Categories
BERITA UTAMA

Hiburan digital mampu raih pulangan tinggi kepada negara

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Malaysia perlu terus memberi tumpuan kepada industri pembuatan ‘game’ digital kerana ia mampu menjana pendapatan sangat lumayan kepada negara, selaras usaha mempromosi kandungan kreatif digital tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, industri hiburan digital seperti ‘game’ menunjukkan prestasi kian meningkat selain daripada pembuatan filem dan siri animasi yang mengharumkan nama negara.

Beliau menarik perhatian bahawa pada 2017, kira-kira 60 studio pembuatan game tempatan mencatat nilai eksport RM600 juta.

“Selain daripada kemampuan menjana berbilion ringgit kepada ekonomi negara, ia juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan terutama untuk anak muda,” katanya ketika berucap pada majlis berkaitan program Kre8tif!@Schools di sini hari ini.

Katanya, meletakkan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital juga akan menarik pelabur luar negara.

Gobind berkata, negara sebenarnya mempunyai bakat hebat tetapi masih kurang dikenali ramai seperti Wan Hazmer Wan Abd Halim yang merupakan pereka utama bagi permainan video Final Fantasy XV.
“Dulu Wan Hazmer bekerja di Jepun dengan sebuah syarikat pembuatan permainan video yang sangat terkenal di dunia, tetapi dia sudah kembali ke Malaysia untuk membantu bakat tempatan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Animonsta Studios kerana filem animasi terbarunya, BoBoiBoy: Movie 2 akan mula ditayangkan pada 8 Ogos selain akan turut menemui penonton di negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan Vietnam.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa pembangunan ekonomi digital di negara ini perlu dibuat secara inklusif tanpa meminggirkan golongan kelainan upaya.

“Marilah kita bekerjasama untuk membina sebuah Malaysia yang terangkum digital,” katanya sambil memberikan contoh langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Maxis, Digi, UMobile dan YTL memperkenal pakej talian mudah alih khusus buat orang kelainan upaya.

Beliau berkata, pakej pra dan pasca bayar itu sangat bermanfaat untuk golongan berkenaan kerana ia memberi mereka peluang menggunakan internet sebagai landasan berniaga, sekali gus membantu mereka hidup dengan lebih berdikari.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, progKre8tif!@Schools untuk pelajar istimewa yang diperkenalkan KKMM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memberi peluang kepada anak muda untuk belajar berhubung teknologi kreatif seperti ‘3D modelling’ dan animasi.

Kre8tif!@Schools, katanya, adalah komitmen KKMM dan MDEC dalam usaha membangunkan industri kandungan kreatif digital dengan lebih giat lagi.

“Banyak lagi program yang akan kami lakukan untuk memastikan ekonomi digital Malaysia terus meningkat dan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama,” katanya.

Gobind turut menarik perhatian bahawa Malaysia mempunyai platform seperti Kre8tif dan Level Up yang membantu meningkatkan industri pembuatan kandungan digital (digital content production).

Dalam sidang media, beliau berkata KKMM akan melakukan tindakan sewajarnya bagi membantu penggiat industri filem di negara ini untuk menceburi bidang animasi.

“Kita mahu menerajui industri ini, kita mempunyai keupayaan berbuat demikian dan Malaysia mempunyai banyak bakat.

“Sudah tentu penting bagi kerajaan untuk memainkan peranannya dalam mengenal pasti bakat ini dan juga memastikan kita memberi industri segala sistem yang diperlukan untuk berjaya, “katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan tubuh jawatankuasa kaji isu penggiat seni muzik

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Jawatankuasa Awal (Pro-tem) Muzik akan ditubuhkan untuk mengkaji isu membabitkan penggiat seni muzik, dalam masa sebulan dari sekarang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Katanya, jawatankuasa itu ditubuhkan selepas pertemuan bersama penggiat industri semalam, bagi mendengar pandangan dan cadangan mereka tentang masalah pembangunan industri muzik, serta terdapat keperluan mengawal selia pembangunan industri muzik.

Jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil industri muzik bagi merangka strategi ke arah pembangunan industri muzik negara, selain mengemukakan cadangan penubuhan satu badan khusus untuk menerajui industri dan penyediaan Dasar Industri Muzik Negara.

