SHAH ALAM, 17 MAC: Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi terhadap institusi Parlimen dan badan kehakiman agar kuasa Menteri dan Kabinet dapat diseimbangkan dan dikawal.
Antara cadangan perubahan itu adalah mewujudkan mahkamah Perlembagaan, memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat dan menghapuskan undang-undang yang memberikan kuasa luar biasa kepada menteri kabinet.
Ini supaya status parlimen sebagai badan penggubal undang-undang dan pemantau kepada dasar dan kuasa institusi eksekutif atau (kabinet), dapat dimartabatkan.
Perkara ini bakal dilakukan selari dengan konsep pemisahan kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.
Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata reformasi itu bagi mengembalikan keagungan dan kebebasan parlimen seperti di semua negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
“Didalam sistem pentadbiran (governance) Malaysia, setelah lebih lima dekad pemerintahan Umno-BN, badan eksekutif telah merampas kuasa legislatif dan menakluk Parlimen sebagai satu institusi.
“(Ini) sekaligus menekan prinisp kerajaan yang mewakili rakyat,? katanya melalui ulasan di dalam blog.limkitsiang.com.
Antara langkah reformasi yang lain:
* PR akan memastikan Speaker parlimen yang dilantik akan benar-benar bebas dan tidak terikat dengan badan eksekutif.
* Peraturan Mesyuarat akan disemak semula bagi mencipta ruang yang adil bagi pihak kerajaan dan pembangkang untuk berbahas.
* Pembangkang akan diberi tempoh waktu yang bersesuaian untuk berdebat isu dan dasar.
* Semua rang undang-undang akan diedarkan dua minggu sebelum bacaan kedua dan penubuhan jawatan kuasa khas untuk membenarkan semakan teliti dan maklum-balas umum terhadap undang-undang yang dicadangkan.
* Menghentikan amalan memasukkan fasal yang memberi kuasa kepada menteri dan meletakkan kedudukan mereka diatas undang-undang.