak lima tahun ini untuk kaum India dan tuduhan yang dibuat oleh John Paramasivam adalah sangat tidak berasas,” katanya ketika ditemui.

Ahli Majlis Zon 19 Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Yap Lai Keng, pula menyatakan Philip seorang Adun yang bertanggungjawab kerana sentiasa turut serta dalam setiap program yang dianjurkannya.

Categories
SELANGOR

200 Sertai Kayuhan BES Jelajah Selangor Kuala Langat

kayuh basikal yunus morib 01

KUALA LANGAT 9 FEB : Lebih 200 peserta hari ini menyertai Kayuhan Basikal Belia Ehsan Selangor (BES) Jelajah Selangor dari Pantai Morib ke Telok Panglima Garang.

Program anjuran Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri tersebut merupakan kesinambungan kepada Program Jelajah Futsal yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini oleh Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

kayuh basikal yunus morib 03Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, selain membawa kelainan kepada warga belia pada siri tahun ini, program berbasikal itu juga diharap dapat menarik penyertaan yang lebih menyeluruh.

“Ia juga merupakan usaha untuk membolehkan rakyat khususnya golongan belia untuk mengenali Selangor dengan lebih dekat.

“Program dijalankan secara santai agar peserta dapat menikmati keindahan pemandangan negeri ini di samping mempromosikan cara hidup yang sihat,” kata Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang.

Program anjuran bersama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) pada pagi ini juga merupakan Siri Kedua Kayuhan BES selepas Siri Pertama diadakan di Kuala Selangor, minggu lepas.

kayuh basikal yunus morib 02Pagi ini, peserta berkayuh sejauh 40 km dari Pantai Morib dan hingga ke Tapak Pasar Malam, Taman Datok Hormat, Telok Panglima Garang.

Sementara itu, salah seorang peserta, Masran Hassan 48, memuji program tersebut yang sangat bermanfaat dalam membentuk sahsiah diri yang baik untuk golongan belia.

“Saya harap para belia dapat mengambil peluang ini kerana aktiviti sebegini mampu meningkatkan semangat persepakatan antara mereka.

“Ini juga dapat mengelak para belia daripada menyertai aktiviti kurang sihat yang merugikan mereka,” kata peserta yang aktif menyertai kelab berbasikal ini.

Turut hadir dalam program pagi tadi ialah Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin.

Minggu hadapan, program Kayuhan BES Jelajah Selangor Siri Ketiga akan dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Angkat Martabat Seni Budaya Bangsa

KUALA LANGAT 8 DIS : Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) sentiasa terus berusaha mengangkat kedudukan seni dan warisan budaya selain memperkasa ekonomi negeri.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata walaupun Selangor sebuah negeri yang maju dan terbaik di Malaysia tetapi Kerajaan Negeri tidak sesekali akan melupakan elemen kebudayaan.

Katanya, kebudayaan berperanan penting dalam proses pembangunan negara di mana keperibadian rakyat harus dipupuk ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik.

Sehubungan itu, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri itu, pelbagai program kebudayaan dirangka dan dijalankan di seluruh negeri itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena dengan penutupan Festival Jalanan Daerah Kuala Langat 2012 yang diadakan di Kanchong Darat, di sini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohd Azhar Mohamed Ali dan Adun Teluk Datok, Philip Tan.

“Kita tidak mahu budaya kita ‘dimuziumkan’, apa yang kita mahu ia ‘dihidupkan’ oleh masyarat setempat. Masyarakat seharusnya melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini tanpa mengira bangsa, kerana ia memperlihatkan identiti negara.

“Banyak program yang dijalankan sudah pasti ia perlu dilaksanakan berterusan bagi menimbulkan kesedaran memelihara seni dan budaya dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Rodziah menambah tiga elemen yang terdiri daripada agama, budaya dan teknologi perlu diterapkan kepada generasi muda masa kini.

