Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa banjir Kuala Langat belum dapat bantuan RM1,000 digesa ke pejabat daerah

SHAH ALAM, 17 JAN: Mangsa banjir sekitar Kuala Langat yang tidak hadir semasa majlis penyampaian Bantuan Selangor Bangkit (BSB) boleh mendapatkannya di pejabat tanah dan daerah.

Pegawai Daerah berkata pihaknya mengesan kurang 10 peratus daripada 5,271 ketua isi rumah belum menerima sumbangan bernilai RM1,000 pada sesi serahan fasa satu dan dua dijalankan sehingga semalam.

“Sehingga kini, seramai 465 keluarga terjejas menerima bantuan bagi fasa satu manakala 3,806 fasa kedua. Proses agihan berjalan lancar, cuma ada sebilangan kecil tidak tampil.

“Bagaimanapun, kita beri peluang kepada individu berkaitan untuk hadir secara terus ke pejabat tanah dan daerah selepas tarikh program penyampaian,” kata Mohd Jusni Hashim ketika dihubungi hari ini.

Beliau memaklumkan pembayaran secara pemindahan dalam talian turut dilaksana buat mangsa bencana yang menyertakan nombor akaun bank pada borang permohonan.

Beberapa kenderaan ditenggelami air selepas banjir melanda Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 22 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPD: 200 penduduk Flat Sungai Emas dikesan untuk disaring

SHAH ALAM, 29 OKT: Seramai 200 penduduk Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  didapati belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Pegawai daerah Kuala Langat berkata pihaknya bersama pejabat kesihatan daerah akan mengesan mereka menerusi pemeriksaan dari rumah ke rumah kerana sebelum ini dikatakan enggan berbuat demikian apabila ujian dilakukan bermula 18 Oktober.

“Kita akan cari 200 individu berkenaan dan akan disaring di rumah masing-masing. Saya yakin proses tersebut dapat diselesaikan hari ini juga,” kata Mohd Jusni Hashim ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 991 penduduk di rumah pangsa itu menjalani saringan dan 938 sudah mendapat keputusan.

“PKPD Flat Sungai Emas berkuat kuasa hari ini sehingga 10 November depan dengan melibatkan tujuh blok serta perumahan teres di Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32, Taman Sungai Emas.

“Ia melibatkan 1,300 penduduk dan 99 peratus adalah warganegara, jumlah keluasan PKD ialah 5.9 hektar,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penempatan haram di Kuala Langat perlu roboh sebelum akhir November

SHAH ALAM, 18 OKT: Syarikat yang membina penempatan haram pekerjanya di Kuala Langat perlu merobohkan struktur kawasan itu sebelum hujung November depan.

Pegawai daerah Kuala Langat berkata dalam tempoh sama kilang juga harus membersih dan memulihkan semula persekitaran tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diceroboh.

“Pantauan pada Jumaat lalu mendapati notis pengosongan aktiviti perniagaan dikeluarkan 28 Ogos lalu dipatuhi.

“Sekiranya pengilang gagal membersihkan kawasan itu dalam tempoh 90 hari selepas notis, mereka boleh didenda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Mohd Jusni Hashim menerusi kenyataan.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) turut mengeluarkan kompaun RM22,500 kepada syarikat itu atas kesalahan membina bangunan dan kabin pekerja tanpa kelulusan.

“Kunci palang di pintu masuk kawasan sudah dipotong. Struktur untuk aktiviti perniagaan yang masih ada, dipasang pita sitaan dan akan dibersihkan dalam masa terdekat,” katanya.

Penempatan haram dipercayai didiami warga Bangladesh dan Indonesia itu sejak hujung tahun lalu mengundang keresahan penduduk setempat kerana menjadi punca pencemaran Sungai Langat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes positif Covid-19 di dua taman Kuala Langat kekal sembilan

SHAH ALAM, 13 JUN: Kes positif Covid-19 di dua taman Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran kekal sembilan mengikut keputusan penuh ujian saringan dijalankan, kata pegawai daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata keputusan tersebut yang diterima hari ini merekodkan tiada pertambahan kes selepas ujian dijalankan ke atas 4,627 penduduk Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni sejak 30 Mei lalu.

“Oleh demikian, jumlah positif kekal dan PKP Pentadbiran ini akan diteruskan sehingga 16 Jun. Penduduk juga dikawal anggota penguatkuasa dan tidak dibenarkan merentas negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 3 Jun lalu, kedua-dua taman berkenaan dikenakan PKP Pentadbiran selepas 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di situ positif Covid-19.

Susulan itu, 4,627 penduduk disaring membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pengambilan sampel penduduk PKP Pentadbiran dijangka selesai esok

SHAH ALAM, 4 JUN: Sebanyak 2,250 sampel ujian Covid-19 diambil di tiga zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran di Kuala Langat bermula 30 Mei hingga Selasa lalu, kata pegawai daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata proses itu membabitkan 1,499 rakyat tempatan dan 751 warga asing dengan anggaran 9,000 penduduk secara keseluruhan.

“Saringan dijalankan setiap hari bermula 30 Mei dan pengambilan sampel daripada keseluruhan penduduk dijangka dapat diselesaikan pada Jumaat ini (esok),” katanya menerusi Facebook semalam.

PKP Pentadbiran dilaksanakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang, Kuala Langat berikutan kes 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati positif Covid-19 pada 28 Mei lalu dengan 20 daripadanya menetap di Kuala Langat dan empat lagi di Nilai, Negeri Sembilan.

