Categories
AGENDA SUKANKINI

Fokus latihan hadapi Sukan Olimpik, misi cipta kejayaan – Farah Ann

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi mengambil sikap berkecuali dan tidak mahu terbabit dalam kemelut dalaman yang melanda Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) pada masa ini.

Gimnas berusia 25 tahun itu berkata beliau lebih mengutamakan fokus terhadap latihan dan persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan, berbanding memihak kepada mana-mana individu atau terpalit dengan politik dalaman persekutuan tersebut.

Berbaki kira-kira 10 bulan menjelang Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada Julai tahun depan, Farah Ann berkata beliau lebih berminat dalam misi mencipta kejayaan pada temasya sukan terbesar dunia itu berbanding memikirkan masalah MGF.

“Latihan tidak terganggu (walaupun MGF berdepan kemelut dalaman) sebab program kita di bawah Majlis Sukan Negara (MSN). Alhamdulillah sekarang semua mengikut perancangan, dan saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai atlet untuk teruskan latihan,” katanya kepada Sukan Plus Bernama TV, baru-baru ini.

Minggu lepas, MGF berdepan pergolakan selepas tujuh ahli gabungannya menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap presidennya, Rachel Lau dan menggesa diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Namun, Rachel dalam jawapan balasnya, berkata MGF tidak mempunyai klausa ‘undi tidak percaya’, sekali gus membayangkan beliau tidak akan melepaskan jawatan nombor satu badan induk itu.

Berkongsi lanjut, Farah Ann berkata dalam apa jua situasi, badan induk itu perlu kembali kepada landasan asalnya dalam memayungi atlet gimnastik dan membangunkan sukan tersebut di Malaysia.

“Tugas atlet jalani latihan, namun pada masa sama saya juga ingin melihat masa depan sukan gimnastik di Malaysia bertambah baik. Sesiapa sahaja yang menerajui MGF, perlu sematkan perkara itu dalam fikiran dan memastikan atlet dan sukan gimnastik mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman, sekali gus menamatkan penantian rakyat Malaysia selama 20 tahun untuk melihat gimnas wanita negara kembali beraksi di pentas Olimpik, selepas Au Li Yen pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Amy Kwan janji terus tabur bakti bangun gimnastik

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Ratu gimrama negara Amy Kwan Dict Weng berjanji untuk terus menabur bakti dalam pembangunan gimnastik dengan berkongsi kepakarannya.

Gimnas berusia 25 tahun itu, memutuskan untuk bersara selepas 21 tahun terlibat dalam acara kegemarannya, akan memulakan episod baharu dalam hidupnya sebagai jurulatih.

Dalam perkongsian di laman Facebooknya, Amy berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, penyokong dan setiap yang terlibat sepanjang beliau berkecimpung dalam sukan gimrama itu.

“Ia satu perjalanan yang ada turun naik. Tangisan, darah, kecederaan dan pembedahan. Ada ketikanya saya rasa seperti putus asa, tapi dugaan ini menjadikan saya lebih kuat dan membentuk siapa saya hari ini.

“Maaf jika saya mengecewakan semua kerana bersara pada usia yang masih muda. Ini bukan perancangan asal tapi saya percaya Tuhan ada perancangan lebih baik untuk saya. Jangan bersedih, saya masih sebahagian daripada sukan yang menarik ini.

“Sudah tiba masa untuk saya menurunkan ilmu kepada generasi seterusnya. Sekali lagi, terima kasih, saya sayang semua. Amy Kwan undur diri sebagai gimnas kebangsaan,” kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast di Facebooknya berserta video kenangannya.

Sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2008, Amy memenangi pelbagai kejohanan termasuk pingat emas acara riben individu, perak acara berpasukan dan dua gangsa dalam acara keseluruhan individu dan gelung di Gold Coast dan dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara dan Olimpian Terbaik Wanita pada 2018.

Amy turut meraih gangsa dalam acara riben di Kejohanan Asia 2018, selain dua emas dan dua perak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, manakala di Sukan SEA Filipina pada 2019, beliau membawa pulang pingat gangsa.

-BERNAMA