“Ketiga-tiga elemen itu perlu diamik perhatian oleh anak muda sekiranya mahu memajukan sesuatu masyarakat. Walaubagaimana maju sekalipun, ketiga-tiga elemen itu perlu kita gabungkan.

“Saya percaya, Festival Jalanan yang kita anjurkan ini bukanlah semata-mata untuk mendapatkan nama daripada mana-mana pihak, tetapi adalah bertujuan untuk tatapan dan wadah kepada generasi akan datang mengenai peninggalan budaya dan warisan negara yang tidak ternilai,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor dengan kerjasama MDKL itu mula diadakan pada pukul 8.30 pagi.

Pelbagai program yang disusun seperti Pameran Seni Budaya Selangor, Demonstrasi membuat gasing, Pertandingan Congkak, Galah Panjang, Batu Seremban, Dam Harimau, Baling Buah Kelapa, Sepak Raga Pelikat dan Gasing.

Program itu merupakan pusingan ketiga selepas Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Status MDKL Dinaiktaraf Kepada Majlis Perbandaran

KUALA LANGAT 8 DIS : Status Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat tidak lama lagi.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata ia berikutan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) itu memenuhi kriteria dan syarat.

Katanya, MDKL bukan sahaja sekadar memberikan perkhidmatan kerajaan tempatan yang asas, tetapi memainkan peranan utama dalam melaksanakan program Kerajaan Negeri yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta membangunkan Selangor sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa.

“MDKL dianggap sebagai alat penting dalam pemodenan sosio- ekonomi setempat, antaranya tempat-tempat sejarah dan perlancongan juga banyak di kawasan Kuala Langat ini.

“Jadi tiada sebabnya MDKL tidak boleh menukar statusnya kepada Majlis Perbandaran, pertukaran status itu akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam Penutupan Festival Jalanan Anjuran Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor dengan kerjasama MDKL di Kanchong Darat, di sini.

Rodziah menambah ia selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri yang mahukan 90 peratus kawasan di negeri itu di perbandarankan berikutan sesuai dengan keadaan semasa, ekonomi dan masyarakat setempat.

Untuk rekod, Majlis Daerah Kuala Langat ditubuhkan pada 1 Januari 1977, di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Ia melalui tiga gabungan majlis tempatan iaitu Majlis Tempatan Sg. Jarom, Majlis Tempatan Tanjung Sepat dan Lembaga Bandaran Kuala Langat.

Di mana keluasan kawasan pentadbiran pada awal penubuhannya adalah 3.7 batu persegi (9.6 km) dan mula bertambah kepada 857.70 km persegi termasuk tiga batu nautika.

Selain itu, daerah Kuala Langat mempunyai keluasan seluas 87,704 hektar. Jumlah penduduknya masa kini melebihi 270,000 orang dengan majoriti daripada bangsa Melayu, diikuti oleh Cina dan India serta sejumlah kecil orang-orang asli.

Kuala Langat adalah salah satu dari sembilan daerah di Selangor. Ia bersempadan dengan daerah Klang dan Sepang. Sebahagian daerah Kuala Langat terletak di persisiran Selat Melaka.

Pembangunan pesat kawasan seperti Putrajaya dan Lapangan Terbang KLIA telah meletakkan daerah ini kawasan yang strategik untuk pelaburan.

Di samping itu, daerah ini disokong dengan kemudahan infrastuktur jalan raya yang baik yang menyambungkan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Bandar DiRaja Klang, Pelabuhan Klang, Putrajaya dan KLIA.

Kini, daerah itu terdapat sebuah kawasan perindustrian bertaraf Zon Perdagangan Bebas di Telok Panglima Garang. Selain itu, terdapat juga kawasan yang menarik di sini seperti Bukit Jugra, pantai Morib dan beberapa perkampungan Homestay.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kemajuan IKS Gombak Menjadi Inspirasi Kuala Langat

GOMBAK, 9 NOV : Lawatan sekumpulan ketua kampung daerah Kuala Langat ke beberapa kampung di sini untuk melihat perindustrian kecil dan serderhana (IKS) menjadi pencetus idea untuk membawa pulang cara mengurus IKS di situ ke kampung mereka.

