Categories
AGENDA NASIONAL

Iklan jual vaksin Pfizer-BioNTech dalam talian palsu – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 4 MAC: Iklan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian adalah palsu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM melalui unit forensik siber sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Interpol untuk memantau keadaan semasa dan juga penjualan vaksin dalam talian.

Bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata vaksin yang diberikan pendaftaran bersyarat, hanya boleh dibekalkan kepada pihak kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan, iaitu untuk dijadikan pusat vaksinasi.

Iklan penjualan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dalam talian itu didakwa dijual dengan harga RM63.88.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai, agar memastikan mereka menerima vaksin Covid-19 dari fasiliti kesihatan KKM yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Mengulas isu sama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan tertipu dengan mana-mana pihak yang menawarkan vaksin Covid-19 secara panggilan.

Katanya, hanya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja yang bertanggungjawab menguruskan vaksin Covid-19, termasuk pelaksanaan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyelaraskan pendaftaran rakyat untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

“Maka urusan menentukan siapa yang boleh mendapatkan vaksin adalah dua kementerian itu (Mosti dan KKM), yang mempunyai satu jawatankuasa khusus memastikan rakyat yang berdaftar divaksinkan,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di Wisma Pertahanan hari ini.

Ismail Sabri mengesahkan terdapat pihak yang mengambil kesempatan, berhubung vaksin Covid-19 ini.

“Memang telah ramai ambil kesempatan, bukan setakat keluar secara dalam talian malah ada pihak-pihak yang datang kepada kita untuk ambil vaksin Covid-19, kononnya dia merupakan ejen dari negara-negara atau syarikat-syarikat tertentu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya bakal bangun Online Market, saingi platform sedia ada

KUCHING, 29 OGOS: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan membangunkan satu aplikasi penjualan dalam talian untuk kemudahan semua rakyat negara ini yang bakal menyaingi platform sedia ada seperti Lazada, Shopee dan Alibaba, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang dalam perancangan untuk mewujudkan sebuah aplikasi yang pada peringkat awal ini diberi nama Online Market.

“Saya sudah meminta pihak Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Institut Keusahawan Negara (Insken), Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membuat kajian terhadap pelaksanaan aplikasi berkenaan.

“Bila ada aplikasi dari kementerian ini, semua pengguna tidak perlu lagi akses kepada Lazada, Shopee ataupun Alibaba kerana caj mereka ini lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Bicara Ilmu: Jana Pendapatan Dengan Aplikasi Smartphone, di Kampung Bako.

Mengulas lanjut, beliau berkata apabila aplikasi itu dilancarkan nanti, beliau cukup yakin ia akan menjadi satu pergerakan penjualan dalam talian terbesar di dalam negara.

“Kalau pihak kementerian mengadakan aplikasinya sendiri dengan secara langsung ia dapat memudahkan pengguna dan semua syarikat penjual juga nanti boleh bersama dengan kita untuk berniaga di dalam talian,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Wan Junaidi memberi bayangan transformasi IKM kepada kolej universiti bakal berlaku dalam masa terdekat ini dan dijangka ia dapat direalisasikan pada Oktober 2020.

“Saya rasa yakin impian ini mampu dilaksanakan. Saya sudah beritahu kepada IKM bahawa sasarannya untuk dinaik taraf dari institut kepada kolej universiti itu pada bulan Oktober ini,” tambahnya.

IKM ditubuhkan pada 1956, perubahan status pusat latihan yang pada mulanya dikenali sebagai Maktab Koperasi Malaysia itu dijangka berupaya meningkatkan daya saing, kualiti dan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Hikmah PKP, jualan tudung laris dalam talian

SHAH ALAM, 22 JULAI: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih tiga bulan memberi kesan negatif kepada sektor ekonomi apabila perniagaan terpaksa ditutup dan mengalami kerugian.

Namun berbeza bagi pengusaha butik di Shah Alam, Nor Amira Wan Yusuf, 31, yang mendakwa PKP membuka pintu rezeki apabila tempahan tudung menerusi dalam talian mendapat permintaan tinggi.

“Alhamdulillah, walaupun butik tidak dibenarkan operasi tetapi ramai pelanggan membelinya secara dalam talian. Oleh itu, saya berpendapat PKP bukan alasan untuk kita tidak meneruskan perniagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas cabaran berniaga ketika PKP, Nor Amira berkata beliau sukar mendapatkan bekalan tudung kerana rata-rata pembekal tidak mempunyai stok dan ada yang menutup kedai.

Nor Amira menyokong penggunaan teknologi jualan dalam talian.