“Dalam sesi perjumpaan ini, banyak perkara dibangkitkan termasuk keluhan yang isu siaran kandungan muzik antarabangsa diberikan keutamaan berbanding dengan kandungan atau penerbitan tempatan, isu kewangan dan dana kebajikan penggiat seni serta pembayaran royalti, semuanya yang mana memerlukan perhatian segera.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kementerian saya amat prihatin dengan perlunya tindakan segera diambil untuk memperkukuhkan industri muzik di negara kita. Saya juga mengambil maklum dengan semua perkara yang dibangkitkan termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi selaras dengan perubahan masa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Gobind berkata beliau juga setuju bahawa dana yang berasingan perlu dipertimbangkan untuk pembangunan industri muzik dan akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan kadar segera.

Sementara itu, beliau berkata perjumpaan itu merupakan permulaan usaha kementerian untuk memperkasa industri muzik Malaysia dengan kerjasama penggiat-penggiat muzik di negara ini.

Katanya, banyak lagi pertemuan sebegini akan diadakan untuk memastikan semua pandangan dan cadangan daripada industri ini diambil kira, dalam perkara pembentukan perbadanan yang akan menerajui industri muzik dan membentuk Dasar Industri Muzik Negara.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa semua yang terlibat dalam industri ini akan membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya untuk kita bersama-sama menjayakan industri muzik kita,” katanya.

Perjumpaan yang bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Shakib Ahmad Shakir.

Lebih daripada 80 penggiat industri muzik yang terdiri daripada penyanyi, komposer, syarikat rakaman, label dan pengurusan, artis indie dan karyawan telah hadir ke sesi perjumpaan anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gobind puji sokongan Facebook tangani maklumat palsu

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, memuji inisiatif Facebook dalam menyokong usaha kementeriannya menangani maklumat salah dan palsu.

Beliau berkata, kerajaan menyedari bahawa penyedia media sosial melakukan banyak kerja pada kandungan yang dijana pengguna (UGC) untuk menentang pornografi kanak-kanak, keganasan dan ucapan kebencian.

“Usaha ini terdiri daripada sumber yang direka untuk membantu orang berfikir secara kritikal dan berkongsi secara bertanggungjawab, membantu mereka lebih memahami dan lebih mudah mengawal apa yang dilihat di media sosial, untuk bekerjasama dengan pihak ketiga yang memeriksa data dengan pantas bagi mengatasi maklumat yang salah.

“Cabaran sekarang adalah untuk menangani kepelbagaian dalam kandungan UGC yang akan memasukkan konteks tempatan untuk setiap negara yang mempunyai kebimbangannya sendiri,” katanya pada majlis pembukaan pejabat baru Facebook di Q Sentral, di sini semalam.

Pembukaan pejabat itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gobind berkata, walaupun terdapat beberapa bentuk pengiktirafan terhadap keperluan untuk menangani ucapan kebencian dengan segera, terdapat juga bentuk ekspresi lain yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara.

“Aliran maklumat bebas boleh menjadi sesuatu yang baik tetapi ia juga boleh disalah gunakan,” katanya.

Beliau berkata adalah baik apabila ia digunakan untuk menghubungkan orang dan masyarakat, namun ia juga boleh digunakan untuk menghasut kebencian, keganasan dan menyebarkan berita palsu serta maklumat salah.

“Kementerian saya memainkan peranan utama dalam memastikan semua orang boleh menggunakan platform media sosial dengan selamat dan bertanggungjawab, tetapi itu lebih mudah untuk diucapkan daripada dilakukan,” katanya.

Gobind berkata kementeriannya juga berharap untuk bekerja lebih rapat dengan Facebook, khususnya dalam bidang Penguatkuasaan Piawaian Komuniti.

Beliau turut berharap Facebook akan terus meneroka peluang untuk bekerjasama dengan usahawan tempatan dan masyarakat bagi mewujudkan dunia yang lebih berhubung.

