Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP secara pentadbiran dua taman di Kuala Langat tamat

KUALA LANGAT, 16 JUN: Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni, Bukit Changgang di sini, ditamatkan hari ini.

Pegawai Tanah dan Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata ia ditamatkan pada kira-kira 11 pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia selesai melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap semua 4,697 penduduk di kedua-dua kawasan berkenaan, katanya pada sidang media di pusat operasi kawalan secara pentadbiran itu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman.

Mohd Jusni berkata daripada keputusan saringan yang diperoleh ke atas kesemua penduduk di situ, jumlah individu didapati positif Covid-19 kekal sembilan orang dengan tujuh adalah warga tempatan manakala masing-masing seorang warga Nepal dan Thailand dan mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Pelaksanaan PKP secara pentadbiran dikenakan sejak 2 Jun lepas di kedua-dua taman perumahan itu berikutan wujudnya kes positif Covid-19 membabitkan 20 pekerja pembersihan warga asing yang menginap di kawasan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes positif Covid-19 di dua taman Kuala Langat kekal sembilan

SHAH ALAM, 13 JUN: Kes positif Covid-19 di dua taman Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran kekal sembilan mengikut keputusan penuh ujian saringan dijalankan, kata pegawai daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata keputusan tersebut yang diterima hari ini merekodkan tiada pertambahan kes selepas ujian dijalankan ke atas 4,627 penduduk Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni sejak 30 Mei lalu.

“Oleh demikian, jumlah positif kekal dan PKP Pentadbiran ini akan diteruskan sehingga 16 Jun. Penduduk juga dikawal anggota penguatkuasa dan tidak dibenarkan merentas negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 3 Jun lalu, kedua-dua taman berkenaan dikenakan PKP Pentadbiran selepas 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di situ positif Covid-19.

Susulan itu, 4,627 penduduk disaring membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Categories
SELANGOR

Penduduk negatif Covid-19 boleh keluar masuk kawasan PKP pentadbiran

SHAH ALAM, 11 JUN: Penduduk Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama yang negatif Covid-19 dibenarkan melakukan pergerakan keluar masuk dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran.

Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim bagaimanapun berkata mereka tetap tidak dibenarkan merentasi negeri sehingga arahan PKP secara pentadbiran ditarik semula.

“Selepas saringan, penduduk akan dikategorikan Annex 14 iaitu diarahkan kuarantin di rumah selagi keputusan tidak diterima.

“Manakala, mereka yang terima Annex 17 ini dibenarkan keluar masuk kawasan kediaman tetapi tidak boleh merentas negeri selagi PKP secara pentadbiran belum selesai,” katanya kepada SelangorKini.

Jelas Mohd Jusni, setakat ini kes positif wabak itu kekal sembilan manakala keputusan saringan 20 penduduk yang belum diperoleh dijangka diterima hari ini.

“Penduduk tidak mengalami masalah bekalan makanan kerana mereka sudah boleh keluar membeli barangan keperluan masing-masing,” katanya.

Pada 3 Jun lalu, Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran sehingga 16 Jun ini susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di situ disahkan positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Categories
SELANGOR

Penduduk Taman Langat Utama, Taman Langat Murni tak dibenar rentas negeri

SHAH ALAM, 9 JUN: Penduduk Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni yang menjadi lokasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran dilarang untuk merentas negeri, kata Pegawai Daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata penduduk hanya boleh berbuat demikian selepas PKP kawasan tersebut yang bermula 2 Jun tamat pada 16 Jun ini.

“Penduduk bebas untuk keluar masuk kawasan ini tetapi kami ingin mengingatkan mereka dilarang merentas negeri dan diharap semua pihak patuh arahan pihak berkuasa.

“Dalam pada itu pihak kami sentiasa memantau keadaan penduduk dan jika ada yang mengalami ketidakstabilan emosi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyediakan perkhidmatan kaunseling,” katanya.

Jusni berkata setakat ini JKM telah mengedarkan sebanyak 1,842 bakul makanan bekalan asas kepada penduduk yang memerlukan.

Pada 7 Jun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntukan RM100,000 untuk membekalkan bantuan makanan kepada penduduk di Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni.

PKP secara pentadbiran dikuat kuasakan apabila 24 pekerja pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di taman berkenaan positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring dan ia membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

300 penduduk dua taman di Kuala Langat tunggu keputusan saringan Covid-19

SHAH ALAM, 9 JUN: Seramai 300 penduduk Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19, kata Pegawai Daerah Kuala Langat.

Mohd Jusni Hashim berkata setakat jam 12 tengah hari ini bilangan positif wabak dalam kalangan penduduk kawasan tersebut adalah sembilan kes.

“Nasihat saya kepada penduduk yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran supaya kekal di rumah melainkan atas urusan benar-benar penting sahaja.

“Amalkan penjarakan sosial, sentiasa memakai pelitup muka apabila berada di kawasan awam dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan arahan pihak berkuasa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

PKP secara pentadbiran dikuat kuasakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama pada 2 Jun apabila 24 pekerja pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di taman berkenaan positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring dan ia membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni menjadi lokasi PKP secara pentadbiran terbesar di Malaysia meliputi kawasan seluas 42.8 hektar yang menempatkan 1,752 rumah selain dipasang kawat duri terpanjang iaitu 4.1 kilometer.

Categories
SELANGOR

Dua taman di Kuala Langat dipasang kawat duri lebih empat kilometer

SHAH ALAM, 8 JUN: Taman Langat Utama dan Taman Langat Murni di Kuala Langat dekat sini menjadi lokasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran terbesar di Malaysia.

