Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar e-janji temu sebelum masuk muzium mulai Sabtu

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Keputusan membuka semula secara serentak tujuh muzium di tiga negeri termasuk yang berada bawah fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 2 Oktober ini, dibuat dengan mengambil kira tatacara operasi ketat yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tujuh muzium berkenaan ialah Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu, Muzium Seni Kraf Orang Asli, Muzium Muzik, Muzium Tekstil Negara di Kuala Lumpur; Muzium Automobil Nasional di Selangor dan Muzium Seni Bina Malaysia di Melaka.

Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelawat tidak digalakkan datang secara jumpa terus, namun hanya dibenarkan masuk dengan mendaftar lebih awal secara dalam talian melalui e-janji temu pada pautan http://www.jmm.gov.my/ms/content/janjitemu.

“Pelawat berusia 17 tahun dan ke bawah turut dibenarkan mengunjungi muzium dengan ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin,” menurut kenyataan itu.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi pengunjung untuk melawat muzium berkenaan adalah mesti lengkap divaksin dan telah cukup tempoh matang 14 hari serta berstatus risiko rendah termasuk kontak kasual risiko rendah menerusi aplikasi MySejahtera.

JMM memaklumkan waktu operasi muzium-muzium JMM yang berada bawah fasa satu dan dua PPN bermula pada 9 pagi hingga 4 petang setiap hari kecuali Isnin (minggu pertama setiap bulan).

Tiga lagi muzium sudah dibuka kepada orang ramai iaitu Muzium Labuan, Muzium Marin Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan dan Muzium Kota Kayang, Perlis, menurut kenyataan itu.

Muzium JMM lain pula akan dibuka secara berperingkat selepas selesai tempoh kerja-kerja penyelenggaraan pada tahun ini, kecuali Galeria Perdana, Langkawi, Kedah yang ditutup sejak awal tahun ini untuk kerja naik taraf mekanikal dan elektrikal serta reka bentuk hiasan dalaman pamerannya hingga Mac 2023.

Pada 9 September lepas, kerajaan memberikan kelonggaran kepada industri kreatif beroperasi pada fasa satu PPN dan susulan itu, JMM telah mula merancang pembukaan semula muzium-muziumnya terutama yang terletak di negeri berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Internet Komuniti sedia khidmat daftar terima vaksin

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara dimobilisasikan sebagai pusat bantuan untuk membantu orang awam terutama warga emas, yang menghadapi kesukaran mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini, usaha itu diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pentingnya proses vaksinasi dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, kakitangan PIK yang bertugas sepenuh masa di PIK akan membantu melicinkan proses pendaftaran. Terdapat juga paparan poster di PIK mengenai pendaftaran vaksin Covid-19 melalui MySejahtera bagi memaklumkan orang awam.

“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh dimajukan kepada pihak PIK yang berdekatan,” demikian menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarikh daftar, kemas kini BPR dilanjut hingga 25 Februari

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sebelum ini dibuka dari 15 Jan-15 Feb, kini dilanjutkan sehingga 25 Feb, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata ia bagi memastikan BPR diterima oleh mereka yang layak serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh negara ketika ini.

Hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40, serta isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu.

“Ini termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.

“Dengan adanya proses pendaftaran baharu/kemas kini ini, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk diverifikasi semula,” katanya.

Penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemas kini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat.

Tengku Zafrul berkata pembayaran Fasa 1 BPR akan dipercepatkan kepada penghujung Februari ini seperti yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Januari lepas, manakala bayaran Fasa 2 pula dijangka dibuat awal Mei.

Setakat ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima hampir 550,000 permohonan baharu yang perlu diverifikasi dan disemak silang di dalam sistem dan proses itu turut melibatkan 25 agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan LHDN untuk memastikan hanya yang layak diluluskan untuk BPR.

Pemohon BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua juta peniaga kecil diminta berdaftar untuk terima bantuan kerajaan

PUTRAJAYA, 12 DIS: Terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagi membolehkan peniaga-peniaga ini menikmati pelbagai bantuan di sediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), beliau meminta untuk peniaga-peniaga kecil dan informal tersebut untuk mendaftarkan perniagaan mereka itu dengan pihak berwajib.

“Oleh kerana mereka tidak berdaftar, Medac tidak dapat menyalurkan bantuan kepada peniaga-peniaga ini.

“Kami prihatin dengan keadaan mereka (peniaga) dan ingin menolong mereka. Namun, mereka perlulah mendaftarkan perniagaan mereka agar apa sahaja bantuan yang ada, dapat kita diberikan melalui saluran yang betul,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis di Lundu, Sarawak hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 28 penduduk dan 55 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah Lundu, Sarawak menerima bantuan kewangan bernilai hampir RM200,000 di bawah geran Projek Luar Bandar Kecil (MRP) kerajaan negeri.

