Categories
SELANGOR

Amri Yahyah dan Selangor berpisah?

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Penyerang Selangor, Mohd Amri Yahyah memberi bayangan tidak akan bersama skuad Gergasi Merah dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya @ratu_amri, pemain berusia 38 tahun itu menzahirkan terima kasih kepada pengurusan baharu dan lama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) atas peluang serta kerjasama sepanjang menyarung jersi negeri kelahirannya itu.

“Berakhir sudah sesi 2019. Kita hanya merancang, Allah jua yang tentukan. Ibarat sirih pulang ke gagang tapi terhenti di tengah jalan. Bukan kacang lupakan kulit, begitu jua istilah lupa daratan. Pasti ada hikmahnya di setiap kejadian.

“Terima kasih kepada pengurusan baharu FAS memberikan kerjasama selama ini. Banyak perlu diperbaiki dan dipelajari.

“Setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih buat pengurusan lama FAS yang mencungkil bakat semula jadi yang ada pada diri saya dan hampir merealisasikan impian saya untuk menghabiskan sisa kudrat untuk berbakti pada negeri kelahiran saya. Hanya Allah dapat membalas budi dan jasa baik kalian,” tulisnya.

Bekas penyerang kebangsaan itu yang sebelum ini berhasrat untuk terus kekal beraksi bersama Selangor sehingga umur 40 tahun turut merakamkan penghargaan kepada peminatnya.

“Kepada yang sentiasa menyokong saya dari bermulanya kerjaya saya sebagai seorang pemain bola sepak hinggalah ke saat ini, terima kasih. Sokongan anda semua akan saya abadikan sebagai kenangan terindah.

“Kepada ‘peminat gelap’ saya, kerana anda saya masih ada di sini. Terima kasih atas segala kata-kata ‘pemberi semangat’,” tambahnya yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2014 hingga 2016.

Sepanjang bersama Selangor, Amri telah membantu skuad Gergasi Merah menjulang pelbagai trofi kejuaraan antaranya Piala Sumbangsih 2002, 2009, 2010; Liga Super 2009, 2010; Liga Perdana 2005; Piala Malaysia 2002, 2005 serta Piala FA 2001, 2005 dan 2009.

Namanya turut terpahat dalam sejarah bola sepak Selangor sebagai salah seorang legenda yang mempunyai rekod penampilan terbanyak dengan lebih 400 penampilan serta telah meledak lebih 100 gol buat pasukan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pertahan Piala Sultan Selangor, MB ucap tahniah

Piala Sultan Selangor - MB ucap tahniah

SHAH ALAM, 29 SEPT: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak Selangor yang mempertahankan Piala Sultan Selangor ke-12 selepas menumpaskan Singapura 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

“Tahniah kepada pasukan bola Selangor kerana berjaya menewaskan Singapura dalam Piala Sultan Selangor!” katanya melalui facebook, malam tadi.

Abdul Khalid hadir mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mencemar duli bagi menyaksikan perlawanan yang menemukan dua musuh tradisi Liga Malaysia suatu ketika dahulu.

Pada edisi tahun lalu, Selangor merampas kembali piala berkenaan dengan kemenangan 3-1 menewaskan Singapura selepas kemarau selama tiga tahun berturut-turut.

Pasukan bimbingan jurulatih, P Maniam itu muncul juara hasil dua jaringan tonggak penyerang import Francis Forkey Doe dan satu gol dari pemain import pertahanan, Adam Griffith.

Biarpun bergelut dengan isu peletakan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, pasukan Merah Kuning ternyata beraksi cemerlang untuk tidak mengecewakan lebih 50,000 penonton yang hadir malam itu.

Kesebelasan utama dibarisi Asharuddin Putra Omar, Norazlan Razali, Mohd Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Adam Griffith, Forkey Doe, S.Kunalan, K.Gurusamy, Mohd Nashriq Baharom, Mohd Fitri Shazwan dan S.Veenod.

Pasukan Selangor membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000 yang disampaikan baginda sejurus tamat permainan.

Pada malam itu, peminat bola sepak tempatan turut dihiburkan dengan perlawanan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura, Veteran Singapura menang 1-0.