Penolong Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamad Zamir Shah Hamzah berkata, ketua-ketua kampung tersebut mengambil kesempatan mendalami dan mempelajarinya pengurusan IKS di Gombak.

Menurutnya, kira-kira 80 pengerusi serta urusetia Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) melawat Kampung Damai, Kundang dan Serai.

“Kampung Damai di Kuang contohnya sudah mempunyai pusat pengumpulan IKS.

?Jadi ia adalah peluang terbaik bagi kita belajar cara pengurusan daripada JKKK kampung berkenaan cara mereka memajukan IKS di kawasan ini.

“Kita juga bertukar idea dan pandangan dengan pengurusan daerah Gombak dan JKKK di sini kerana kawasan di sini kemajuan industri beratnya lebih ke hadapan berbanding di Kuala Langat.

?Ia juga lawatan balas kerana sebelum ini kita pernah dikunjungi rombongan JKKK daerah Gombak,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, rombongan tersebut dibawa melawat beberapa tempat seperti Pusat Pengumpulan IKS di Kampung Damai, Kuang, kilang Motor Teknologi & Industri Sdn Bhd dan Pusat Equestrian di Rawang.

Penghulu Kanan Daerah Gombak, Izenan Basar berkata, lawatan rombongan JKKK Kuala Langat itu satu cara bagi mengeratkan hubungan silaturrahim yang sedia terjalin antara dua daerah.

Beliau menjelaskan pihaknya berbangga kerana menjadi tuan rumah dan sedia memberikan kerjasama terhadap segala bantuan diperlukan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MDKL Akan Ambil Tindakan Terhadap Pasaraya Beroperasi Lebih Masa

KUALA LANGAT 26 SEPT : Tindakan sesetengah pasaraya beroperasi melebihi had waktu ditetapkan menyebabkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengambil langkah untuk menyelaraskan waktu operasi ke atas semua premis perniagaan itu.

Pemangku Yang Dipertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari berkata pihaknya mengambil serius perkara itu kerana ia melibatkan kesalahan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sebelum ini, terdapat pasaraya yang beroperasi 24 jam setiap hari dan menyebabkan kemarahan dan rungutan dari pihak peniaga runcit di sekitar Kuala Langat.

Katanya, pasaraya terbabit pernah membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh operasi, namun pihak MDKL menolak permohonan itu.

“Bagaimanapun, pihak mereka degil dan tetap menjalankan operasi 24 jam biarpun dikompaun.

“Oleh itu, kita akan menyelaraskan masa operasi bagi semua perniagaan seperti itu. Kita tidak mahu mana-mana perkara sedemikian akan menyebabkan pergaduhan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MDKL.

Hafiz menambah, tempoh operasi yang dibenarkan itu bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam sahaja.

Katanya, sekiranya pihak pengurusan masih berdegil tindakan tegas akan diambil.

“Kita juga akan mengadakan sesi dialog dengan kesemua pihak pengurusan pasaraya untuk membincangkan perkara ini dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDKL Arah Kontraktor Kutip Semua Sampah Haram

KUALA LANGAT 23 MEI : Kontraktor di setiap zon daerah Kuala Langat diingatkan supaya mengutip semua ‘sampah haram’ di kawasan sekitar termasuk di kawasan perumahan.

Pemangku Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata pihak MDKL membayar amaun kotenjensi kepada setiap kontraktor supaya mengutip ‘sampah haram’ itu.

‘Sampah haram’ ialah bahan buangan yang tidak diletakkan di tempat pembuangan atau tong sampah yang disediakan oleh MDKL.

Katanya, dengan pembayaran terbabit pihak kontraktor diharapkan tidak lagi memberikan alasan tidak mahu mengutip sampah terbabit.

