DUN Selat Klang Mahu Anjurkan “Ramadan Yang Bermakna”

KLANG, 30 JUL : Sempena sambutan Nuzul Al-Quran yang bakal berlangsung Ogos 6, Dun Selat Kelang mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Meaningful Ramadan’ (?Ramadan Yang Bermakna?) di kawasan itu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, program yang membabitkan pelajar tahfiz itu akan berlangsung di Kampung Delek di sini yang terkenal dengan jolokan ‘Mini Serambi Makkah’.

Beliau berkata, sepanjang program itu, kesemua pelajar berkenaan akan bertadarus 30 juzuk Al-Quran setiap hari, bermula 6 hingga 12 Ogos depan.

“Selain itu, kita turut menganjurkan program bersama mahasiswa daripada Kolej Inpens, Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Universiti Selangor (Unisel) dan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor, di mana kita mahu merakyatkan mahasiswa ini.

“Kita mahu beri peluang kepada mereka untuk menyertai motivasi dan program ziarah bagi melakukan kerja-kerja amal,” ujarnya lagi pada satu majlis pemberian sumbangan duit raya di Masjid Darul Muttaqin di sini, semalam.

Pada majlis itu, RM 30,500 daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan tabung masjid disumbangkan kepada 122 anak yatim di daerah Klang.

Kesemua anak yatim itu adalah dari kawasan Sungai Udang, Sungai Bertih, Kampung Delek, Jalan Yadi dan Jalan Selamat masing-masing menerima RM 250 seorang.

Turut menerima sumbangan, 66 ibu tunggal dari kawasan sama di mana masing-masing menerima barang keperluan harian.

Dr Halimah berkata, sumbangan tersebut bertujuan menceriakan anak yatim dan ibu tunggal berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Masjid adalah insitusi penting yang mesti merasakan denyut nadi orang susah dan hidup dalam kesempitan, lebih-lebih lagi kepada anak yatim.

?Ini kerana, anak yatim merasakan sambutan Ramadan dan Aidilfitri itu adalah satu peristiwa yang menyentuh hati mereka.

“Dengan sedikit perhatian dari pemimipin masyarakat seperti Adun dan JKK Kampung serta AJK surau dapat meredakan sedikit kesedihan mereka menjelang hari raya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dr Halimah Kesal Dengan SMS Palsu Bantuan Banjir

KLANG, 3 APRIL : Pejabat ADUN Selat Klang kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang mengatakan Pejabat itu menyediakan RM300 untuk mangsa-mangsa banjir.

Pegawai Khas Pejabat ADUN Selat Klang, Abdul Razak Abdul Rashid berkata SMS tersebut diterima penduduk ketika kejadian banjir kilat Jumaat lalu dan melahirkan perasaan kesal terhadap perkara itu ketika ditemui hari ini.

“SMS tersebut disebarkan kepada penduduk dan mereka datang untuk menuntut wang di Pejabat DUN Selat Klang dan kami terkejut kerana mereka menyatakan pihak DUN menyediakan bantuan RM300 kepada mereka.” jelas Abdul Razak lagi.

ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata tindakan tersebut mungkin dilakukan oleh musuh politik mereka.

Dr Halimah ditemui di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Delek ketika meninjau program bancian mangsa banjir yang dilakukan pusat khidmat itu di sini semalam.

Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Klang berpunca daripada kegagalan kunci air berfungsi dan menyebabkan hampir 1,000 penduduk di sekitar Kampung Delek mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Sementara itu, Dr Halimah berkata Pusat DUN Selat Klang menerima sebuah van untuk tugasan kemasyarakatan hasil sumbangan syarikat Capyield Sdn. Bhd.

Van tersebut digunakan untuk mengagihkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Kampung Delek dan beberapa kawasan berhampiran.

Selain itu, Pejabat DUN Selat Klang dan Pusat JKKK Kampung Delek telah mengadakan Tabung Kebajikan DUN Selat Klang untuk menerima sumbangan daripada orang ramai bagi menolong mangsa banjir.

Sumbangan boleh dimasukkan ke no akaun Tabung Kebajikan Dun Selat Kelang 120 100 100 804 20 Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).