Beliau berkata, kehadiran dan komitmen yang dipertingkatkan di Malaysia adalah langkah utama ke arah membantu meningkatkan kemahiran digital perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia, memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan dan berhubung dengan seluruh dunia melalui pendidikan, pandangan serta peralatan untuk berjaya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan ambil mudah soal perpaduan masyarakat majmuk – Gobind

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Rakyat Malaysia digesa supaya tidak leka dalam meneruskan usaha menjaga kepelbagaian budaya, agama dan bangsa, serta menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, keunikan masyarakat Malaysia adalah sesuatu yang amat istimewa dan menjadi daya tarikan kepada warga seluruh dunia.

Menurutnya, pada masa sama, masyarakat Malaysia dan di seluruh dunia juga kini didepani dengan pelbagai ancaman dan cabaran terutama di alam maya.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan persekutuan komited dalam menangani isu-isu dan masalah-masalah yang bakal membawa impak yang negatif terhadap masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya berucap pada majlis sambutan Rumah Terbuka Vaisakhi peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Vaisakhi menandakan permulaan musim menuai menurut kalendar masyarakat Sikh Punjabi.

Sementara itu, Gobind berkata ,walaupun kerajaan memastikan media kekal bebas, ia bukan bererti fitnah dan berita palsu boleh disebar dengan niat jahat untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab rakyat untuk sama-sama membantu kerajaan menghalang perbuatan pihak yang cuba mengeruhkan perpaduan antara kaum dan keharmonian rakyat.

“Kerjasama antara kaum adalah kunci kepada kita dalam menangani dan menghadapi ancaman dan cabaran, dan tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan.

“Kepelbagaian rakyat Malaysia wajib dipertahankan dan diperkukuhkan demi masa depan yang lebih cerah dan makmur,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perayaan Gawai Dayak harus dapat liputan media arus perdana

BINTULU, 18 MEI: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyokong penuh supaya perayaan Hari Gawai Dayak di Sarawak diangkat ke martabat selayaknya dan mendapat liputan serta tempat berpatutan di saluran media arus perdana.

Beliau berkata, ia bagi memastikan generasi muda dapat didedahkan kepada kekayaan dan kehalusan seni budaya serta adat masyarakat mereka yang mungkin jarang dapat disaksikan.

“Saya difahamkan bahawa masyarakat Dayak amat kaya dengan adat dan budaya yang tinggi.

“Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan negara kita dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini hari ini.

Beliau juga gembira dengan tema sambutan pada kali ini iaitu “Bejalai Betungkatka Adat, Tinduk Bepangalka Pengingat”, yang turut dimeriahkan dengan perserta kaum Dayak dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Gobind yang menyampaikan ucapan Selamat Hari Gawai dan juga Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada hadirin yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama berkata, rakyat Malaysia bersyukur kerana dapat meraikan perayaan mereka dalam keadaan tenteram dan harmoni.

Katanya, situasi dan suasana aman serta selamat seperti itu membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada program pembangunan negara demi mempertingkatkan taraf hidup rakyat sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, infrastruktur massa, kebudayaan serta keagamaan.

“Kepelbagaian budaya dan bangsa adalah keistimewaan Malaysia dan keharmonian yang terhasil daripada perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan daya tarikan kepada warga seluruh dunia.

“Kerjasama antara kaum adalah kunci kepada kita dalam menangani dan menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, dan tidak harus dipandang ringan atau diperkecilkan.

“Kepelbagaian rakyat Malaysia adalah sesuatu yang patut diraikan dan diperkukuhkan bersama, demi masa hadapan lebih cerah dan makmur,” katanya.

Sebelum itu, beliau melepaskan dan menyertai lebih 3,000 peserta perarakan program ‘Ngerandang Jalai Gawai’ yang berarak sejauh 1.7 kilometer dari tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu ke sebahagian daripada pusat bandar Bintulu sebelum kembali ke tapak perlepasan semula.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dari persatuan Dayak tempatan dan dari Kalimantan Barat serta pertunjukkan fesyen etnik Dayak.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Surau dan masjid di Puchong terima sumbangan RM87,000

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Sebanyak RM87,000 diperuntukkan Parlimen Puchong sebagai sumbangan kepada masjid dan surau, di kawasan itu bagi menyemarakkan aktiviti sepanjang Ramadan serta sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Puchong yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat kepada 12 masjid yang masing-masing akan menerima RM2,000 dan 40 surau akan mendapat RM1,500.

