Categories
NASIONAL SELANGOR

20 Tahun Menanti, Baru Kini Jambatan Sg Delek Siap

Sg Delek 01

KLANG 29 APRIL : Penantian lebih 20 tahun penduduk sekitar Selat Klang khususnya Kampung Delek untuk mendapatkan sebuah jambatan berakhir apabila ia sudah siap sepenuhnya.

Jambatan yang diberi nama ‘Mini Serambi Mekah’ itu menelan kos sebanyak lebih RM3.4 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Klang(MPK).

Calon DUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata jambatan berkenaan akan dapat menyelesaikan banyak masalah perhubungan penduduk.

Katanya, sebelum ini penduduk hanya menggunakan jambatan kunci air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang hanya mampu memberi laluan kepada satu kenderaan sahaja dalam satu masa.

“Jadi, bila waktu puncak pagi dan petang, ia sangat sesak malah ia tidak boleh dilalui kenderaan berat. Dengan adanya jambatan ini, ia dapat mengurangkan kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan baru itu, di sini.

Sg Delek 02

Beliau berkata dengan adanya jambatan itu ia juga dapat memudahkan penduduk sekitar membawa jenazah daripada seberang sungai ke tanah perkuburan di mana sebelum ini penduduk terpaksa melalui jalan yang jauh kerana tiada jambatan.

Sementara itu, Ketua Kampung Delek, Samsul Bahri berkata keprihatinan Kerajaan Negeri itu sangat dihargai penduduk kampung.

“Saya sebagai wakil penduduk sangat bersyukur dan berterima kasih kepada YB dan Kerajaan Negeri.

“Selain itu, ia dapat sekurang-kurangnya mengurangkan kadar kemalangan selain tidak lagi terpaksa mengikut jalan jauh lebih 10 kilometer jika untuk ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Projek yang dimulakan pada awal Januari lalu itu meliputi pembinaan jambatan dan jalan sepanjang 1.2 kilometer yang mempunyai laluan dua hala.

Jambatan itu dibina di atas Sungai Telok Gadung dan Jalan Sri Perantau Kampung Delek berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan. Ia meliputi penyediaan jalan raya baru.

Sg Delek 03

DUN Selat Klang Mahu Anjurkan “Ramadan Yang Bermakna”

KLANG, 30 JUL : Sempena sambutan Nuzul Al-Quran yang bakal berlangsung Ogos 6, Dun Selat Kelang mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Meaningful Ramadan’ (?Ramadan Yang Bermakna?) di kawasan itu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, program yang membabitkan pelajar tahfiz itu akan berlangsung di Kampung Delek di sini yang terkenal dengan jolokan ‘Mini Serambi Makkah’.

Beliau berkata, sepanjang program itu, kesemua pelajar berkenaan akan bertadarus 30 juzuk Al-Quran setiap hari, bermula 6 hingga 12 Ogos depan.

“Selain itu, kita turut menganjurkan program bersama mahasiswa daripada Kolej Inpens, Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), Universiti Selangor (Unisel) dan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor, di mana kita mahu merakyatkan mahasiswa ini.

“Kita mahu beri peluang kepada mereka untuk menyertai motivasi dan program ziarah bagi melakukan kerja-kerja amal,” ujarnya lagi pada satu majlis pemberian sumbangan duit raya di Masjid Darul Muttaqin di sini, semalam.

Pada majlis itu, RM 30,500 daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan tabung masjid disumbangkan kepada 122 anak yatim di daerah Klang.

Kesemua anak yatim itu adalah dari kawasan Sungai Udang, Sungai Bertih, Kampung Delek, Jalan Yadi dan Jalan Selamat masing-masing menerima RM 250 seorang.

Turut menerima sumbangan, 66 ibu tunggal dari kawasan sama di mana masing-masing menerima barang keperluan harian.

Dr Halimah berkata, sumbangan tersebut bertujuan menceriakan anak yatim dan ibu tunggal berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Masjid adalah insitusi penting yang mesti merasakan denyut nadi orang susah dan hidup dalam kesempitan, lebih-lebih lagi kepada anak yatim.

?Ini kerana, anak yatim merasakan sambutan Ramadan dan Aidilfitri itu adalah satu peristiwa yang menyentuh hati mereka.