Kesemua 114 warga Bangladesh dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit dan pengambilan sampel serta pengasingan dibuat di stesen kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) setakat 29 Mei.

Perintah selama dua minggu bermula Selasa hingga 16 Jun ini merupakan PKP Pentadbiran terbesar di Malaysia dengan pemasangan pagar kawat berduri terpanjang dengan jarak 4.1 kilometer.

Categories
AGENSI SELANGOR

Golf amal PTD Kuala Langat sasar kutipan RM10,000

KUALA LANGAT, 8 MAC: Kelab Kebajikan dan Sukan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat menyasarkan kutipan lebih kurang RM10,000 menerusi kejohanan golf amal untuk disumbangkan kepada tiga organisasi memerlukan, kata pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata kejohanan dianjurkan kelab bersama Kelab Pegawai Tadbir dan Diplomatik Selangor Darul Ehsan disertai 80 pemain terdiri daripada kakitangan agensi Kerajaan Negeri.

“Kejohanan ini adalah sebahagian daripada konsep amal diadakan susulan Kejohanan Sukan Pejabat Tanah dan Daerah (PETANDA) edisi ke-13 tahun lalu menyaksikan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat pertama kali dipilih menjadi tuan rumah.

“Kita menyasarkan kira-kira RM3,000 hingga RM5,000 dana dikutip daripada setiap agensi yang menyertainya untuk diberi kepada organisasi berkaitan,” katanya di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari membuat pukulan sambil diperhati Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim ketika Kejohanan Golf Amal anjuran Kelab Kebajikan Dan Sukan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat bersama Kelab Pegawai Tadbir & Diplomatik Selangor Darul Ehsan di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey, Kuala Langat pada 8 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Kejohanan bermula pada 8 pagi turut disertai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohamad Amin Ahmad Ahya dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Adi Faizal Tarmizi.

Sebanyak 10 novelties (kategori) dipertaruhkan pada kejohanan tersebut dengan menawarkan hadiah berupa sebuah kereta Perodua Myvi tajaan Avani Sepang Gold Coast Resort.

Mohd Jusni berharap ia menjadi medan mengukuhkan kerjasama antara kakitangan Kerajaan Negeri dalam melahirkan rasa tanggungjawab sosial terhadap golongan memerlukan.

Categories
SELANGOR

Promosi keunikan makanan Jawa Kuala Langat diperhebat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 26 JUN: Usaha mempromosikan keunikan makanan masyarakat Jawa terdapat di Kuala Langat akan terus diperhebat kepada orang ramai, khususnya pelancong luar negara pada masa akan datang.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, makanan Jawa menjadi salah satu identiti rencam masyarakat di daerah terbabit memandangkan majoritinya berketurunan Jawa.

“Kita menganjurkan satu pesta makanan Jawa pada April lalu yang diadakan di Kampung Endah, Morib dan sambutan cukup memberangsangkan dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung termasuk pelancong luar negara.

“Jika terdapat keperluan, kita akan terus mempromosikannya sebagai tanda apresiasi kepada sebahagian masyarakat Kuala Langat yang majoritinya berasal daripada keturunan Jawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Aidilfitri, Apresiasi Hasil dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah ‘Jom Bayar & Menang’ Cukai Tanah 2019, di Pejabat Daerah Tanah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Alhaj Tengku Harun; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San.

Pada masa sama, Jusni berkata, majlis berkenaan mengetengahkan tema ‘Pesta Makanan Jawa’ bertujuan meraikan dan mempromosi beberapa jenis hidangan jawa kepada tetamu jemputan.

“Sebagai menghargai keberadaan mereka, kita mengambil konsep khusus makanan jawa dengan harapan supaya fokus kali ini dapat memberi peluang kepada mereka yang datang untuk merasai kepelbagaian makanan jawa dihidangkan.

“Antara yang dihidangkan adalah nasi ambeng, nasi keluban, sambal goreng Jawa, ubi rebus, sambal hijau, lempeng kelapa dan kari, tumtuman, lemper, lemet, bubur sum sum, emping melinjau serta pecal,” katanya.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan cempuling yang dibawa khas dari Perbadanan Adat Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor Sungai Lang Mukim Tanjung Dua Belas menerus lagu-lagu warisan asli Jawa.

Categories
SELANGOR

Bayar cukai tanah, menangi cabutan bertuah

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 12 APR: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat menganjurkan Cabutan Bertuah Cukai Tanah 2019 ‘Jom Bayar dan Menang’.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, ia adalah inisiatif baharu pihaknya bagi menggalakkan pemilik tanah membayar cukai itu.

Katanya, cabutan bertuah itu sudah bermula sejak 1 Januari lalu hingga 31 Mei ini.

“Ia antara inisiatif kami untuk menggalakkan pemilik tanah tidak mengelak daripada membayar cukai ini.

“Kita bukakan cabutan bertuah kepada semua pemilik tanah berdaftar hak milik mukim dan hak milik pendaftar dalam daerah Kuala Langat sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor bersempena Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Kuala Langat, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, antara hadiah cabutan bertuah itu orang ramai berpeluang memiliki motosikal, basikal, peti ais, televisyen dan tablet.

Oleh itu, beliau berkata, orang ramai terutama berada di sekitar Kuala Langat digalakkan untuk membayar cukai tanah itu secepat yang mungkin.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari website www.selangor.gov.my/kualalangat.php atau hubungi 03-31822441 / 2440 / 2430.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)