Categories
AGENDA NASIONAL

Calon STPM terima vaksin tidak lama lagi

KANGAR, 14 JULAI: Pemberian vaksin Covid-19 kepada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan dipercepatkan dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.

“Mengikut perancangan kita, pelajar yang akan berhadapan dengan peperiksaan STPM akan disegerakan kemudahan pemberian vaksin mereka,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengeluarkan garis panduan untuk golongan yang berumur 18 tahun mendapatkan vaksinasi Covid-19.

“Walaupun tarikh lahir di kad pengenalan masih belum cukup 18 tahun tetapi dari segi tahun sudah berumur 18 tahun, mereka akan menerima vaksin dengan syarat mendapat kebenaran daripada ibu bapa,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penghantar makanan cemerlang STPM, anggap PdPR satu cabaran

SEREMBAN, 2 JULAI: Seorang penghantar makanan sambilan tidak menyangka memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), semalam.

Muhammad Izzuddin Amirrudin, 20, yang memulakan khidmat sebagai penghantar makanan GrabFood dua bulan lepas berkata keputusan tersebut disemak secara dalam talian ketika dia sedang menunggu pesanan makanan pelanggan di restoran.

Bercita-cita menjadi seorang peguam untuk berkhidmat kepada masyarakat, Muhammad Izzudin berkata dia berhasrat mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM).

“Saya terkejut dan sangat gembira selepas mengetahui memperoleh 4A dengan PNGK 4.00 dan sangat bersyukur kerana usaha dan pengorbanan selama ini akhirnya membuahkan hasil.

“Ibu bapa sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk menghadapi peperiksaan terutama ketika negara kini dilanda pandemik Covid-19. Tidak lupa juga kepada jasa guru-guru yang selama ini tanpa lelah mengajar dan berkongsi ilmu kepada saya dan rakan-rakan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Forest Heights itu berkata Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah antara cabaran perlu dilalui kerana dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri belajar tanpa bersemuka dengan guru-guru dan rakan-rakan lain.

“Capaian internet lemah juga menyukarkan PdPR. Ada masa saya rasa patah semangat tetapi sokongan daripada ibu bapa menyuntik kembali semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran,” katanya.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata antara resipi kejayaan cemerlang dalam STPM adalah rajin mengulang kaji di samping rajin membaca nota tambahan dengan melakukan penyelidikan di internet serta memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari bagi mengulang kaji pelajaran.

Berkongsi pengalaman sebagai penghantar makanan, Muhammad Izzuddin berkata ia banyak mengajar dirinya untuk mengenal masyarakat dengan pelbagai ragam dan mempersiapkan diri menjadi seorang yang lebih matang.

Katanya, berkerja sambilan sebagai penghantar makanan juga mendidik menjadi seorang yang amanah serta dapat memperkuat dirinya dari aspek mental dan fizikal kerana situasi kerja yang tanpa mengira keadaan hujan atau panas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan STPM 2020 diumum 1 Julai

PUTRAJAYA, 26 JUN: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 akan diumumkan pada 1 Julai ini, demikian menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

MPM berkata calon boleh mendapatkan keputusan mereka pada tarikh berkenaan mulai 12 tengah hari melalui semakan dalam talian di pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK.

Calon juga boleh menyemak keputusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM jarak nombor kad pengenalan jarak angka giliran dan menghantarnya ke 68886 mulai 11 pagi 1 Julai hingga 12 tengah hari pada 9 Julai ini.

“MPM juga akan menghantar keputusan ke e-mel calon pada 1 Julai mulai 11 pagi,” menurut kenyataan itu.

Bagi calon yang tidak mempunyai capaian Internet, MPM berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah akan memaklumkan kaedah sesuai selepas golongan tersebut dikenal pasti.

Seramai 47,008 calon menduduki STPM yang diadakan mulai 8 Mac lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Cadangan tambah subjek elektif dalam eptrs.my akan dibincang

BANTING, 5 FEB: Cadangan memuatkan mata pelajaran elektif dalam portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri.

Jurucakap PTRS berkata usul itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkaitan berikutan pelaksanaannya membabitkan peruntukan tambahan.

“Kalau boleh kita mahu semua mata pelajaran disediakan, tetapi bergantung pada bajet kerana apa yang ada sudah memadai untuk menjentik hati anak-anak belajar bagi memperoleh kejayaan.

“Malah, kita mahu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) mempunyai bilangan kredit yang cukup untuk melangkah ke fasa pengajian seterusnya,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, subjek tambahan dicadangkan meliputi matematik tambahan, fizik, kimia, biologi dan sains komputer untuk SPM selain ekonomi serta pengurusan perniagaan untuk STPM.

