Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Michael Feichtenbeiner bukan nama asing dalam Liga M

SHAH ALAM, 21 NOV: Michael Feichtenbeiner yang diumum sebagai ketua jurulatih Selangor FC bukan nama asing dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pengendali berusia 61 tahun dari Stuttgart, Jerman ini pernah menjadi ketua jurulatih pasukan MPPJ FC pada 2005 hingga 2006.

Semakan SelangorKini di sesawang transfermarkt.com mendapati Feichtenbeiner memulakan karier sebagai jurulatih remaja VfB Stuttgart pada 1983 sebelum menyertai kelab Switzerland BSC Old Boys Basel sebagai ketua jurulatih pada 1989.

Beliau kemudian berhijrah ke beberapa kelab lain di Jerman seperti Stuttgarter Kickers (1992), TSF Ditzingen (1993), KFC Uerdingen 05 (1997), SC Pfullendorf (1998), SV Darmstadt 98 (2000), Rot-Weiß Erfurt (2002) dan Sportfreunde Siegen (2003).

Antara pencapaian terbaik beliau termasuklah mara ke separuh akhir Piala DFB pada saingan 1999/2000 di mana kelab divisyen dua, Stuttgarter Kickers mengalahkan tiga kelab Bundesliga iaitu Borrusia Dortmund, Arminia Bielefeld dan SC Freiburg.

Feichtenbeiner juga pernah menjadi ketua jurulatih untuk pasukan bawah 15, 16 dan 17 tahun kebangsaan Jerman dari 20015 hingga 2019.

Beliau kemudian berhijrah ke Selangor FC dilantik sebagai pengarah sukan pada 2019 serta menggalas jawatan ketua jurulatih Selangor FC II.

Pada musim lalu Feichtenbeiner dilantik sebagai ketua jurulatih sementara Selangor FC selepas B Sathianathan dipecat.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Michael Feichtenbeiner ketua jurulatih baharu Selangor FC

SHAH ALAM, 20 NOV: Pengendali pasukan Selangor FC II Michael Feichtenbeiner hari ini diumum sebagai ketua jurulatih baharu Selangor FC.

Pengerusi jawatankuasa teknikalnya berkata pelantikan itu bagi menghadapi saingan 2022 selepas menilai kemampuannya sebagai ketua jurulatih sementara musim lepas.

Menurut Dato’ Seri Shahril Mokhtar, jurulatih dari Jerman itu menampilkan kerjasama pemain muda dan senior selain peralihan pantas antara menyerang dan bertahan.

“Ia selari dengan visi kami untuk melahirkan pasukan yang mampu menjuarai saingan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook pasukan itu.

Selangor FC juga mengesahkan Feichtenbeiner yang dilantik sebagai pengarah sukan sejak 2019 akan terus menjawat jawatan berkenaan.

Sebelum ini, jawatan ketua jurulatih disandang Karsten Nitzel bagi saingan Liga Malaysia 2021.

Kedudukannya dikatakan tidak selamat selepas Selangor FC tersingkir dalam saingan Piala Malaysia, baru-baru ini selepas kalah kepada Kuala Lumpur City 3-0 secara agregat pada suku akhir.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Alex import terbaharu, perkukuh bahagian tengah Selangor FC 2

SHAH ALAM, 15 JUN: Pemain import dari Ghana Alex Agyarkwa, 20, diumum sebagai tonggak baharu bahagian tengah Selangor FC 2 bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengarah Sukan Selangor FC Michael Feichtenbeiner berkata pemain yang beraksi bersama kelab divisyen dua, Accra Lions dalam liga negara tersebut dipinjamkan selama separuh musim.

“Selepas melihat aksi terbaik dipamerkan Jordan Ayimbila dan George Attram serta hubungan baik bersama Accra Lions, saya telah berbincang dengan pemilik kelab tersebut dan beliau bersetuju meminjamkan Alex.

“Pemain itu menunjukkan prestasi sangat baik dan sering kali menjadi pemain terbaik dalam perlawanan disertainya. Beliau juga merupakan seorang pemain yang memiliki pelbagai kemahiran individu diperlukan dalam pasukan,” katanya lapor SelangorFC.com .