Bagaimanapun Surau Al-Falah menerima peruntukan RM3,000 untuk membaiki bumbung.

“Ini kali pertama saya beri peruntukan selaku Ahli Parlimen kerajaan kerana sedikit peruntukan diberikan Kerajaan Persekutuan. Sebelum ini tidak ada peruntukan sebegitu, jadi tak mampu beri sumbangan sebegini tetapi sekarang memang ada, kita salurkan sebanyak mana yang boleh untuk membantu.

“Ini bukan sekali sahaja, saya berhasrat jika diizinkan setiap tahun saya akan tetap memberikan sumbangan dan bukan sekadar sumbangan Ramadan sahaja, saya bersedia berikan dalam apa jua bentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada sebuah masjid dan tujuh surau dalam Parlimen Puchong sempena majlis Jamuan Moreh di Surau Al-Falah, Taman Seri Andalas, Seri Kembangan di sini, semalam.

Pada masa sama, Gobind turut berharap semua masjid dan surau yang menerima sumbangan berkenaan dapat menggunakan peruntukan itu sebaiknya khususnya sempena menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Katanya, jika mana-mana surau dan masjid di kawasan itu memerlukan lebih bantuan, mereka diminta menulis surat kepada sebagai prosedur wajib bagi memudahkan pihaknya menyalurkan sumbangan.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Falah Rasedi Arof, menzahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan dan berharap dapat digunakan bagi mengimarahkan aktiviti di surau berkenaan.

“Ini pertama kali seorang menteri hadir di surau kami dan saya mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan lawatan menteri yang tidak kekok untuk bergaul bersama masyarakat Melayu di kawasan ini,” katanya.

Pesara kerajaan, Alwi Noorai, pula menyifatkan Gobind seorang yang pemurah dalam memberi bantuan kepada masjid dan surau di kawasan itu walaupun sejak sebelum menjawat jawatan dalam Kabinet.

“Sebelum jadi menteri beliau memang sudah sedia banyak membantu dan sudah melawat masjid dan surau beberapa kali termasuk memberikan sumbangan bagi memperbaiki bumbung di sebuah surau di sini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Projek rintis 5G landasan tangani isu relevan

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Teknologi baharu 5G yang sedang diuji di Cyberjaya dan Putrajaya menerusi projek rintis enam bulan akan memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan segala isu dan persoalan yang relevan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata input daripada syarikat-syarikat telekomunikasi akan membentuk sebahagian daripada cadangan mengenai 5G yang akan dikemukakan kepada kerajaan.

“Satu laporan akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama pasukan petugas, yang turut terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi, yang akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai pendekatan yang patut dilambil untuk generasi dan era 5G ini,” kata beliau.

Gobind berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ”2019 APPIES Malaysia Marketing Awards and Festival” di sini hari ini, yang dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada kempen pemasaran terbaik di negara ini.

“Bagi 5G, cadangan akhir hanya akan dibuat selepas kita menjalani proses ujian itu,” katanya yang menambah bahawa projek rintis itu akan mengkaji segala aspek termasuk mengenai infrastruktur, peralatan yang diperlukan dan lain-lain bagi memastikan ia berjaya.

Menteri itu turut menjelaskan bahawa walau apa pun pendekatan yang akan diambil untuk melaksanakan teknologi 5G, hakikatnya ialah dunia sedang menuju ke arah itu dan Malaysia perlu bersedia menghadapinya.

Ketika berucap terdahulu, Gobind berkata beliau percaya teknologi 5G akan melonjakkan ekonomi Malaysia secara dramatik.

“Ada yang kata kenaikan 10 peratus dalam kelajuan Internet boleh menyebabkan kenaikan 1.38 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi negara-negara sedang membangun,” kata beliau.

Beliau turut mengambil maklum bahawa 5G tidak akan berlaku dalam tempoh semalaman tetapi ia akan memasuki serta mencerahkan kehidupan kita secara berperingkat.