Jurucakap itu menjelaskan penambahan subjek melalui portal pendidikan itu sebagai salah satu pendekatan meningkatkan jumlah penyertaan pelajar terutama calon peperiksaan utama di negeri ini.

Beliau juga percaya hasrat itu akan dipenuhi berpandukan kepada komitmen Kerajaan Selangor yang mendahului negeri lain dalam menyediakan sistem sokongan pendidikan untuk pelajar pada era pandemik Covid-19.

“Program tuisyen ini melalui transformasi kerana sekarang sudah ada modul dan menapak satu langkah lagi dengan wujudnya eptrs.my.

“Sudah tentu usaha sebegini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan pendidikan pelajar,” katanya.

Portal tersebut antara inisiatif disediakan Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor dibentang pada 20 Januari bagi membantu calon peperiksaan SPM dan STPM.

Platform itu memuatkan pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM manakala Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet) untuk STPM.

Pada Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri melaksana program e-pembelajaran, Selangor Tutor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang mendapat sambutan menggalakkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Portal eptrs.my sediakan teknik jawab soalan mudahkan calon SPM, STPM

SHAH ALAM, 17 JAN: Teknik menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut disediakan dalam portal pendidikan Selangor eptrs.my

Dato’ Menteri Besar berkata segala kandungan portal berkenaan dilengkapkan oleh guru pakar serta berpengalaman dalam setiap mata pelajaran.

“Proses ulangkaji akan lebih mudah dengan perkongsian tips menjawab soalan peperiksaan melalui rakaman video.

“Semuanya adalah percuma. Lengkapkan diri anda dengan Program Pecutan Akhir di www.eptrs.my,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Portal pendidikan Selangor eptrs.my dilengkapi sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM.

Semalam portal dilengkapi sesi pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah untuk SPM serta Pengajian Am dan Ujian Bahasa Inggeris (Muet) untuk STPM dilancarkan bagi membantu calonnya.

Melalui portal berkenaan, pelajar berpeluang menyertai sesi soal jawab bersama guru bimbingan selain membolehkan mereka melakukan ulang kaji pelajaran.

Ia turut menyediakan program khas ‘Pecutan Terakhir’ untuk meningkatkan penguasaan calon peperiksaan.

Berikut adalah cara untuk mendaftar: 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM, SVM, STAM dipinda kepada 22 Feb, STPM 8 Mac

SHAH ALAM 8 NOV: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda kepada 22 Februari depan.

Menteri pendidikan berkata Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak kepada 8 Mac 2021.

Dr Radzi Jidin berkata perincian mengenai semua peperiksaan awam itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Bagi membantu calon peperiksaan awam 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan bahawa mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah mulai 20 Januari 2021.

“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata kesemua ketetapan itu juga terpakai kepada sekolah swasta dan institusi pendidikan berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran mengikuti ketetapan ini,” katanya.

Terdapat 400,445 calon berdaftar bagi peperiksaan SPM, 7,996 STAM sementara 14, 942 (semester 2) dan 8,371 (semester 4) bagi peperiksaan SVM. Untuk calon STPM seramai 45,956 orang bagi semseter 1 dan 47,008 semester 3.

Dr Mohd Radzi berkata pihaknya juga akan menjadualkan semula semua pentaksiran berkaitan peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember 2020.

Bagaimanapun pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tingkatan satu dan empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

Dr Mohd Radzi menambah pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.

Katanya pelajar akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021 sementara ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember 2020 akan ditangguhkan ke tahun hadapan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis pelawa pelajar lepasan SPM, STPM lanjut pengajian

SHAH ALAM, 23 OKT: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dipelawa menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Menurut laman web universiti itu, tawaran sama terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Menengah untuk mengikuti 77 program yang ditawarkan.

“Antara program ditawarkan berkaitan pengajian Islam, pengurusan, perakaunan, komunikasi, syariah, pendidikan dan teknologi maklumat selain diajar pensyarah berpengalaman.

“Kuis mempunyai kampus lengkap berkeluasan 104 hektar. Segala keperluan pembelajaran dan sukan disediakan. Pemandangan persekitaran juga menarik selain kedudukan strategik dengan kemudahan pengangkutan,” kata universiti itu.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan http://www.kuis.edu.my/v4/kemasukan/program-pengajian, manakala permohonan melalui http://onlineapp2.kuis.edu.my:8080/onlineapp/default.jsp

Pemohon juga boleh menghubungi pegawai pemasaran melalui WhatsApp di talian 019-2260746 atau 019-3896937.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan STPM diumum 25 Februari – MPM

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 diumum pada 25 Februari ini, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

MPM dalam kenyataan memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah pada tarikh berkenaan mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian pula akan memperolehnya melalui pos.