“Dengan sedikit perhatian dari pemimipin masyarakat seperti Adun dan JKK Kampung serta AJK surau dapat meredakan sedikit kesedihan mereka menjelang hari raya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dr Halimah Kesal Dengan SMS Palsu Bantuan Banjir

KLANG, 3 APRIL : Pejabat ADUN Selat Klang kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang mengatakan Pejabat itu menyediakan RM300 untuk mangsa-mangsa banjir.

Pegawai Khas Pejabat ADUN Selat Klang, Abdul Razak Abdul Rashid berkata SMS tersebut diterima penduduk ketika kejadian banjir kilat Jumaat lalu dan melahirkan perasaan kesal terhadap perkara itu ketika ditemui hari ini.

“SMS tersebut disebarkan kepada penduduk dan mereka datang untuk menuntut wang di Pejabat DUN Selat Klang dan kami terkejut kerana mereka menyatakan pihak DUN menyediakan bantuan RM300 kepada mereka.” jelas Abdul Razak lagi.

ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata tindakan tersebut mungkin dilakukan oleh musuh politik mereka.

Dr Halimah ditemui di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Delek ketika meninjau program bancian mangsa banjir yang dilakukan pusat khidmat itu di sini semalam.

Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Klang berpunca daripada kegagalan kunci air berfungsi dan menyebabkan hampir 1,000 penduduk di sekitar Kampung Delek mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Sementara itu, Dr Halimah berkata Pusat DUN Selat Klang menerima sebuah van untuk tugasan kemasyarakatan hasil sumbangan syarikat Capyield Sdn. Bhd.

Van tersebut digunakan untuk mengagihkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Kampung Delek dan beberapa kawasan berhampiran.

Selain itu, Pejabat DUN Selat Klang dan Pusat JKKK Kampung Delek telah mengadakan Tabung Kebajikan DUN Selat Klang untuk menerima sumbangan daripada orang ramai bagi menolong mangsa banjir.

Sumbangan boleh dimasukkan ke no akaun Tabung Kebajikan Dun Selat Kelang 120 100 100 804 20 Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Categories
SELANGOR

MTES Sedia Plan Selesaikan Masalah Banjir Kampung Sungai Udang

KLANG, 30 MAC: Kerajaan Selangor akan mencari jalan agar masalah banjir kilat yang  berlaku di Kampung Sungai Udang hari ini dapat dielakkan pada masa hadapan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, kerajaan negeri akan merangka satu kertas kerja bagi usaha itu untuk dibincang di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Kerta kerja tersebut akan dirangka bersama Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan agensi-agensi lain kerajaan.

Menurut beliau, banjir yang berlaku di kawasan terbabit dipercayai kerana masalah peparitan dan kawasan penempatan yang rendah.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar yang diadakan bilik gerakan bantuan banjir yang dibuka oleh Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali.

Dr Halimah pula berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengumpul data-data kerugian penduduk di kampung-kampung yang dilanda banjir untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri.

“Hingga sekarang kira-kira 700 borang bancian yang kita edarkan pagi tadi telah pun diisi dan dikembalikan pun kepada pihak kami.

“Melalui data yang kita perolehi, kita akan buat bancian dan akan kemukakan kepada kerajaan negeri supaya dapat dikenal pasti jenis bantuan yang diperlukan penduduk,” kata Dr Halimah.

Dianggarkan lebih 700 keluarga telah terjejas akibat banjir yang melanda Kampung Delek dan Kampung Sungai Udang dan kawasan berdekatan.

Sementara itu, menurut seorang mangsa banjir yang mahu dikenali sebagai Shila, 27 tahun, banjir tersebut berlaku selepas kawasan tersebut dilanda hujan lebat semenjak awal pagi.

“Mengikut kata, hujan turun dari pukul 3.30 pagi. Saya tak keluar rumah. Bila saya nak pergi kedai saya pukul 9.00 pagi, saya tengok kawasan Kampung Sungai Udang dah banjir.

“Kedai saya pun air dah naik sampai paras betis. Lima komputer yang sedang dibaiki rosak dan beberapa aksesori telah rosak,” ujar beliau yang merupakan pengusaha kedai membaiki komputer.