Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat 15 kes baharu, keseluruhan 57,654

SINGAPURA, 24 SEPT: Singapura yang sedang merangka hala tuju pembukaan semula fasa ketiga dan keempat sektor ekonomi dan aktiviti sosial, mengesahkan pertambahan 15 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di republik itu adalah 57,654 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas dikeluarkan hari ini, terdapat lima kes import yang sudah pun diserahkan Notis Duduk di Rumah sebaik tiba di Singapura.

“Berdasarkan siasatan kami sehingga kini mendapati tiada kes komuniti,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan penuh yang dikeluarkan lewat Rabu, kementerian berkenaan mengklasifikasikan 1,025 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,243 kes komuniti dan 54,359 kes melibatkan penghuni asrama pekerja asing.

Menurut MOH, 57,291 kes telah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sejumlah 36 kes yang disahkan masih ditempatkan di hospital, namun tidak ada pesakit berada di unit rawatan rapi.

Sementara, 285 pesakit bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat, tetapi diuji positif Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, 27 orang mati akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 315 pesakit usia bawah 14 tahun positif Covid-19

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kira-kira enam peratus atau 315 daripada 4,683 pesakit Covid-19 di Malaysia merupakan golongan berusia di bawah 14 tahun, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 83 pesakit merupakan kanak-kanak di bawah usia empat tahun, dan jumlah sama direkodkan pesakit berusia lingkungan lima hingga sembilan tahun dan baki 149 lagi adalah pesakit berusia antara 10 dan 14 tahun.

“Jika pesakit kanak-kanak ini mendapat jangkitan sekali dengan ibu atau ayah mereka, pesakit akan ditempatkan di dalam wad atau bilik yang sama.

“Kalau kanak-kanak ini dijangkiti, sementara ibu bapa mereka tidak dijangkiti tetapi ibu bapa ingin menjaga anak mereka, kita benarkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata ibu atau bapa yang ingin menjaga anak mereka yang positif Covid-19, digalakkan untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Mengulas lanjut, beliau berkata golongan usia 20 hingga 24 tahun paling ramai dijangkiti Covid-19, iaitu seramai 526 orang, diikuti mereka berusia 25 hingga 29 tahun (495) dan pesakit berumur 56 hingga 59 tahun sebanyak 453 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat kes ke-91, 58 dibenarkan pulang

SINGAPURA, 25 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan satu lagi kes jangkitan Covid-19 di republik itu yang dikaitkan dengan kluster di The Life Church and Missions Singapore.

Dalam satu kenyataan hari ini, MOH berkata kes ke-91 itu membabitkan seorang wanita rakyat Singapura berusia 58 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Kenyataan itu menyebut beliau mempunyai kaitan dengan kes ke-66 iaitu seorang lelaki rakyat Singapura berusia 28 tahun yang juga tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini dan telah disahkan dijangkiti virus Covid-19 pada 14 Februari.

Semasa dikenal pasti sebagai kontak bagi kes ke-66, wanita itu telah dirujuk oleh MOH kepada Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) pada 18 Februari dan keputusan ujian mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19 pada 22 Februari.

Kes baharu itu telah menyaksikan bilangan kes yang dikaitkan dengan kluster The Life Church and Missions Singapore di Paya Lebar Road meningkat kepada lapan.

Selain itu, MOH berkata enam kes daripada kluster gereja tersebut kini dikaitkan dengan 23 lagi kes yang telah disahkan dan mempunyai kaitan dengan kluster gereja Grace Assembly of God.

Sementara itu, sembilan kes lagi dikaitkan dengan kluster kedai ubat Yong Thai Hang; tiga dengan mesyuarat perniagaan swasta yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Singapura; dan lima dengan tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights.

Menurut MOH, lima lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 58 orang termasuk kes ke-91.

Daripada sejumlah 33 kes yang disahkan dan masih berada di hospital, kementerian itu berkata kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala tujuh pesakit dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sehingga tengah hari tadi, MOH telah mengenal pasti 2,846 kontak rapat yang telah dikuarantin dan daripada jumlah ini, 371 sedang dikuarantin dan 2,475 telah menyempurnakan tempoh kuarantin mereka.

– BERNAMA