Pemberian MRP bernilai RM187,200, khusus untuk pendidikan dan bantuan perubatan kecemasan.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata dalam memastikan kelangsungan perniagaan di era Covid-19, para usahawan diminta untuk membuat persiapan yang sewajarnya, dalam migrasi operasi perniagaan mereka dari tradisional ke digital.

“Suka atau tidak, digitalisasi adalah norma baru. Disebabkan dari kesan pandemik ini, ramai yang memilih untuk membeli barang secara dalam talian. Mereka yang enggan berubah, seiring dengan waktu dan zaman, mungkin akan menghadapi masalah untuk mempertahankan perniagaan mereka.

“Namun, bagi mereka yang berjaya berhijrah ke operasi secara dalam talian, saya yakin mereka kini sedang menikmati hasilnya,” katanya.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan katanya, ada diantara peniaga-peniaga ini yang menikmati perningkatan penjualan hingga 500 peratus, setelah mereka berhijrah ke perniagaan secara dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar baharu syarikat melebihi tamat operasi sejak April

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan melebihi jumlah permohonan penutupan perniagaan berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tempoh 1 April hingga 19 Julai lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata sejumlah 4,542 permohonan penamatan perniagaan diterima oleh SSM manakala 82,555 perniagaan baharu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“Statistik itu menunjukkan jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan jauh melebihi jumlah permohonan penutupan perniagaan iaitu sebanyak 95 peratus bagi tempoh yang dimaksudkan itu,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang ingin tahu jumlah perniagaan yang menggulung perniagaan pada April, Mei, Jun dan Julai 2020, serta jumlah perniagaan baharu yang didaftarkan di dalam tempoh yang sama.

Dalam pada itu, Rosol berkata pendaftaran syarikat yang meningkat daripada April hingga Julai kebanyakannya adalah sektor e-dagang atau berniaga secara dalam talian memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“…kerana ketika itu kedai fizikal tidak dibenarkan beroperasi, jadi e-dagang dan dalam talian menjadi rebutan atau dipraktikkan oleh peniaga di negara ini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jenis sektor perniagaan baharu yang didaftarkan sepanjang tempoh itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar kahwin terjejas perlu selesai sebelum 31 Julai

PUTRAJAYA, 7 JUN: Semua pendaftaran perkahwinan bukan Islam yang terjejas dan tertangguh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diselesaikan sebelum 31 Julai ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu perlu dilakukan supaya mereka tidak perlu mengemukakan permohonan baharu selain tidak perlu membayar fi sekali lagi.

Bagi penganut bukan Islam pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) bagi urusan pendaftaran perkahwinan dan penceraian.

“JPN juga akan membenarkan pendaftaran perkahwinan berlangsung di 171 rumah ibadat (kuil, gereja atau persatuan agama) yang diluluskan beroperasi oleh Kementerian Perpaduan Negara sepanjang tempoh PKP,” katanya pada sidang media harian PKP Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata SOP berkenaan aktiviti sukan akan diumumkan secara terperinci esok.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lebih 270,000 peserta TAWAS sejak 2008

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JUN: Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) mencatatkan 272,356 ahli berdaftar dengan 272,049 masih hidup dan baki 309 sudah meninggal dunia, setakat hari ini.

Tinjauan di laman rasmi TAWAS juga menunjukkan 128,419 ahli sudah menerima penyata sementara 143,630 masih belum menerimanya.

Berdasarkan statistik, bangsa Melayu mencatatkan ahli tertinggi dengan 184,367 diikuti Cina (49,851), India (30,467 dan lain-lain (7,364).

tawas01Pendaftaran tertinggi diterima pada 2013 dengan 47,901 berbanding pendaftaran diterima pada tahun pertama, 2008 dengan 23,844 sahaja.

Untuk tahun ini, TAWAS menerima 4,367 permohonan, namun hanya 3,177 permohonan didapati layak untuk menerima skim berkenaan, setakat Mei lalu.

Diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), TAWAS terbuka kepada kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan permohonan perlu dilakukan sebelum anak berusia tiga tahun.

Pada 17 Ogos 2015, Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor diluluskan bagi memastikan ahli TAWAS menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun.

YAWAS turut memperkenalkan Skim Khairat Kematian TAWAS bernilai RM1,500 yang akan diberikan kepada waris ahli TAWAS jika ahli meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.