Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancong ke Langkawi wajib jalani ujian saringan Covid-19

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Setiap pelancong yang akan bercuti di Pulau Langkawi, Kedah bermula esok diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum memulakan perjalanan mereka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun. Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala perlu dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.

“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif, dan hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang terlibat boleh menjalani ujian saringan sama ada menggunakan RT-PCR atau RTK-Antigent di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta, atau menggunakan kit ujian kendiri saliva yang dibeli sendiri.

Khairy berkata untuk RT-PCR dan RTK-Antigent, individu perlu melakukannya dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk iaitu lapangan terbang atau terminal feri, sebelum berlepas.

“Selain itu, pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19, di tempat saringan yang disediakan.

“Atau pun pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri, dan menjalani ujian pengesanan di situ,” katanya.

Khairy berkata ujian yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri terlibat akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Bagi mereka yang didapati negatif Covid-19, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, manakala individu yang didapati positif Covid-19, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan dan akan diuruskan sebagaimana SOP pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat sedia ada,” katanya.

Beliau berkata projek rintis gelembung pelancongan domestik itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

“Saya ingin memberi penekanan bahawa pelaksanaan gelembung pelancongan ini tidak bermakna, kerajaan memberi kelonggaran kepada masyarakat untuk tidak mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengunjung PPV IDCC diminta buat saringan jika ada gejala

SHAH ALAM, 13 JULAI: Orang ramai yang berkunjung ke pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) di sini diminta melakukan ujian saringan Covid-19 sekiranya bergejala.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin berkata individu yang telah menerima vaksin juga perlu melakukan tindakan sama jika mengalami demam, selsema dan batuk berterusan.

“Saringan boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan yang berdekatan. Jika melakukan ujian di fasiliti kerajaan atas arahan pegawai, ia tidak perlu dibayar,” katanya menerusi notis pemakluman Soalan Lazim penutupan PPV IDCC hari ini.

Hari ini PPV berkenaan ditutup sehari selepas 204 petugasnya dikesan positif Covid-19.

Susulan itu sebanyak 6,000 janji temu hari ini akan dijadualkan semula selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan melakukan proses sanitasi.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 turut menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi antara 29 Jun hingga 12 Julai membuat penilaian kendiri dan melakukan saringan sekiranya bergejala.

Pada 2 Mei lalu, PPV IDCC dibuka bagi mempercepatkan urusan suntikan imunisasi berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kendalian kali pertama Kerajaan Selangor itu melibatkan suntikan khas vaksin AstraZeneca untuk individu yang mahu mengambilnya secara sukarela.

Categories
SELANGOR

Lebih 5,000 penduduk PKPD Sabak Bernam jalani saringan Covid-19

SABAK BERNAM, 12 JUN: Seramai 5,235 penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabak Bernam telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam, Dr A L Liza Abd Latip berkata daripada jumlah itu didapati 164 individu disahkan positif jangkitan wabak.

“Mereka yang dijangkiti ini membabitkan pelbagai kategori usia daripada kanak-kanak sehingga dewasa. Tiga kes kematian melibatkan golongan warga emas lingkungan usia 66 tahun ke atas yang mempunyai sejarah penyakit kronik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media penamatan PKPD Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di Pusat Kawalan Operasi Bencana Sabak Bernam di sini hari ini.

Terdahulu, PKPD dilaksana selama 14 hari sejak 30 Mei ekoran peningkatan ketara kes di lokaliti itu dalam tempoh singkat iaitu 113 daripada 1,237 saringan dikesan positif.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar saran kerajaan tingkat kadar ujian kesan Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan meningkatkan kadar pengujian dalam kalangan rakyat bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua pembangkang berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya dilaksanakan ketika ini adalah tempoh terbaik yang perlu dimanfaatkan susulan peningkatan jangkitan termasuk kes sporadik serta kadar kematian.

Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata langkah melipatgandakan saringan bersesuaian dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memaklumkan 10 hingga 30 pengujian bagi setiap satu kes yang telah disahkan.

“Demi rakyat Malaysia, saya benar-benar berharap sebab untuk mengurangkan kadar pengujian bukan menggambarkan kes semakin menurun bila secara realitinya kerajaan terus gagal dan rakyat terus mati.

“Dengan tindakan besar-besaran kita mendapat gambaran sebenar tentang penularan Covid-19, ambil langkah proaktif untuk kuarantin dan pengesanan kontak bagi melindungi warga yang terdedah dengan marabahaya untuk tiga bulan mendatang,” katanya dalam kenyataan.

Anwar mengulas laporan Kementerian Kesihatan berhubung purata kes jangkitan Covid-19 sebanyak 99,094 kes sejak tujuh hari lalu dengan kadar pengujian semakin menurun.

Pakar perubatan turut mempersoalkan kadar rendahnya dan percaya laporan harian tidak menggambarkan jumlah kes jangkitan sebenar dengan secara logik kadar positif Covid-19 pada tujuh peratus atau lebih menggambarkan langkah menggurangkannya adalah salah.