“Sebelum ini, pihak kontraktor tidak mahu mengutip ‘sampah haram’ itu berikutan MDKL tidak membayar amaun terbabit tetapi kini ia sudah dilunaskan dengan syarat tiada lagi sampah haram,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan di MDKL pagi tadi.

Tambah Hafiz, penduduk setempat juga diingatkan menjaga persekitaran kawasan kediaman bagi mengelakkan sebarang ancaman penyakit seterusnya menanam sikap tidak membuang sisa pepejal sesuka hati.

Justeru, MDKL meminta penduduk menyediakan tong sampah berkapasiti 120 liter yang bertutup di setiap kediaman.

Katanya, ini memudahkan kerja-kerja kontraktor untuk mengutip sampah domestik dengan teratur.

“Banyak sampah yang dilihat mencacatkan pemandangan kerana mereka bertindak melonggokkan sampah itu dihadapan rumah mereka tanpa membuang di dalam tong sampah.

“Jadi kaedah yang disarankan itu membolehkan pengurusan sisa pepejal akan lebih teratur, bersih dan terjamin. Kami berharap orang ramai mengamalkan cara pembuangan sampah yang betul dan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata MDKL akan memberikan notis keperluan penyediaan tong sampah kepada penduduk.

“Tindakan kompaun akan dikenakan di bawah Akta Undang-Undang Kecil Pungutan Pembuangan Sampah (MDKL) 2007 sekiranya mereka ingkar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Isu Pasang Bendera: MDKL Akan Ambil Tindakan

KUALA LANGAT 25 APR : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan mengenakan kompaun terhadap mana-mana pihak yang menaikkan bendera parti di kawasan awam di luar waktu yang dibenarkan.

Dalam Mesyuarat Ahli Majlis pagi tadi, Pemangku Yang Di Pertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari bagaimanapun berkata, memandangkan bendera-bendera tersebut dipasang bukan diwaktu kempen pilihanraya akan menjadi suatu kesalahan dibawah undang-undang PBT.

“Kita akan berbincang lebih lanjut dan akan memperhalusi setiap jumlah cadangan yang dirasakan sesuai dikenakan terhadap pesalah.

“Apapun, kita akan terlebih dahulu meminta wakil pihak parti politik yang berkenaan untuk menurunkan bendera bagi mengelakkan tindakan penguatkuasa,” jelas Hafiz.

Buat masa sekarang, pihak MDKL hanya menurut garis panduan yang diberi oleh Kerajaan Negeri berkenaan isu bendera ini.

“Seperti yang dipersetujui Majlis Mesyuarat Exco Negeri, bendera hanya boleh dipasang 2 hari sebelum dan selepas sesuatu program parti politik.

“Jadi, sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat tidak seharusnya bertentangan dengan keputusan Kerajaan Negeri,” ujar Hafiz sambil memberitahu tindakan MDKL terhadap pesalah ketika ini adalah menyimpan sebarang bendera yang dirampas.

Ketika diminta mengulas pemasangan bendera di kawasan kedai atau rumah persendirian, beliau menjelaskan perkara tersebut di luar bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita hanya boleh mengambil tindakan untuk kawasan awam, bagi kawasan persendirian mereka berhak untuk meletakkan bendera apa sahaja mengikut kemahuan mereka,” kata Hafiz.

Categories
SELANGOR

‘Perkuburan Wilayah Bersepadu’ Atasi Masalah Tapak Kubur Di Selangor

SHAH ALAM, 9 APR : Berdasarkan perangkaan terkini unjuran penduduk sehingga 2060, kerajaan negeri mengambil inisiatif merancang Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) bagi mengatasi isu kekurangan kawasan perkuburan di negeri ini .

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, berkata PWB menggabungkan dua aspek penting iaitu konsep Perkuburan Wilayah dan Perkuburan Bersepadu.

