Categories
NASIONAL

GST dikena walau belum dilaksana

Tian Chua parlimen 01

KUALA LUMPUR, 22 OKT : Sebuah syarikat pengurusan tempat letak kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur didakwa mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan tambahan enam peratus kepada orang ramai meskipun belum dilaksanakan lagi Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, mendakwa syarikat, SportsIn Sdn Bhd itu mula mengenakan GST kepada pengguna tempat letak kereta di situ kira-kira satu setengah tahun lalu.

Tian berkata, banyak syarikat tempat letak kereta di sekitar Lembah Klang juga mula melakukan perkara sama walaupun Kerajaan Pusat pernah mengatakan GST tidak akan dilaksanakan dalam bajet 2014.

“Persoalannya, adakah GST ini sampai kepada Kerajaan? Adakah Kerajaan mempunyai rekod penerimaan GST ini?

“Adakah DBKL menjalankan pemeriksaan audit ke atas syarikat ini? Jika ya, bagaimana perkara ini boleh terlepas?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terutamanya di kawasan bandar supaya menyemak resit pembelian masing-masing selepas membuat pembayaran untuk sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mengesan perkara itu supaya membuat aduan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

“Kerajaan digesa supaya mengambil serius perkara ini dan syarikat yang didapati mengenakan GST mesti dihukum,” katanya.

-EZY