Beliau berkata persoalan itu pernah diajukan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai rasional kerajaan tidak meningkatkan kadar ujian dan hanya menunggu fasa vaksinasi besar-besaran bermula pada Julai atau Ogos ini.

Katanya, gesaan itu dibuat sejak tahun lalu dan kebelakangan ini namun tiada respon serta tindakan pantas dari pihak berwajib.

“Ini secara tidak langsung menggambarkan langkah darurat hanya untuk menutup kelemahan kerajaan serta untuk mereka mengelak dari kebertanggungjawaban,” katanya.

Selangor mula melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di lokasi panas pada 11 April tahun lepas selain turut memperkenal saringan pandu lalu.

Sejak 8 Mei lalu hingga hari ini, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan wabak secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN dengan menyasarkan 100,000 penyertaaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Penduduk Taman Sri Muda jalani saringan Covid-19 percuma

SHAH ALAM, 7 JAN: Penduduk di kawasan perumahan sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Tinjauan SelangorKini di lokasi mendapati puluhan penduduk beratur seawal jam 8 pagi bagi menjalani ujian bersasar berlangsung di perkarangan Dewan Azalea di taman perumahan berkenaan.

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan memeriksa suhu badan.

Lokasi saringan turut dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Saringan berakhir esok dikendalikan 35 petugas kesihatan Klinik Selcare selain dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Seperti saringan di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana dan Meru, kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) digunakan untuk mengesan jangkitan Covid-19 dalam tempoh kurang 30 minit.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lalu bagi membendung penularan wabak.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam kenyataan memaklumkan saringan dipergiat bagi memastikan kadar jangkitan di bawah paras lima peratus dan setakat ini ia pada tahap tujuh hingga 25 peratus.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sekiranya 20 kes positif dikesan dalam kalangan 100 individu yang menjalani saringan, ini bermaksud masih banyak kes belum dikesan dalam kalangan komuniti.

Semalam, Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi Covid-19 dalam negara selepas merekodkan 965 kes termasuk satu jangkitan import, lebih separuh daripadanya dicatat di Klang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Covid-19 untuk pekerja asing mulai 1 Disember

SHAH ALAM, 27 NOV: Saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas Antigen kepada semua pekerja warga asing akan dilaksanakan mulai 1 Disember, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata untuk peringkat awal program itu bermula di Selangor diikuti Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Labuan.

“Pelaksanaan ujian ini akan dijalankan secara berperingkat dan bersasar mulai 1 Disember berdasarkan beberapa mekanisme,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata temu janji dengan fasiliti kesihatan swasta termasuk kos tanggungan perkhidmatan klinik atau hospital perlu dibuat oleh majikan.

Manakala kos kit ujian RM60 pula ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk ujian kali pertama sahaja, katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPD: 200 penduduk Flat Sungai Emas dikesan untuk disaring

SHAH ALAM, 29 OKT: Seramai 200 penduduk Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  didapati belum menjalani ujian saringan Covid-19.

Pegawai daerah Kuala Langat berkata pihaknya bersama pejabat kesihatan daerah akan mengesan mereka menerusi pemeriksaan dari rumah ke rumah kerana sebelum ini dikatakan enggan berbuat demikian apabila ujian dilakukan bermula 18 Oktober.

“Kita akan cari 200 individu berkenaan dan akan disaring di rumah masing-masing. Saya yakin proses tersebut dapat diselesaikan hari ini juga,” kata Mohd Jusni Hashim ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 991 penduduk di rumah pangsa itu menjalani saringan dan 938 sudah mendapat keputusan.

“PKPD Flat Sungai Emas berkuat kuasa hari ini sehingga 10 November depan dengan melibatkan tujuh blok serta perumahan teres di Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32, Taman Sungai Emas.

“Ia melibatkan 1,300 penduduk dan 99 peratus adalah warganegara, jumlah keluasan PKD ialah 5.9 hektar,” katanya.

Categories
PBT

MDSB buat ujian saringan Covid-19 pada 336 peniaga pasar

SHAH ALAM, 11 MEI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menjalankan ujian saringan ke atas 336 peniaga dari lapan pasar awam bagi membendung penularan virus tersebut.

Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan memaklumkan antara pasar awam terlibat adalah Pasar Awam Sekinchan, Pasir Panjang, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Pasar Awam BNO, Sungai Air Tawar dan Sabak serta Jeti Ikan Sekinchan.

“Saringan itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga ekoran banyak kes positif berlaku di Pasar Borong Selayang selain memastikan seluruh pasar awam di Sabak Bernam bebas Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Ujian saringan bermula jam 8 pagi hingga 1.30 petang diketuai Pegawai Kesihatan Daerah Sabak Bernam, Dr Liza Abd Latif.

Turut terlibat membantu melancarkan perjalanan ujian itu ialah petugas dari pusat kesihatan daerah, klinik kesihatan, polis, Rela dan Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Kerja Raya.

Sebelum ini, kerajaan mengisytiharkan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan susulan 28 kes Covid-19 direkodkan di lokasi berkenaan dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.