Categories
AGENDA SUKANKINI

Ratu gimnastik negara impi buka akademi sendiri

PUTRAJAYA, 9 OKT: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi memasang impian untuk membuka akademi sendiri apabila bersara daripada dunia sukan itu satu hari nanti.

Farah Ann berkata pembukaan akademi itu merupakan sebahagian daripada rancangannya untuk memperkasakan bakat pada peringkat akar umbi dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan pelapis bagi sukan gimnastik.

“Akademi Farah Ann itu merupakan satu daripada impian saya satu hari nanti, mungkin rancang tubuhkan dalam masa lima hingga 10 tahun dari sekarang.

“Selain daripada penubuhan sebuah akademi yang bagus, saya juga mahu menganjurkan program atau kem gimnastik buat kanak-kanak pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021, di sini hari ini.

Dalam pada itu, atlet berusia 27 tahun itu juga berminat untuk menjadi juri pertandingan mahupun menceburi bidang komunikasi selepas mengucapkan selamat tinggal kepada sukan kesayangannya itu.

Beliau pada masa sama memaklumkan banyak cabang yang boleh diterokai oleh para atlet sekiranya mereka bersara kelak seperti menjadi jurulatih bersama Majlis Sukan Negara ataupun bekerja bersama Institut Sukan Negara mahupun Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan dana RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Farah Ann memuji inisiatif kerajaan itu dalam menggalakkan wanita menceburi bidang sukan pada masa akan datang.

Atlet kelahiran Selangor itu juga percaya pelan berkenaan mampu mengangkat konsep kesamarataan bagi aspek jantina sehingga menyaksikan wanita turut serta memacu industri sukan negara.

Pelan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian sambutan HSN 2021 di sini, menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet gimnastik Jeremiah layak ke olimpik, penampilan sulung di Tokyo

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Atlet gimnastik artistik negara Jeremiah Loo Phay Xing melayakkan diri ke Olimpik Tokyo bulan depan, yang turut menjadi penampilan sulungnya di temasya sukan berprestij itu.

Gimnas berusia 23 tahun dari Pulau Pinang itu berkata beliau seakan tidak percaya sebaik menerima khabar gembira itu, bahawa beliau akhirnya akan membuat penampilan pada temasya sukan itu, yang diimpikan selama ini sejak menjadi gimnas.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada banyak pihak yang bersama-sama dengan saya sepanjang perjalanan ini untuk menjadikannya satu realiti…membantu (saya) untuk sampai ke tahap ini, tidak mungkin ia berlaku tanpa anda semua,” katanya menerusi klip video kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril dalam kenyataan lewat malam tadi, mengesahkan slot dalam acara all-around lelaki yang akan disertai Jeremiah dalam sukan itu.

Afrita Ariany berkata kejayaan Jeremiah dalam melayakkan diri ke Tokyo adalah berdasarkan keputusan penyertaannya dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Dengan penyertaan ini, Malaysia kini mempunyai 24 atlet daripada lapan jenis sukan termasuk ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi yang akan beraksi di Tokyo, selain beberapa atlet lagi yang menunggu keputusan kelayakan.

Jeremiah juga menjadi gimnas lelaki kedua negara membuat kemunculan di Olimpik selepas sejarah dilakar Ng Shu Wai yang layak ke Sukan Olimpik Athens, Greece pada 2004.

Pada Sukan Asia di Indonesia 2018, Jeremiah menamatkan saingan dalam acara all-around lelaki pada kedudukan ke-14 dan berada di tempat keenam dalam acara kekuda pelana lelaki pada Sukan SEA Filipina 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda yang menyaksikan beliau fokus kepada proses pemulihan kecederaan bahunya sepanjang 2020.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti sukan, kolam pancing, institut memandu dibenar bersyarat mulai esok

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Premis perniagaan berkaitan aktiviti memancing seperti kolam pancing, pelantar pancing, rumah rakit dan bot memancing dibenarkan beroperasi semula mulai esok dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan juga setuju membenarkan institut latihan memandu dan pusat latihan penerbangan beroperasi semula, selain gimnasium, dewan badminton dan padang golf.

