Categories
NASIONAL

Laporan hala tuju PR1MA siap Ogos – Zuraida

PORT DICKSON, 4 JUL: Laporan tindakan hala tuju Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan siap selewatnya bulan hadapan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata untuk tujuan itu, satu pemukiman (retreat) dalam kalangan anggota perbadanan yang diketuai Pengerusi PR1MA, Tan Sri Eddy Chen Lok Loi diadakan selama tiga hari bermula hari ini, yang akan membincangkan projek yang perlu diberikan tumpuan, selain memberi cadangan mengenai penyelesaian perumahan PR1MA.

“Mereka anggota perbadanan PR1MA telah menjalankan tugas hampir setahun mengkaji dan meneliti kesemua projek PR1MA yang berjumlah 94 projek untuk dikategorikan projek-projek ini mengikut keutamaan iaitu kurang risiko kepada berisiko tinggi.

“Jadi sudah tentu kita akan selesaikan isu-isu projek dengan risiko rendah, yang mana akan mendapat pulangan kepada kita dan kita boleh tampung projek-projek berisiko tinggi. Ini hala tuju mereka cadangkan secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sesi dialog bersama warga PR1MA yang turut dihadiri Chen dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Mohd Nazri Md Shariff.

Zuraida berkata, 94 projek berkenaan meliputi 94,000 unit kediaman di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata PR1MA tidak akan dibubarkan dan akan terus beroperasi seperti biasa bagi menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.

Katanya, PR1MA juga menerima sebanyak 14,000 tempahan daripada masyarakat selepas Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dilanjutkan sehingga hujung tahun ini, sekali gus meningkatkan penjualan perumahan PR1MA yang sebelum ini tidak terjual.

Beliau berkata, semasa Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, kementerian memberi tempoh selama dua tahun kepada PR1MA, untuk menyelesaikan isu perumahan yang dihadapinya.

“Sewaktu kita (Pakatan Harapan) mengambil alih kerajaan, rumah yang tidak terjual ketika itu ialah sebanyak 38,000 dan sekarang kita ada 14,000 tempahan.

“Selepas tempoh setahun, PR1MA berjaya menyelesaikan 50 peratus masalah yang dihadapi dan saya yakin baki 50 peratus lagi akan boleh diselesaikan,” katanya.

Sejak ditubuhkan sehingga Jun lepas, sebanyak 12,999 unit perumahan PR1MA telah siap dibina.

PR1MA kata Zuraida terdedah kepada liabiliti sebanyak RM23 bilion dan telah berkurangan kepada RM12 bilion kini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Masyarakat perlu hargai jasa bomba

REMBAU, 3 JULAI: Masyarakat perlu menghormati jasa anggota bomba yang sentiasa bersedia membantu dalam apa jua keadaan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, peranan yang dimainkan pasukan itu amat penting dalam kehidupan masyarakat dan negara malah tindakan menghina anggota beruniform berkenaan tidak seharusnya berlaku.

“Saya berharap kita semua hormatilah anggota bomba dan jangan kita aniaya dan hina mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis Aidilfitri anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT Nazri Yunos.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, beliau berkata ucapannya itu adalah merujuk kepada tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menconteng mural potret angota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, baru-baru ini.

Pada masa sama, Zuraida dalam ucapannya juga berharap pertubuhan itu terus agresif memainkan peranan memberi penerangan kepada masyarakat mengenai Dasar Komuniti Negara.

Katanya beliau tidak mahu rakyat mendapat maklumat yang salah selain mahu semua masyarakat mendukung dasar yang digubal kerajaan demi kebaikan bersama dan kemajuan negara.

“Sekiranya ada maklumat yang tidak betul, kita kena hentikan segera dan jangan pula kita sebar dan sambung,” katanya.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 400 penduduk setempat.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 anggota JPBM siap siaga sepanjang Aidilfitri

PUTRAJAYA, 25 MEI: Sebanyak 10,000 daripada jumlah keseluruhan 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan digerakkan dan bersiap-siaga sepanjang sambutan Aidilfitri kali ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, hanya lebih kurang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota JBPM dibenarkan bercuti pada Aidilfitri.

“JBPM memainkan peranan penting pada setiap kali sambutan Aidilfitri. Untuk tahun ini satu klip video dilancarkan bagi mendidik orang awam tentang cara-cara menyelamatkan diri dan memadamkan api ketika kebakaran,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan dan Ops Raya 2019 JBPM di sini, hari ini.

Sementara itu, JBPM dalam kenyataannya yang diedarkan pada majlis berkenaan berkata, seramai 170 anggota, 17 unit jentera bomba Fire Rescue Tender dan 17 unit jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) akan ditugaskan di 17 lokasi terpilih di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur.