“Kita sudah mengenal pasti Cyberjaya dan Putrajaya sebagai kawasan untuk menjalankan ujian 5G – lokasi di mana industri boleh bekerjasama untuk menerokai keupayaan teknologi berkenaan, mengesahkan potensi kegunaannya dan memperhalusi model perniagaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ubah cabaran keselamatan siber sebagai peluang baharu

CYBERJAYA, 24 APRIL: Ekosistem inovasi kebangsaan perlu dibangunkan bagi mengubah cabaran keselamatan siber ke arah peluang, idea dan penyelesaian baharu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, kerjasama lebih rapat antara industri, penyelidik dan kerajaan juga penting bagi menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam sektor keselamatan siber.

Katanya banyak potensi bagi perniagaan kecil dan sederhana serta organisasi besar di Malaysia, untuk berkembang pesat di era digital ekonomi baharu ini.

“Maka kita harus menggembleng ketahanan dan kepakaran di dalam ‘cybersecurity intelligence’, mewujudkan kerjasama dan kepimpinan peringkat antarabangsa untuk memacu lebih banyak organisasi keselamatan siber tempatan dan pemain industri menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Chan Ou, pada Majlis Pelancaran CyberSecurity Malaysia Collaboration Programme (CCP) di sini malam tadi.

Katanya, CCP dibangunkan CyberSecurity Malaysia sebagai inisiatif pendekatan bagi kerjasama di antara pihak industri keselamatan siber di Malaysia.

“CCP adalah satu program strategik yang memangkin kerjasama di antara pemain industri keselamatan siber tempatan dan kerajaan, dalam pembangunan inovasi produk dan perkhidmatan keselamatan siber; yang mana secara tidak langsung akan dapat mengukuhkan ekosistem keselamatan siber di Malaysia,” katanya.

Menteri berkata, berdasarkan inisiatif yang telah dilaksanakan sejak 2014, lebih 60 organisasi sudah mendaftar sebagai rakan berdaftar dan angka itu dijangka meningkat melebihi 100 organisasi menjelang 2020.

Katanya, antara program yang dijalankan di bawah CCP termasuklah sesi dialog bersama industri, yang mengambil kira pandangan dan maklum balas terus daripada pihak industri keselamatan siber di Malaysia. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Teruskan kecemerlangan industri filem-Gobind

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, hari ini menggesa semua pemain industri perfileman negara agar meneruskan kecemerlangan dalam melaksanakan kerja-kerja mereka.

Dalam mengucapkan tahniah kepada mereka yang menjayakan Festival Filem Malaysia ke-30 semalam, Gobind berkata ia sememangnya suatu acara yang meraikan kepelbagaian Malaysia.

“Kepada semua yang terbabit dalam industri berkenaan, acara malam tadi benar-benar mempamerkan kesungguhan dan komitmen anda untuk membina, membangun dan akhirnya menempa kejayaan. Ada semua adalah juara, teruskanlah kecemerlangannya,” katanya dalam ciapan terbaharu Twitternya

Gobind merasmikan acara malam tadi dan menyampaikan piala serta hadian kepada para pemenang anugerah.

Filem ‘Crossroads: One Two Jaga’ memenangi anugerah untuk beberapa kategori utama termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Nam Ron), Pelakon Lelaki Terbaik (Rosdeen Suboh) dan Cerita Asal Terbaik. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Malaysia teroka industri kurier guna teknologi dron

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 7 MAC: Kerajaan mensasarkan penggunaan dron secara komersil dalam lima tahun akan datang bagi merancakkan lagi industri pos dan kurier khususnya bagi menembusi lokasi yang sukar diakses terutama dalam situasi kecemasan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan yang diperlukan Pos Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha mempertingkatkan keupayaan negara dalam bidang ‘parcel drone delivery’ supaya keupayaan ini setanding dengan negara maju lain.

“Penggunaan teknologi ‘Unmanned Aerial Vehicle’ (UAV) dron dalam sektor perkhidmatan pos dan kurier sedang giat dilaksanakan di pelbagai negara seperti di Switzerland menerusi Swiss Post yang menggunakan dron secara komersil bagi menghantar sampel atau spesimen makmal di antara klinik serta hospiral sejak tahun lalu.

“Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus pemodenan terbabit,” katanya dalam program Pertandingan Parcel Drone 2019 anjuran Pos Malaysia dengan kerjasama SKMM di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertandingan itu adalah tindakan proaktif bagi memacu inovasi UAV dalam sektor perkhidmatan pos dan kurier.

