Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam terima 10,000 mohon lanjut moratorium

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menerima kira-kira 10,000 permohonan lanjutan moratorium membabitkan segmen peruncitan bagi tempoh Ogos sehingga setakat semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed turut menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dalam tempoh dua minggu akhir bulan ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pelanggan yang masih terjejas akibat Covid-19 agar segera menghubungi bank berkenaan untuk mengatur penyelesaian terbaik berikutan tempoh moratorium enam bulan akan berakhir hujung bulan ini.

“Pada masa ini, proses permohonan hanya mengambil masa empat hari bekerja jika dokumen lengkap. Kita khuatir jika pelanggan lewat, proses pemohonan juga akan ambil masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM40,000 kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam turut membuka 10 cawangannya pada dua Sabtu berturut-turut (12 dan 19 September) bagi memudahkan urusan pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan pasca moratorium.

Pada Julai lepas, kerajaan mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan terbukti terus terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Islam hubungi 380,000 pelanggan untuk lanjutan moratorium bersasar

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) telah menghubungi seramai 380,000 pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara berperingkat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk tawaran tempoh lanjutan moratorium bersasar sejak minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata setakat ini, kurang daripada 10 peratus yang telah menghubungi bank semula untuk memohon tempoh lanjutan moratorium tersebut yang akan bermula Oktober ini.

“Setakat ini, ramai yang belum memberi maklum balas lagi kerana mungkin mereka masih memikirkan tentang lanjutan moratorium ini.

“Justeru, kami menggalakkan pelanggan untuk mengunjungi laman web dan media sosial kami untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan lanjutan moratorium bagi golongan sasar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Sadaqa House, di sini hari ini.

Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan impak daripada pandemik Covid-19 manakala yang selebihnya kerajaan akan melaksanakan pendekatan bersasar.

Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

Mohd Muazzam berkata sebanyak 95 peratus daripada pelanggannya telah memilih untuk mendapat kemudahan moratorium yang bermula dari April 2020 hingga September 2020 manakala baki lima peratus membuat pembayaran seperti biasa.

Katanya pelanggan boleh mengunjungi cawangan bank di seluruh negara bermula hari ini untuk membincangkan mengenai penyelesaian paling sesuai mengikut keadaan kewangan mereka dan menikmati kemudahan tersebut.

Terdahulu, Bank Islam telah memberi sumbangan berjumlah RM240,000 menerusi platform pendanaan awam Sadaqa House Bank Islam kepada Mercy Mission Malaysia, Buku Jalanan Chow Kit (BJCK) dan pelajar kolej swasta Muhammad Fayyadh Haziq.

Mohd Muazzam berkata sumbangan RM24,000 disalurkan kepada Mercy Mission untuk menjayakan program ‘Feeding to Educate’ yang bertujuan menyediakan bantuan makanan bernutrisi lengkap kepada 40 pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan selama setahun.

Selain itu, katanya Bank Islam membantu BJCK yang giat membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur dengan fokus untuk memberi pendidikan berkualiti.

BJCK menerima sebuah van serbaguna untuk membantu menyediakan akses pendidikan kepada 80 warganya untuk menjalani aktiviti harian.

Katanya setakat ini, sebanyak RM1.2 juta daripada RM4 juta telah dibelanjakan oleh Sadaqa House sejak penubuhannya pada 2018.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam sedia bantu pelanggan selepas moratorium tamat

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Bank Islam Malaysia Bhd menggalakkan para pelanggan yang terjejas akibat Covid-19 supaya menghubunginya bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama enam bulan dijadualkan tamat pada September.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed berkata pihaknya prihatin terhadap keperluan pelanggan dan secara proaktif menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju untuk membantu mereka menghadapi keadaan ekonomi tidak menentu akibat pandemik yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.

“Segmen tersebut juga merupakan kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam telah membantu lebih 394,000 pelanggan daripada segenap segmen.

Bank Islam telah memberi moratorium selama enam bulan untuk membantu pelanggan yang terjejas dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh tersebut, katanya.

“Pelan strategik telah dirangka dan Bank Islam sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan serta mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini.

“Apa yang perlu dilakukan hanyalah datang untuk berbincang dengan kami.” katanya.

Bagi mengemukakan sebarang pertanyaan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai alternatif penyelesaian bayaran Bank Islam, pelanggan dinasihatkan berkunjung ke cawangan Bank Islam berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900.

-BERNAMA