“Pegawai yang terlibat perlu berada di lokasi penempatan yang ditetapkan atau membuat rondaan di sepanjang lebuhraya,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

DRMM: Penjawat awam masih boleh miliki rumah mampu milik

PUTRAJAYA, 15 MEI: Penjawat awam masih boleh memiliki rumah mampu milik walaupun tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam di bawah ketetapan baharu Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya menyasarkan 9,000 penjawat awam akan menerima rumah mampu milik tahun ini.

“Jadi tiada isu (kerajaan) tak buat rumah untuk penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.

Beliau sebelum ini mengumumkan tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam, dalam pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara SPK tahun ini, bagi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.

Pada Isnin lalu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda dilaporkan meminta pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi DRMM Negara dikekalkan.

Zuraida berkata, beliau sedia mendengar pandangan Cuepacs berhubung isu rumah mampu milik untuk penjawat awam di bawah DRMM Negara itu.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini beliau belum dihubungi oleh Cuepacs untuk bertemu bagi membincangkan perkara itu.

Terdahulu, majlis yang diadakan sempena majlis berbuka puasa KPKT itu turut diselitkan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan program #QuranHour peringkat kementerian.

Zuraida berkata, ini adalah kali pertama KPKT mengadakan #QuranHour bagi menggalakkan warganya membaca kitab suci itu di bulan Ramadan bersempena pelancaran kempen Dekad Membaca Kebangsaan peringkat kementerian itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pinda klausa Perlembagaan pastikan bangunan kerajaan miliki FC

CYBERJAYA, 6 APRIL: Klausa dalam Perlembagaan Negara yang merujuk kepada pengecualian bagi bangunan kerajaan memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC), dijangka dipinda dalam masa dua bulan bagi membolehkan semua bangunan kerajaan memiliki sijil berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau sudah membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Kabinet dua bulan lalu, sekali gus membolehkan bangunan kerajaan memiliki FC.

“Saya terkejut apabila mendapati bangunan kerajaan tidak mempunyai FC. Bangunan pertama yang perlu ada FC adalah bangunan kerajaan.

“Rupanya dalam Perlembagaan Persekutuan ada satu klausa yang memberikan kekebalan kepada bangunan kerajaan (daripada memiliki FC) dan menjadikannya tidak tertakluk kepada undang-undang kebombaan. Perkara ini perlu dipinda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perumahan Raudhahville di Selangor Cyber Valley, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 140 bangunan kerajaan di seluruh negara masih belum memiliki FC dengan 39 daripadanya adalah di Putrajaya.

Zuraida berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah memulakan mesyuarat penyelarasan dengan pengurusan semua bangunan kerajaan yang tidak memiliki FC dan memberi taklimat proses yang perlu dilakukan.

Katanya, proses pengeluaran FC kepada bangunan kerajaan tidak akan mengambil masa lama kerana ia tidak membabitkan banyak birokrasi selain bangunan kerajaan itu sudah memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Katanya, apa yang perlu dilakukan kini ialah memperkemas dan menyeragamkan prosedur supaya pengeluaran CCC seiring dengan FC. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bomba perlu isi lebih 2,000 kekosongan

SEBERANG JAYA, 23 FEB: Golongan belia termasuk wanita digesa menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memiliki lebih 2,000 kekosongan jawatan, setakat ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kekosongan itu perlu diisi segera bagi menampung keperluan semasa yang banyak disokong pasukan bantuan termasuk sukerelawan bomba dan bomba komuniti.

“Pada masa ini, hanya terdapat kira-kira 14,000 anggota bomba di seluruh negara,” katanya kepada pemberita pada Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Program Suri JBPM Pulau Pinang, di sini.

Pada masa sama, beliau yakin sebarang pengurangan jawatan dalam sektor awam tidak akan membabitkan JBPM yang bertanggungjawab menjaga keselamatan harta benda awam dan negara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam yang berpandangan saiz warga sektor awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikecilkan.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inkues Muhammad Adib dibuat teliti, elak dipolemik

ALOR SETAR, 6 JAN: Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan dilaksana dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kelompangan dan dipolemikkan pihak tertentu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, tidak timbul isu mengenai perkara itu sengaja dilengahkan sebaliknya setiap proses dilakukan secara terbaik kerana ia membabitkan isu nasional.

“Prosedur inkues adalah yang terbaik, sebelum ini arwah sudah diberikan rawatan terbaik dan kita bersyukur keluarga setuju lakukan bedah siasat jadi semua laporan dah ada.

“Biasanya inkues ambil masa sebulan tetapi mungkin dapat diselesaikan lebih cepat apabila semua maklumat diperlukan lengkap,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Allahyarham Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini, hari ini.

