DUN Selat Klang Mahu Anjurkan “Ramadan Yang Bermakna”

KLANG, 30 JUL : Sempena sambutan Nuzul Al-Quran yang bakal berlangsung Ogos 6, Dun Selat Kelang mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Meaningful Ramadan’ (?Ramadan Yang Bermakna?) di kawasan itu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, program yang membabitkan pelajar tahfiz itu akan berlangsung di Kampung Delek di sini yang terkenal dengan jolokan ‘Mini Serambi Makkah’.

Beliau berkata, sepanjang program itu, kesemua pelajar berkenaan akan bertadarus 30 juzuk Al-Quran setiap hari, bermula 6 hingga 12 Ogos depan.

“Selain itu, kita turut menganjurkan program bersama mahasiswa daripada Kolej Inpens, Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Universiti Selangor (Unisel) dan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor, di mana kita mahu merakyatkan mahasiswa ini.

“Kita mahu beri peluang kepada mereka untuk menyertai motivasi dan program ziarah bagi melakukan kerja-kerja amal,” ujarnya lagi pada satu majlis pemberian sumbangan duit raya di Masjid Darul Muttaqin di sini, semalam.

Pada majlis itu, RM 30,500 daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan tabung masjid disumbangkan kepada 122 anak yatim di daerah Klang.

Kesemua anak yatim itu adalah dari kawasan Sungai Udang, Sungai Bertih, Kampung Delek, Jalan Yadi dan Jalan Selamat masing-masing menerima RM 250 seorang.

Turut menerima sumbangan, 66 ibu tunggal dari kawasan sama di mana masing-masing menerima barang keperluan harian.

Dr Halimah berkata, sumbangan tersebut bertujuan menceriakan anak yatim dan ibu tunggal berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Masjid adalah insitusi penting yang mesti merasakan denyut nadi orang susah dan hidup dalam kesempitan, lebih-lebih lagi kepada anak yatim.

?Ini kerana, anak yatim merasakan sambutan Ramadan dan Aidilfitri itu adalah satu peristiwa yang menyentuh hati mereka.

“Dengan sedikit perhatian dari pemimipin masyarakat seperti Adun dan JKK Kampung serta AJK surau dapat meredakan sedikit kesedihan mereka menjelang hari raya,” katanya.