Bagaimanapun, Alex dijangka menyertai latihan bersama Selangor FC 2 awal Julai selepas menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sejurus tiba di Malaysia.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Feichtenbeiner gembira aksi Red Giants ‘belasah’ PDRM

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Pengendali sementara pasukan Selangor Michael Feichtenbeiner sangat gembira dengan prestasi pemainnya yang mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan tercorot Liga Super, PDRM di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Jurulatih kelahiran Jerman berusia 60 tahun itu berkata kemenangan kali kedua pasukan di bawah bimbingannya sudah tentu akan meningkatkan semangat pemain skuad The Red Giants untuk perlawanan terakhir mereka menentang Felda United FC di Stadium UiTM di Shah Alam pada 10 Okt.

“Mereka bermain dengan baik pada babak pertama, sama seperti minggu lepas dan kami menjaringkan beberapa gol yang baik dalam babak pertama.

“Hanya pada 15 minit selepas rehat, saya berasa tidak gembira dengan persembahan mereka tetapi selepas gol keempat, pemain berjaya mendapat rentak mereka semula. Kami mempunyai gaya bola sepak tersendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM Mohamad Ishak Kunju Mohamad benar-benar kecewa dengan prestasi buruk barisan pemainnya yang melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan itu.

“Saya menerima kekalahan ini dengan hati terbuka tetapi satu-satunya perkara yang membuat saya kecewa adalah bila mereka melepaskan tiga hingga empat gol mudah pasukan lawan.

“Sekiranya kami berjaya mengelakkan kesilapan ini, saya tidak fikir pasukan kami akan berasa malu dengan kekalahan ini. Lima belas minit pertama kami bermain dengan baik tetapi selepas kami gagal menyekat gol pertama, kesalahan yang sama terus berulang,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Ishak berkata beliau kini mahu meraih tiga mata menentang Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada 10 Okt ini untuk menyelamatkan maruah pasukan yang masih gagal mengumpulkan sebarang mata selepas 10 perlawanan.

Kejayaan skuad The Red Giants itu membolehkan mereka melonjak ke kedudukan kelima carta Liga Super dengan 14 mata selepas meraih tiga kemenangan, lima seri dan dua kekalahan dalam 10 perlawanan.

Pada aksi tersebut, Selangor mendahului 3-0 pada babak pertama dengan gol hasil Ifedayo Olusegun Omosuyi pada minit ke-19 serta dua gol jaringan Sean Selvaraj masing-masing pada minit ke-26 dan 33.

Pada babak kedua, The Red Giants menambah empat lagi gol menerusi Brendan Gan pada minit ke-69, Ifedayo (’74), Muhammad Safuwan Baharudin (’80) serta pemain import Sepanyol, Rufino Segovia (’83).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi latihan positif, Red Giants tekad pamer kebangkitan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Sesi latihan pertama skuad Red Giants kendalian Michael Feichtenbeiner berlangsung baik di Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di sini bermula semalam.

Pemangku ketua jurulatih itu berkata pemainnya mempamerkan kesungguhan ketika latihan dan yakin pasukan akan kembali beraksi lebih baik selepas ini.

“Selangor mengharungi minggu yang mengecewakan selepas tewas 1 – 6 kepada Johor Darul Ta’zim minggu lalu tetapi itu adalah lumrah dalam bola sepak.

“Kita fokus ke hadapan dan pemain juga berada dalam suasana yang tenang sepanjang latihan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata skuad Merah Kuning mahu meraih kemenangan ketika menentang UiTM FC dalam aksi CIMB Liga Super Sabtu ini dan pemainnya akan bangkit untuk memberikan persembahan terbaik.

Feichtenbeiner yang juga Pengarah Taktikal mengambil alih tugas membimbing pasukan sehingga ketua jurulatih baharu dilantik selepas FAS menamatkan kontak B Sathianathan pada 21 September lalu.

Selangor setakat ini menduduki tangga kelapan dengan mengumpul 10 mata hasil dua kemenangan, empat seri dan dua kalah selepas lapan perlawanan.