“Kerajaan sebelum ini telah benarkan aktiviti memancing bagi tujuan sara hidup di bawah sektor perikanan, namun kita terima banyak rayuan melibatkan pengusaha-pengusaha kolam pancing, ‘houseboat’ dan bot memancing ini yang hilang mata pencarian,” katanya dalam sidang media mengenai PKP hari ini.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata kesemua pembukaan sektor ini diputuskan selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan turut mengemukakan permohonan untuk aktiviti sukan lain yang bersifat individu dan tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu, peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.

“Setelah penilaian risiko dibuat, kerajaan setuju membenarkan aktiviti joging dan ‘brisk walking’, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja, tenis, badminton dan ping pong yang melibatkan acara perseorangan sahaja, permotoran (dua roda dan empat roda).

“Selain itu, aktiviti lain dibenarkan ialah aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan),” katanya.

Sementara itu, mengenai fasiliti sukan dan rekreasi seperti gelanggang tenis dan badminton, gimnasium dan pusat litar permotoran, beliau berkata penggunaannya perlu dilakukan secara penjadualan dan tempahan sahaja manakala ‘walk in’ atau secara terus tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Ismail Sabri berkata bagi golf, gimnasium, badminton, tenis dan ping pong, kesemua aktiviti itu tertakluk kepada SOP tersendiri antaranya penjarakan fizikal dalam gimnasium, keberadaan individu dalam premis mengikut kapasiti sedia ada, jarak susunan peralatan sebagainya.

Beliau berkata butiran lanjut mengenai SOP tersebut boleh didapati di laman sesawang MKN.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pengusaha kolam pancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perikanan, manakala rumah rakit dan pelantar memancing (kelong pancing) perlu berdaftar dengan PBT sahaja.

“Semua premis hendaklah memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter antara setiap pemancing semasa aktiviti. Tempat duduk pemancing ditandakan dengan jelas, dan premis juga hendaklah menyediakan pendaftaran pelanggan melalui MySejahtera, menyediakan pensanitasi atau sabun untuk mencuci tangan, saringan suhu dan sanitasi premis manakala waktu operasi dibenarkan bermula 8 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Beliau berkata mana-mana perkhidmatan rumah bot, sewaan bot atau sampan memancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan PBT dan Jabatan Perikanan dan bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak lebih 50 peratus daripada kapasiti asal.

Pemilik bot dan vesel perlu mempunyai lesen Jabatan Laut dalam tempoh yang sah dan juga berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

“Walaubagaimanapun, pesta dan sebarang pertandingan memancing adalah tidak dibenarkan. SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Jabatan Perikanan dan MKN,” katanya.

Mengenai kebenaran institut memandu, arahan ini merangkumi perkhidmatan latihan pemanduan, Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) 01, 02 dan 03, perkhidmatan praujian pemanduan (QTI), perkhidmatan ujian teori dan praktikal (litar dan jalan raya), manakala waktu operasi bermula 7.30 pagi sehingga 8.30 malam.

Antara SOPnya adalah pemakaian pelitup muka oleh pengajar dan calon sepanjang masa, keberadaan calon yang berkaitan dengan slot latihan atau pengujian sahaja di premis dan tidak dibenarkan menunggu dan penjarakan fizikal.

“Manakala bagi Pusat Latihan Penerbangan pula, arahan merangkumi pentadbiran di Approved Training Organisation (ATO) termasuk Type Rating Training Organisation (TRTO), Flying Training Organisation (FTO) dan Flying Club – Instruction in Flying (FC-IIF),” katanya.

Beliau berkata pentadbiran latihan berulang yang mandatori bagi menampung operasi penerbangan awam dibenarkan untuk juruterbang, jurutera penerbangan, pengawal trafik udara, kru kabin, kakitangan sekuriti dan pengendali bahan berbahaya.

Antara SOP berkaitan adalah pelatih yang telah berada di ATO perlu terus kekal di ATO dan mendapatkan surat kebenaran pergerakan bagi merentas negeri atau daerah untuk pergerakan ke atau dari ATO.