“Program ini sangat bertepatan dengan hasrat kementerian di bawah Pelan Strategik KKMM 2019-2023 bagi memacu ekonomi digital, menggalakkan penggunaan teknologi tinggi dan memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

“Potensi bakat tempatan dalam bidang UAV mampu dicungkil menerusi program sebegini untuk terus maju ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Penganjur Pertandingan Drone Parcel 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Putrajaya menerima 40 permohonan dengan tujuh peserta layak ke peringkat separuh akhir manakala tiga terbaik berentap merebut trofi kejuaraan.

Peserta diberikan dua peluang untuk menerbangkan dron masing-masing bersama muatan seberat dua kilogram sejauh dua kilometer merentasi Tasik Putrajaya dan kembali ke tapak pelancaran dalam masa terpantas.

Categories
NASIONAL

Lebih 100 syarikat ICT sertai Cyberjaya Infra

OLEH UMIRAH IZRIN

CYBERJAYA, 4 MAC: Pameran dan Persidangan Cyberjaya Infra 2019 berjaya menarik penyertaan lebih 100 syarikat telekomunikasi dan maklumat (ICT).

Antara syarikat terbabit ialah Allo Technology Sdn Bhd, Maevi Sdn Bhd dan Global Business Office.

Pameran itu diadakan bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang di Cyberview, Resort dan Spa di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihak berkaitan perlu membantu dalam memajukan Cyberjaya ke arah bandar pintar.

“Saya menggesa organisasi berkenaan untuk turut sama terbabit menjadikan hab teknologi global di Cyberjaya dapat dicapai.

“Bagi merealisasikan hasrat bandar pintar ini tercapai, kita mempunyai tiga strategi antaranya meningkatkan prasarana telekomunikasi, memacu ekonomi digital dan memperkuat peraturan ekosistem, ” katanya ketika berucap pada Pameran dan Persidangan Cyberjaya Infra di sini, hari ini.

Pameran itu membincangkan berkenaan perhubungan infrastruktur membolehkan masyarakat mengakses rangkaian kesihatan, pengangkutan dan pendidikan di mana sahaja dengan lebih pantas.

Inovasi rangkaian jalur lebar itu menjadi landasan bagi meningkatkan ekonomi pada masa hadapan.

Categories
NASIONAL

Harga jalur lebar tidak dikurangkan tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 FEB: Harga jalur lebar tidak akan dikurangkan pada tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Katanya, langkah itu diambil selepas kementerian mencapai sasaran meningkatkan kelajuan jalur lebar sebanyak dua kali ganda manakala harga sudah dikurangkan kepada separuh.

“Sebelum ini, kita bercadang mahu meningkatkan kelajuan dua kali ganda dan harga dikurangkan namun keadaan berubah apabila syarikat telekomunikasi sendiri sudah menurunkan harga dengan ketara.

“Oleh itu, bagi saya sasaran mahu meningkatkan kelajuan itu sudah pun tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat Telekom Malaysia Bhd (TM) di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, awal tahun ini Malaysia berjaya memenuhi sasaran penurunan harga jalur lebar sebanyak 25 peratus pada tahun lalu.

Katanya, kebanyakan syarikat telekomunikasi seperti Celcom Axiata Bhd, Maxis Bhd dan TIME dotCom Bhd menurunkan harga jalur lebar mereka sebanyak 30 peratus hingga 65 peratus.

Sementara itu, Gobind berkata, Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjadi satu-satunya syarikat mengusulkan cadangan untuk membina infrastruktur gentian optik.

“Hanya TNB mengusulkan cadangan itu. Pada dasarnya, ia adalah sebuah syarikat tempatan mempunyai infrastruktur sedia ada dan berfungsi di Malaysia.

“Jadi itu antara faktor kita mengkaji kemungkinan satu projek perintis di Jasin, baru-baru ini,” katanya.

Projek perintis TNB selama tiga bulan di Jasin itu dilaksanakan menerusi inisiatif Pelan Ketersambungan dan Fiberi Nasional yang diumumkan semasa Pembentangan Belanjawan 2019.