Perkuburan Wilayah menyaksikan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berjiran atau berhampiran dengan maksimum 45 minit masa perjalanan berkongsi tanah perkuburan manakala Perkuburan Bersepadu merupakan pembangunan yang terancang menempatkan tanah perkuburan untuk mereka yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.

“Melalui konsep ini juga, perancangan PWB turut menyediakan kemudahan-kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, bangunan krematoriom, tandas awam, laluan akses dan pejalan kaki selain tempat meletak kereta.

“Kita dalam usaha melaksanakannya mengikut lokasi dan wilayah kedudukan PBT dan setiap zon tapak perkuburan perlu dikenalpasti mengikut kewujudan tapak, kadar kemudahsampaian dan aksesibiliti yang dikongsi antara PBT berhampiran,” jelas Teresa ketika sidang medianya di Bangunan Darul Ehsan.

Sebanyak tiga zon dikenalpasti sebagai Zon Tapak PWB iaitu Zon Utara yang menggabungkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagi Zon Timur pula meliputi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dan Majlis Daerah HUlu Selangor (MDHS).

Sementara itu, Zon Selatan menggabungkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSpg), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlid Daerah Kuala Langat (MDKL).

Di peringkat awal ini, Teresa berkata, kerajaan negeri dalam proses perolehan tapak dan perancangan lanjut di beberapa tapak iaitu di Sepang, Petaling dan Hulu Langat.

Categories
SELANGOR

Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MDKL

KUALA LANGAT 14 MAC : Ahli Majlis yang baru dilantik dinasihat agar lebih proaktif dalam memberi pandangan serta nasihat dan bukan sekadar menyampaikan aduan rakyat kepada Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), demikian pesan Pemangku Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari.

“Kita memang mengalu-alukan penyampaian aduan itu. Tetapi Ahli Majlis mempunyai tugasan yang lebih berat dan besar lagi dengan memfokuskan fungsi dan peranan menggubal dasar dan polisi bagi kemajuan bersama,”  katanya ketika berucap di Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis bagi sesi 2012-2013 yang diadakan di Bilik Cempaka Kuning MDKL di sini.

Selain itu, Hafiz yang merupakan Setiausaha MDKL turut mengumumkan untuk sesi tahun ini juga, peruntukkan bertambah daripada

RM16,000 kepada RM20,000 yang akan diaudit serta dipantau perbelanjaannya oleh pihak MDKL.

“Diharapkan dengan peruntukan tambahan ini, dapatlah Ahli Majlis gunakan untuk program-program yang dapat mendekatkan diri dengan penduduk seterusnya mendapatkan ‘first source information’ untuk diteliti dan dinilai sebelum membuat sebarang keputusan,” ujar Hafiz sambil menambah separuh daripada Ahli Majlis bagi sesi kali ini merupakan lantikan baru.

Sementara itu, Rizuan Rahmat dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3 menyatakan rasa gembira dan berterima kasih di atas pertambahan peruntukan tersebut yang dirasakan dapat melancarkan lebih banyak lagi program yang bermanfaat.

“Sesi lepas peruntukan lebih kecil, jadi banyak program yang kita hendak buat itu tidak dapat dilaksanakan.

“Alhamdulillah dengan adanya peruntukkan tambahan ini dapatlah kita jalankan program kemasyarakatan dengan lebih banyak lagi,” beritahu Rizuan yang menerima lantikan kali ke-empat semenjak pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

Manakala bagi muka baru Basuki Yusof dari Zon 7 pula, berkata, misinya adalah bekerja penuh komited untuk membantu

menyempurnakan misi MDKL untuk menjadi sebuah Majlis Perbandaran yang cekap.

“Apabila bergelar Majlis Perbandaran tentunya ruang dan peluang kepada kakitangan dan penduduk setempat akan terbuka luas, contohnya peluang infrastruktur bagi daerah ini,” ujar Basuki.

Majlis Angkat Sumpah pagi tadi turut dihadiri Adun Sijangkang yang juga Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.