Selain itu, semua aktiviti latihan penerbangan boleh dilaksanakan selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Operasi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan ATO, manakala SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Pengangkutan dan MKN.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Fokus latihan hadapi Sukan Olimpik, misi cipta kejayaan – Farah Ann

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Ratu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi mengambil sikap berkecuali dan tidak mahu terbabit dalam kemelut dalaman yang melanda Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) pada masa ini.

Gimnas berusia 25 tahun itu berkata beliau lebih mengutamakan fokus terhadap latihan dan persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan, berbanding memihak kepada mana-mana individu atau terpalit dengan politik dalaman persekutuan tersebut.

Berbaki kira-kira 10 bulan menjelang Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada Julai tahun depan, Farah Ann berkata beliau lebih berminat dalam misi mencipta kejayaan pada temasya sukan terbesar dunia itu berbanding memikirkan masalah MGF.

“Latihan tidak terganggu (walaupun MGF berdepan kemelut dalaman) sebab program kita di bawah Majlis Sukan Negara (MSN). Alhamdulillah sekarang semua mengikut perancangan, dan saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai atlet untuk teruskan latihan,” katanya kepada Sukan Plus Bernama TV, baru-baru ini.

Minggu lepas, MGF berdepan pergolakan selepas tujuh ahli gabungannya menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap presidennya, Rachel Lau dan menggesa diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Namun, Rachel dalam jawapan balasnya, berkata MGF tidak mempunyai klausa ‘undi tidak percaya’, sekali gus membayangkan beliau tidak akan melepaskan jawatan nombor satu badan induk itu.

Berkongsi lanjut, Farah Ann berkata dalam apa jua situasi, badan induk itu perlu kembali kepada landasan asalnya dalam memayungi atlet gimnastik dan membangunkan sukan tersebut di Malaysia.

“Tugas atlet jalani latihan, namun pada masa sama saya juga ingin melihat masa depan sukan gimnastik di Malaysia bertambah baik. Sesiapa sahaja yang menerajui MGF, perlu sematkan perkara itu dalam fikiran dan memastikan atlet dan sukan gimnastik mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman, sekali gus menamatkan penantian rakyat Malaysia selama 20 tahun untuk melihat gimnas wanita negara kembali beraksi di pentas Olimpik, selepas Au Li Yen pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Amy Kwan janji terus tabur bakti bangun gimnastik

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Ratu gimrama negara Amy Kwan Dict Weng berjanji untuk terus menabur bakti dalam pembangunan gimnastik dengan berkongsi kepakarannya.

Gimnas berusia 25 tahun itu, memutuskan untuk bersara selepas 21 tahun terlibat dalam acara kegemarannya, akan memulakan episod baharu dalam hidupnya sebagai jurulatih.

Dalam perkongsian di laman Facebooknya, Amy berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, penyokong dan setiap yang terlibat sepanjang beliau berkecimpung dalam sukan gimrama itu.

“Ia satu perjalanan yang ada turun naik. Tangisan, darah, kecederaan dan pembedahan. Ada ketikanya saya rasa seperti putus asa, tapi dugaan ini menjadikan saya lebih kuat dan membentuk siapa saya hari ini.

“Maaf jika saya mengecewakan semua kerana bersara pada usia yang masih muda. Ini bukan perancangan asal tapi saya percaya Tuhan ada perancangan lebih baik untuk saya. Jangan bersedih, saya masih sebahagian daripada sukan yang menarik ini.

“Sudah tiba masa untuk saya menurunkan ilmu kepada generasi seterusnya. Sekali lagi, terima kasih, saya sayang semua. Amy Kwan undur diri sebagai gimnas kebangsaan,” kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast di Facebooknya berserta video kenangannya.

Sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2008, Amy memenangi pelbagai kejohanan termasuk pingat emas acara riben individu, perak acara berpasukan dan dua gangsa dalam acara keseluruhan individu dan gelung di Gold Coast dan dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara dan Olimpian Terbaik Wanita pada 2018.

Amy turut meraih gangsa dalam acara riben di Kejohanan Asia 2018, selain dua emas dan dua perak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, manakala di Sukan SEA Filipina pada 2019, beliau membawa pulang pingat gangsa.

-BERNAMA