Kementerian Kesihatan menerusi Twitter hari ini berkata kawasan seluas 42.8 hektar yang menempatkan 1,752 rumah turut dipasang kawat duri terpanjang iaitu 4.1 kilometer.

“Anggaran penduduk di situ adalah 9,000 orang dengan 70 peratus penduduk tempatan dan 30 peratus warga asing.

Anggota PDRM dan ATM mengawal jalan keluar masuk di pos kawalan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran dilaksanakan di Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Penduduk tempatan yang belum disaring dibenar keluar masuk (dengan perjalanan direkod) dan yang telah disaring diarah kuarantin di rumah selama 14 hari. Penduduk warga asing pula tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu,” katanya.

PKP secara pentadbiran dikuatkuasakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama pada 2 Jun apabila 24 pekerja pembersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tinggal di taman berkenaan positif Covid-19.

Susulan itu, seramai 4,627 penduduk di taman berkenaan disaring dan ia membabitkan 3,686 rakyat tempatan manakala 941 adalah warga asing.

Sehingga semalam, sembilan daripadanya positif, 2,253 negatif dan 2,365 masih menunggu keputusan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: RM100,000 bekal bantuan makanan kepada penduduk Taman Langat

KUALA LANGAT, 7 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukan RM100,000 untuk membekalkan bantuan makanan kepada penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan makanan asas seperti beras, minyak dan sardin dijangka dapat bertahan untuk tempoh lebih seminggu.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat ringkas oleh Panglima Briged Ke-11 Infantri Malaysia Brigadier Jeneral Norsham Mat Tap ketika melawat Taman Langat Murni, Kuala Langat pada 7 jun 2020 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Penduduk juga menerima bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan individu persendirian,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada penduduk di situ hari ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan semua penduduk sudah disaring, namun keputusan 1,300 individu masih belum diketahui dan dijangka diterima Selasa ini.

“Saya harap semua penduduk bersabar. Jika berdepan masalah boleh datang ke bilik gerakan dan kita turut membuka pusat kesihatan 24 jam bagi membantu mereka,” katanya.

Pagi tadi, Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim memaklumkan seramai 4,627 penduduk di kedua-dua taman sudah disaring susulan penguatkuasaan PKP Pentadbiran bermula 3 Mei lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penduduk Taman Langat terima bekalan makanan minggu depan

SHAH ALAM, 5 JUN: Penduduk di dua buah taman di Kuala Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran kelmarin, bakal menerima bantuan makanan minggu depan.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Borhan Aman Shah berkata sumbangan dibuat oleh Pemerbadanan Menteri Besar dan Pejabat Daerah Kuala Langat.

“Ada juga syarikat luar yang mahu menyumbangkan 20,000 pelitup muka kepada penduduk,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP pentadbiran susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan tinggal di situ, disahkan positif Covid-19 Khamis lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.

Categories
ADN SELANGOR

Beri kerjasama jalani saringan, patuh SOP perintah kawalan

SHAH ALAM, 5 JUN: Penduduk di tiga zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran di Kuala Langat diminta memberi kerjasama menjalani saringan Covid-19 yang dijangka selesai hari ini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil.

Adhif Shan Abdullah berkata setakat ini keadaan setempat terkawal kerana penduduk diberikan kelonggaran bergerak dalam kawasan untuk tujuan berkaitan selain membeli barang keperluan.

“Jangan ingkar arahan Semi PKPD (PKP Pentadbiran), patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan amalkan normal kehidupan baharu. Sayangi diri dan keluarga kita,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan 1,500 bakul makanan untuk penduduk di samping keperluan petugas hadapan bertugas sepanjang PKP Pentadbiran.

PKP Pentadbiran dilaksanakan di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Bukit Changgang, Kuala Langat berikutan kes 24 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati positif Covid-19 pada 28 Mei lalu dengan 20 daripadanya menetap di Kuala Langat dan empat lagi di Nilai, Negeri Sembilan.

Perintah selama dua minggu bermula Selasa hingga 16 Jun ini merupakan yang terbesar di Malaysia dengan pemasangan pagar kawat berduri terpanjang dengan jarak 4.1 kilometer.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP pentadbiran: Penduduk Taman Langat bakal terima bekalan makanan

KUALA LANGAT, 4 JUN: Bekalan makanan antara keperluan utama diberi kepada penduduk Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pentadbiran bermula semalam.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Borhan Aman Shah berkata perkara tersebut dibincangkan bersama Dato’ Seri Amirudin Shari dan akan dilaksana dalam tempoh terdekat.

“Keperluan kita nampak tentulah bekalan makanan dan kita juga sudah bincang dengan pejabat daerah cara beri bantuan,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Bantuan Khas Kewangan kepada Setiausaha dan AJK Biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kuala Langat.

Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Program Penyerahan Bantuan Kewangan Khas di Pejabat Tanah Kuala Langat pada 6 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Borhan berkata lebih separuh daripada 9,000 penduduk di kawasan berkenaan sudah disaring dan berkemungkinan individu yang keluar masuk perlu mengulangi prosedur sama.

“Ini antara langkah awal dilakukan kerana kawasan terbabit dekat dengan kampung tradisi dan kilang yang mempunyai bilangan pekerja ramai. Kita tidak mahu ada penularan wabak,” katanya.

PKP secara pentadbiran di kedua-dua kawasan tersebut susulan 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan tinggal di taman berkenaan, disahkan positif Covid-19 Khamis lalu.

Bagaimanapun, penduduk dibenarkan keluar masuk kerana pelaksanaan PKP di situ berbeza di tempat lain seperti Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.