“Tetapi ia tidak menjadi masalah kerana saya dapat menghabiskan stok sedia ada,” katanya yang lebih lima tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Ditanya mengenai berniaga dalam norma baharu, beliau berkata meskipun agak kekok dengan tatacara operasi piawai (SOP) tetapi ia pilihan terbaik demi meneruskan perniagaan.

“Butik saya kembali beroperasi seperti biasa tetapi pelanggan agak kurang datang mungkin disebabkan mereka mengambil langkah berjaga-jaga susulan Covid-19.

“Bagaimanapun, tiada masalah untuk seseorang peniaga seperti saya menyesuaikan norma baharu dengan SOP ketat kerana ia perlu dilihat dari sudut positif terutama berkaitan kesihatan semua orang.

“Jika perniagaan diteruskan tetapi kesihatan diabaikan ia pasti memberi impak negatif,” katanya yang menyokong penggunaan teknologi jualan dalam talian.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor galak jualan dalam talian, khidmat hantar ke rumah

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerajaan Negeri menggalakkan jualan secara dalam talian dan khidmat penghantaran terus ke rumah seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata penganjuran e-bazar raya Selangor bersama Shopee merupakan contoh inisiatif perniagaan diketengahkan bagi membantu pemasaran produk usahawan.

“Program kita anjurkan selama dua bulan disertai hampir 3,600 usahawan dari Selangor. Kita belum mendapat angka sebenar tetapi dianggarkan nilai jualan lebih kurang RM10 juta,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM1 juta dalam bentuk baucar kepada pembeli e-bazar dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 24 April lalu.

Kerjasama Selangor bersama pengendali e-dagang terkemuka, Shopee menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro bagi memasarkan produk secara dalam talian selain menjana pendapatan ketika musim perayaan selepas terjejas akibat Covid-19.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Jualan runcit dalam talian melonjak 28.9 peratus pada April 2020

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Jualan runcit dalam talian Malaysia melonjak 28.9 peratus pada April 2020, walaupun jumlah nilai jualan perdagangan borong dan runcit merosot 36.6 peratus berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata peningkatan jualan runcit dalam talian menunjukkan pengembangan dalam aktiviti e-dagang di negara ini.

Mengenai kemerosotan nilai jualan perdagangan borong dan runcit pada April 2020, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kejatuhan terbesar dicatatkan oleh segmen kenderaan bermotor yang merudum -93.2 peratus disebabkan jualan kenderaan bermotor yang merosot -93.7 peratus.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020, pusat jualan dan bilik pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi yang telah menjejaskan jualan kenderaan kepada pengguna,” katanya, semalam.

Mohd Uzir berkata industri lain dalam subsektor ini juga jatuh dengan signifikan iaitu Jualan Komponen & Aksesori sebanyak -91.4 peratus, Pembaikan & Penyelenggaraan (-93.6 peratus) dan Jualan, Pembaikan & Jualan Komponen & Aksesori Motosikal (-94.9 peratus).

Mengenai perdagangan runcit bagi April 2020, katanya jualan susut 32.4 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun berikutan pelaksanaan PKP menyebabkan kebanyakan industri dalam perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan negatif.

Beliau berkata perdagangan borong turut merosot -26.3 peratus dalam tempoh sama, menerima impak daripada gangguan dalam rangkaian penawaran dan permintaan di peringkat domestik dan global berikutan Covid-19.

“Bagaimanapun, industri berkaitan makanan iaitu jualan borong makanan, minuman dan tembakau serta jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup, masih mencatatkan pertumbuhan positif yang marginal,” katanya.

Bagi prestasi perdagangan borong dan runcit berbanding bulan lepas, katanya nilai jualan susut -35.2 peratus.

Dari segi indeks volum, beliau berkata perdagangan borong dan runcit merosot -38.6 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata penurunan itu disebabkan kenderaan bermotor yang mencatatkan pertumbuhan negatif 93.6 peratus tahun ke tahun.

“Perdagangan runcit dan borong turut menunjukkan pertumbuhan negatif iaitu -36.0 peratus dan -27.5 peratus pada April 2020,” katanya.

Beliau berkata indeks volum pelarasan musim pula susut dengan ketara sebanyak -33.6 peratus pada April 2020 berbanding Mac 2020.

Mengenai prospek, Mohd Uzir menjangka indeks jualan dan volum perdagangan borong dan runcit akan menyaksikan prestasi yang lebih baik berikutan kerajaan telah melonggarkan PKP dengan membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi kembali beroperasi sepenuhnya, di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Jualan dijangka meningkat kerana pembelian yang tertangguh pada April 2020. Peralihan dalam gelagat pengguna kepada kaedah pembelian dan pembayaran secara digital yang lebih selesa dijangka akan berterusan dan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan mapan dalam jualan runcit,” katanya.

-BERNAMA