Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Covid-19 selamat, tiada mikrocip

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon menegaskan bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat dan tidak mengandungi mikrocip yang akan mengawal minda manusia.

Menjawab persoalan berhubung teori konspirasi yang mendakwa vaksin berkenaan mengandungi mikrocip, Dr Rohaizat berkata kaedah Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin terbukti selamat dan berkesan.

“mRNA adalah sangat kecil, kita tidak boleh memasukkan mikrocip di dalamnya dan juga ia tidak berinteraksi dengan genom manusia,” katanya dalam rancangan Bernama TV’s Mid-day Update dikendalikan oleh Jessy Chahal hari ini.

Justeru, beliau menggesa agar masyarakat mempercayai mesej rasmi atau maklumat daripada laman rasmi kerajaan serta kajian literatur yang boleh dipercayai berkaitan vaksin.

Beliau berkata orang ramai boleh merujuk kepada Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengandungi maklumat antaranya mengenai jenis-jenis vaksin Covid-19 digunakan oleh kerajaan, kemudahan penyimpanan vaksin serta pandangan sudut keagamaan mengenai panduan vaksin dan imunisasi.

Buku panduan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dr Rohaizat juga menegaskan bahawa vaksin Covid-19 tidak akan menyebabkan kesan sampingan berbahaya jangka panjang terhadap kesihatan.

“Setakat ini, kajian daripada negara-negara lain menunjukkan vaksin ini selamat. Sepanjang yang kita ketahui, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura mendahului kita (pelaksanaan program imunisasi), oleh itu Malaysia boleh mempelajari dan mengkaji semula prestasi, kekurangan dan pencapaian mereka,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19 selamat, tiada mikrocip – menteri

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Vaksin Covid-19 yang diperoleh Malaysia adalah selamat dan berkesan serta tidak mengandungi mikrocip untuk mengambil alih pemikiran, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi catatan di blognya khairykj.com hari ini memaklumkan vaksin yang bakal digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu diuji terhadap puluhan ribu penerima sebelum diluluskan.

“Jutaan manusia di seluruh dunia sudah mula menerima suntikan mereka. Tiada bukti vaksin ini memudaratkan nyawa atau kesihatan mereka. Vaksin ini tidak akan mengubah DNA penerima.

“Vaksin ini dihasilkan oleh sains. Kita mesti yakin dengan sains dan bukannya teori konspirasi yang tular dalam kumpulan aplikasi WhatsApp keluarga atau taman perumahan yang memetik sumber palsu. Sains mesti menang,” katanya.

Menerusi catatan sama, beliau turut menolak dakwaan bahawa vaksin itu merupakan agenda Illuminati yang mahu menubuhkan Orde Dunia Baharu.

Sehubungan itu, Khairy yang juga menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyeru setiap ahli masyarakat agar menyokong program tersebut yang akan bermula akhir bulan ini.

“Apabila tiba masa untuk kita menerima vaksin, segeralah mendaftar agar sasaran untuk mencapai imuniti kelompok dapat dipercepat, yang seterusnya membolehkan proses pemulihan ekonomi disegerakan,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan pendaftaran bagi vaksin Covid-19 dijangka dibuka kepada orang ramai bermula Mac depan.

– BERNAMA