Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor syor solat hajat doakan keselamatan rakyat Mesir

Gambar Rakyat Mesir

SHAH ALAM: Selangor mengecam keras tindakan rejim tentera Mesir yang disifatkan kejam dan melakukan jenayah sehingga menyebabkan ribuan terkorban dan cedera parah.

Dalam satu kejadian terbaharu, pasukan tentera Mesir mengangkat senjata dan menggempur ribuan penunjuk perasan di Medan Raba’ah dan Madinah Nasr. Kerahan itu menyebabkan 2,600 orang terkorban dan 15,000 lagi cedera.

“Seluruh rakyat Selangor yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim tentera Mesir yang melakukan jenayah terhadap rakyatnya sendiri,” tegas Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Sallehen Mukhyi.

Seluruh masjid, surau dan madrasah di seluruh Selangor disyorkan melakukan solat hajat selepas solat Jumaat esok bagi mendoakan musibah itu dihentikan segera.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan kutuk pembunuhan kejam ratusan rakyat Mesir

Mesir1 (1)

SHAH ALAM 14 OGOS : Pakatan Rakyat mengutuk serangan besar-besaran tentera Mesir pimpinan Presiden, Interim Adly Mansour awal pagi ini, kata Nasrudin Hassan.

“Kejadian itu sebagai tindakan paling kejam, zalim dan di luar peri kemanusiaan rejim Mesir terhadap rakyatnya sendiri.

“Ia berlaku di Medan Raba’ah dan di Madinah Nasr. Pasukan tentera menggempur para demonstran melalui gas pemedih mata dan penembak tepat di atas bangunan.

“Lebih membimbangkan, ambulans tidak dibenarkan masuk ke medan Rabiatul Adawiyah yang menyaksikan banyak pertumpahan darah,” kata Ketua Pemuda PAS itu.

Dalam kejadian itu, pasukan tentera menggempur ribuan demonstran melalui gas pemedih mata dan tembakan peluru hidup mengakibatkan lebih 200 pejuang syahid manakala lebih 8,000 orang cedera.

Pada kenyataan media, hari ini, Nasruddin berkata, kezaliman rejim Mesir itu tidak akan menyelesaikan konflik berdarah di negara berkenaan.

“Membunuh rakyat yang tidak bersalah tidak akan mematikan hasrat jutaan rakyat yang menuntut keadilan melalui proses demokrasi yang tulen.

“Hanya meja rundingan serta menyerahkan kembali mandat kuasa negara kepada kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat iaitu Dr Mohammad Morsi mampu mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu,” katanya.

Mempersoal tindakan kerajaan Malaysia dalam menangani konflik di Mesir, beliau berkata Malaysia patut mengambil langkah terkehadapan dengan menyatakan bantahan secara lantang terhadap tindakan itu.