Categories
AGENDA NASIONAL

Dua juta peniaga kecil diminta berdaftar untuk terima bantuan kerajaan

PUTRAJAYA, 12 DIS: Terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagi membolehkan peniaga-peniaga ini menikmati pelbagai bantuan di sediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), beliau meminta untuk peniaga-peniaga kecil dan informal tersebut untuk mendaftarkan perniagaan mereka itu dengan pihak berwajib.

“Oleh kerana mereka tidak berdaftar, Medac tidak dapat menyalurkan bantuan kepada peniaga-peniaga ini.

“Kami prihatin dengan keadaan mereka (peniaga) dan ingin menolong mereka. Namun, mereka perlulah mendaftarkan perniagaan mereka agar apa sahaja bantuan yang ada, dapat kita diberikan melalui saluran yang betul,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis di Lundu, Sarawak hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 28 penduduk dan 55 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah Lundu, Sarawak menerima bantuan kewangan bernilai hampir RM200,000 di bawah geran Projek Luar Bandar Kecil (MRP) kerajaan negeri.

Pemberian MRP bernilai RM187,200, khusus untuk pendidikan dan bantuan perubatan kecemasan.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata dalam memastikan kelangsungan perniagaan di era Covid-19, para usahawan diminta untuk membuat persiapan yang sewajarnya, dalam migrasi operasi perniagaan mereka dari tradisional ke digital.

“Suka atau tidak, digitalisasi adalah norma baru. Disebabkan dari kesan pandemik ini, ramai yang memilih untuk membeli barang secara dalam talian. Mereka yang enggan berubah, seiring dengan waktu dan zaman, mungkin akan menghadapi masalah untuk mempertahankan perniagaan mereka.

“Namun, bagi mereka yang berjaya berhijrah ke operasi secara dalam talian, saya yakin mereka kini sedang menikmati hasilnya,” katanya.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan katanya, ada diantara peniaga-peniaga ini yang menikmati perningkatan penjualan hingga 500 peratus, setelah mereka berhijrah ke perniagaan secara dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya bakal bangun Online Market, saingi platform sedia ada

KUCHING, 29 OGOS: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan membangunkan satu aplikasi penjualan dalam talian untuk kemudahan semua rakyat negara ini yang bakal menyaingi platform sedia ada seperti Lazada, Shopee dan Alibaba, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam perancangan untuk mewujudkan sebuah aplikasi yang pada peringkat awal ini diberi nama Online Market.

“Saya sudah meminta pihak Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Institut Keusahawan Negara (Insken), Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membuat kajian terhadap pelaksanaan aplikasi berkenaan.

“Bila ada aplikasi dari kementerian ini, semua pengguna tidak perlu lagi akses kepada Lazada, Shopee ataupun Alibaba kerana caj mereka ini lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Bicara Ilmu: Jana Pendapatan Dengan Aplikasi Smartphone, di Kampung Bako.

Mengulas lanjut, beliau berkata apabila aplikasi itu dilancarkan nanti, beliau cukup yakin ia akan menjadi satu pergerakan penjualan dalam talian terbesar di dalam negara.

“Kalau pihak kementerian mengadakan aplikasinya sendiri dengan secara langsung ia dapat memudahkan pengguna dan semua syarikat penjual juga nanti boleh bersama dengan kita untuk berniaga di dalam talian,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Wan Junaidi memberi bayangan transformasi IKM kepada kolej universiti bakal berlaku dalam masa terdekat ini dan dijangka ia dapat direalisasikan pada Oktober 2020.

“Saya rasa yakin impian ini mampu dilaksanakan. Saya sudah beritahu kepada IKM bahawa sasarannya untuk dinaik taraf dari institut kepada kolej universiti itu pada bulan Oktober ini,” tambahnya.

IKM ditubuhkan pada 1956, perubahan status pusat latihan yang pada mulanya dikenali sebagai Maktab Koperasi Malaysia itu dijangka berupaya meningkatkan daya saing, kualiti dan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

-BERNAMA