Zuraida berkata, pada inkues pertama yang akan dijalankan di Mahkamah Koroner, 18 Januari ini, semua saksi akan dipanggil termasuk doktor yang merawat dan pihak forensik yang melakukan proses bedah siasat terhadap Muhammad Adib.

“Pada peringkat awal seramai 20 saksi telah dipanggil untuk beri keterangan dan dalam perkembangan terbaharu dimaklumkan ada saksi baharu akan dipanggil untuk bantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Cara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria berkata, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan dokumen kes di Pejabat Pendaftar Mahkamah Shah Alam dan pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib juga telah ditetapkan pada 18 Januari.

Sementara itu, ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 51, berharap proses inkues dapat dijalankan dan diselesaikan dengan cepat selain ingin melihat muka pelaku yang tergamak memukul anaknya itu.

“Saya harap pelaku dapat ditahan dengan cepat, kalau susah tangkap sahaja dalangnya kalau tak dapat tangkap yang bawah.
“Apapun, saya terima ketentuan Ilahi dan sentiasa teringat anak dan setiap hari selepas solat Subuh saya serta suami akan pergi ziarah kuburnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata laporan siasatan berhubung kes kematian enam anggota bomba yang lemas ketika operasi menyelamat remaja di lombong di Puchong pada 3 Oktober tahun lalu, kini berada di peringkat akhir sebelum ia dibawa ke Kabinet.

“Lepas kita bentang di Kabinet nanti, baharu boleh buat pengumuman. Semua anggota ini turut dinaikkan pangkat sama seperti Muhammad Adib dan kebajikan keluarga mereka juga diberi perhatian,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor pertama di Asean miliki kompleks rekreasi wanita

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 25 JUL: Kompleks rekreasi khas untuk wanita yang bakal dibina bukan sahaja menjadikan Selangor sebagai model kepada negeri lain, bahkan merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kompleks yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan mesra wanita itu dijangka mampu menarik perhatian pelancong wanita daripada luar negara khasnya daripada Asia Tengah.

“Kompleks ini bakal dilengkapi kolam renang, gelanggang dalaman, pelbagai kemudahan seperti pusat penjagaan kanak-kanak, spa, pusat dandanan rambut dan kecantikan serta urutan sekali gus membolehkan wanita boleh menghabiskan masa sehari di hujung minggu mereka di kompleks ini untuk memanjakan diri mereka.

“Projek ini juga mempunyai pasaran antarabangsa apabila kompleks ini dijadikan sebagai tarikan kepada wanita luar negara yang datang ke negara kita.

“Ia satu lagi peluang ekonomi dan kita cuba laksanakan mengikut taraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan tapak projek kompleks terbabit yang turut dihadiri Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Dr Daroyah Alwi di Bandar Bukit Puchong di sini, hari ini.

Zuraida berkata, kompleks ini bakal menjadi tempat yang sangat sesuai untuk golongan wanita mendapatkan privasi bersosial sesama mereka sama ada untuk bertukar fikiran, membina jaringan kerja dan lain-lain.

Katanya, kompleks didirikan di atas tanah seluas 15 ekar ini mampu membantu golongan wanita melegakkan tekanan terhadap tanggungjawab sebagai suri rumah mahupun berkerja di pejabat.

“Kita nak membudayakan agar wanita turut melihat kesihatan, mental dan ruang untuk istirahat atau terapi mereka kerana saya lihat ramai wanita tidak menghiraukan tentang diri sendiri ekoran kesibukan kerja dan menguruskan rumah tangga,” katanya.

SelangorKini difahamkan kos projek ini hanya dapat diketahui apabila kajian perincian kompleks ini disiapkan sepenuhnya nanti.

Categories
NASIONAL

Hanya 43 peratus bantuan bomba tiba kurang 10 minit

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Hanya 43 peratus bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya tiba di lokasi kejadian kecemasan kurang daripada tempoh 10 minit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau yakin masa perjalanan pasukan bomba itu boleh dipertingkatkan.

“Lagi cepat lagi bagus kerana prosedur standard dalam 10 minit. Pada masa ini hanya 43 peratus sahaja capai dan selebihnya antara 10 hingga 20 minit,” katanya.

Zuraida berkata demikian pada Program Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan di Mytown Mall Cheras, di sini, hari ini.

Ketika mengulas kesedaran masyarakat Zuraida berkata, kempen itu boleh dijadikan landansan terbaik dalam kalangan rakyat.

Zuraida berkata, kesedaran terhadap bahaya kebakara perlu dijauhi kanak-kanak.

“Sama seperti kadet tentera dan polis, saya harap kadet bomba juga dijadikan salah satu korikulum di sekolah bagi mendekatkan pelajar dengan bomba,” katanya lagi.