Categories
AGENDA NASIONAL

MPM harap Sukan Para ASEAN Hanoi diteruskan

ALOR SETAR, 22 JUN: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap Sukan Para ASEAN Hanoi, Vietnam yang dijadualkan pada 17 hingga 23 Disember ini diteruskan dan tidak dibatalkan seperti Sukan Para ASEAN 2019 di Filipina.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata sukan itu perlu diteruskan supaya tidak memberi kesan kepada atlet yang akan mengharungi beberapa sukan utama lebih mencabar tahun depan yang memerlukan percaturan baharu.

“Untuk Hanoi, belum ada kata putus sama ada ditunda atau dibatalkan…tapi kami Majlis Paralimpik Malaysia telah menghantar surat untuk membantah supaya tidak dibatalkan, jadi kami tunggu. Kami tak mahu ianya dibatalkan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sanggup memberi kerjasama sepenuhnya kerana pembatalan temasya sukan itu akan membawa kesan hingga ke tahun depan berikutan beberapa sukan utama dijadual berlangsung antaranya Sukan Asia Hangzhou (10 hingga 25 September) dan Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai hingga 8 Ogos 2022) yang boleh menjejaskan tumpuan atlet.

“Atlet kita pun dah terlepas aksi pada kejohanan ASEAN tahun lepas di Manila yang ditangguh ke tahun ini dan jika ditangguhkan lagi ke tahun depan, kita kena letakkan yang mana diutamakan untuk memilih semula kejohanan mana yang perlu diberi tumpuan untuk capai kejayaan besar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Usahawan Negara berkata demikian selepas program pemberian kupon minyak percuma kepada 65 orang pemandu teksi di daerah ini di sini.

Vietnam sebelum ini bercadang untuk menangguhkan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN selama setahun pada mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) yang diadakan secara maya minggu lepas, namun cadangan itu mendapat bantahan lapan daripada 11 negara peserta termasuk Malaysia.

Berikutan itu, Vietnam diberikan tempoh dua minggu untuk membentangkan cadangan baharu.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman menaruh harapan agar kontinjen negara mampu mencipta kejutan dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang membuka tirainya pada 24 Ogos depan.

Katanya, Kontinjen Malaysia turut menerima tajaan sepenuhnya daripada Datuk Bandar Miyoshi untuk berada 10 hari lebih awal di Jepun sebelum tarikh dijadual memasuki perkampungan sukan itu bagi menyesuaikan diri di Jepun.

“Kita sasarkan lebih daripada tiga pingat emas yang diraih di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 dan berharap lebih banyak pingat diperoleh sebab banyak negara tak ambil bahagian,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet lelaki lebih ramai alami gangguan seksual, perlu ditangani – Awam

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Keganasan berasaskan jantina (GBV), termasuk isu gangguan seksual dalam arena sukan Malaysia semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera bagi membina ruang yang selamat dan terjamin kepada semua terlibat, menurut Persatuan Pergerakan Wanita (Awam).

Presidennya, Premalosani Arivanathan berkata berdasarkan penyelidikan dilakukan oleh Kolej Poly-Tech MARA terhadap 422 atlet pada 2017, mendapati sebanyak 15.9 peratus responden pernah mengalami gangguan seksual dalam sukan, menyaksikan separuh daripada atlet terbabit pernah mewakili negara di pertandingan antarabangsa.

Lebih mengejutkan, katanya, atlet lelaki lebih terdedah kerana kajian menunjukkan bahawa 19 peratus daripada atlet lelaki pernah mengalami gangguan seksual, berbanding atlet wanita iaitu sebanyak 11 peratus.

“Kira-kira 28 peratus daripada mangsa terjejas dari segi fizikal dan mental mereka, sekali gus mempengaruhi prestasi dalam sukan serta kerjaya dalam jangka panjang,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Awam dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di sini semalam.

Premalosani berkata MoU berkenaan adalah langkah pertama untuk menangani isu GBV seperti gangguan seksual, rogol dan keganasan rumah tangga dengan memberi latihan kepada atlet, jurulatih dan pegawai selama setahun.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan sebanyak 191 laporan mengenai GBV diperoleh melalui talian telenita sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, dan jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak.

“Berbanding sebelum ini, Awam hanya menerima 195 laporan mengenai kes GBV pada tahun 2019. Malah pada 2017 hingga 2019, kami menerima purata 100 hingga 150 kes setahun, tapi tahun ini, kami menerima 190 kes dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berkata badan induk sukan para itu berbangga kerana menjadi organisasi sukan pertama bekerjasama dengan Awam untuk menangani isu gangguan seksual tanpa mengira jantina.

“Inisiatif ini diambil demi melindungi dan memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat dalam pergerakan sukan para di Malaysia, termasuk atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal dan pentadbir persatuan.

“MPM dan Awam bersependapat bahawa gangguan seksual amat penting untuk dibincangkan secara terbuka walaupun agak sensitif bagi golongan wanita dan kurang upaya,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MPM hormati langkah batal Sukan Para ASEAN 2020

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik keputusan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) untuk mengadakan mesyuarat Lembaga Pengelola (BoG) bagi mengesahkan status pembatalan temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

Filipina dijadual menganjurkan Sukan Para ASEAN pada Januari lepas setelah berjaya menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA pada Disember lepas, namun ia ditangguhkan beberapa kali sehingga Mei atau Jun sebelum keputusan membatalkannya dibuat susulan impak penularan pandemik Covid-19.

Justeru, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berharap satu keputusan rasmi dapat dicapai sama ada temasya dwitahunan itu dibatalkan sepenuhnya untuk fokus dialihkan kepada persiapan menghadapi edisi 2021 di Vietnam atau diteruskan dengan mencari negara baharu sebagai tuan rumah.

“Walaupun kecewa dengan pengumuman itu sudah tentu kami (MPM) menghormati dan memahami sepenuhnya keputusan tuan rumah Filipina untuk membatalkan penganjuran temasya dwitahunan itu bagi menyalurkan peruntukan dana APG kepada usaha membendung penularan wabak Covid-19 di negara itu.

“Keputusan mesyuarat ini pastinya memberi kesan mendalam terhadap persiapan atlet para negara. Malah, perkara itu diakui dua jaguh para negara, Mohamad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly yang diziarahi pihak MPM pada minggu lalu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MPM hari ini.

APSF hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa satu mesyuarat tergempar Lembaga Pengelola (BoG) akan diadakan untuk membahas, mengesahkan dan menyokong pembatalan temasya itu dan terus menuju kepada penganjuran Sukan Para ASEAN ke-11 pada 2021 yang dijadualkan di Vietnam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan STPM diumum 25 Februari – MPM

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 diumum pada 25 Februari ini, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

MPM dalam kenyataan memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah pada tarikh berkenaan mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian pula akan memperolehnya melalui pos.

“Calon juga boleh menyemak keputusan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT jarak no kad pengenalan dan menghantarkannya ke 15888.

“Mereka juga boleh membuat semakan secara dalam talian dengan melayari portal MPM di alamat http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun lepas 44,823 calon menduduki peperiksaan STPM di 652 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 44,501 atau 99.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (167 atau 0.37 peratus), manakala calon persendirian (128 atau 0.29 peratus) dan 27 atau 0.06 peratus calon sekolah kerajaan negeri.

-BERNAMA