“Calon juga boleh menyemak keputusan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT jarak no kad pengenalan dan menghantarkannya ke 15888.

“Mereka juga boleh membuat semakan secara dalam talian dengan melayari portal MPM di alamat http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun lepas 44,823 calon menduduki peperiksaan STPM di 652 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 44,501 atau 99.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (167 atau 0.37 peratus), manakala calon persendirian (128 atau 0.29 peratus) dan 27 atau 0.06 peratus calon sekolah kerajaan negeri.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tambahan tempat matrikulasi tidak jejas lepasan STPM ke UA

PUTRAJAYA, 20 MEI: Pertambahan sebanyak 15,000 tempat untuk program Matrikulasi yang diputuskan Kabinet baru-baru ini tidak akan menjejaskan pengambilan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke peringkat ijazah pertama di universiti awam (UA).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar.

“Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA (institusi pendidikan tinggi awam),” katanya.

Menjelas lanjut, KPM berkata calon-calon yang layak dan memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian serta kriteria pemilihan yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan berdasarkan kepada pilihan program pengajian yang dipohon.

Katanya proses pemilihan pelajar bergantung kepada pengiraan markah merit iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Menurut KPM, markah akademik bagi kedua-dua lepasan STPM dan Matrikulasi adalah berdasarkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang diperoleh calon yang memohon.

“Kejayaan mendapat tempat di UA bergantung sepenuhnya kepada markah merit, tempat yang disediakan serta kelayakan calon dan bukannya bergantung kepada kategori calon tersebut,” katanya.

Selain itu, KPM berkata bilangan tempat yang boleh ditawarkan juga bergantung kepada prasarana dan kapasiti UA.

KPM berkata dalam tempoh dua tahun sejak 2017, tawaran untuk lepasan STPM telah menunjukkan pertambahan sebanyak 4,242 (21.07 peratus), manakala lepasan Matrikulasi meningkat sebanyak 1,981 tawaran (10.83 peratus) pada sesi 2018/2019.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

PNGK STPM meningkat kepada 2.71

PUTRAJAYA 28 FEB: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 menunjukkan peningkatan dengan catatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional meningkat kepada 2.71 berbanding 2.65 pada tahun 2015.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.00 bertambah kepada 565 calon iaitu 1.31 peratus berbanding 335 calon (0.80 peratus) pada 2015.

Katanya, peratusan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga meningkat kepada 37.62 peratus (16,263 calon) pada 2016 berbanding 33.97 peratus (14,263 calon) pada 2015.

“Bilangan calon yang mendapat PNGK 2.75 ke atas juga meningkat daripada 20,359 calon pada 2015 kepada 22,407 calon pada 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman keputusan STPM 2016, di sini, lapor BH ONLINE.

=EZY=

Categories
SELANGOR

51 calon STPM Selangor dapat PNGK 4.00

SHAH ALAM 2 MAC: Seramai 51 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Selangor memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim, berkata bilangan itu menurun berbanding 65 calon mendapat keputusan sama pada 2013.

Beliau berkata, pada 2014 sebanyak 72 sekolah mendaftar calon untuk STPM dengan 30 sekolah mencapai prestasi lulus penuh.

“Pencapaian prestasi sekolah yang mendapat keputusan lulus penuh pada 2014 meningkat berbanding hanya 27 sekolah pada 2013.

“Calon STPM pada 2014 menunjukkan peningkatan prestasi berdasarkan kuantiti sekolah yang mendapat kelulusan dan Gred Purata Sekolah,” katanya dipetik BH Online.

Categories
NASIONAL

Saran Program MES Untuk Anak Muda

 

amirudin shari

SHAH ALAM 3 JULAI : Dalam usaha melahirkan generasi masa depan Selangor yang lebih cemerlang, Kerajaan Negeri disaran merangka program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) khusus untuk golongan anak muda.

Bercakap di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi tadi, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari berkata usaha sedia ada perlu diperluaskan lagi dengan pelbagai program meliputi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

“Antaranya saya menyeru Kerajaan Negeri mengkaji dan merangka skim khas membiayai yuran peperiksaan percuma dan ini juga adalah seperti jihad dalam bidang pendidikan.

“Kerajaan Negeri juga mungkin boleh mewujudkan Skim Peluang Kedua untuk anak muda yang gagal dalam peperiksaan utama (SPM, STPM) untuk diberi peluang sekali lagi,” cadang Amiruddin sewaktu membentangkan perbahasannya pagi tadi.

Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur sukan di negeri ini untuk kegunaan anak-anak muda.

“Saya sarankan agar kemudahan sedia ada dinaik taraf dan dipertingkatkan untuk memberi impak yang lebih baik dan lebih besar dalam pembangunan sukan.

“Sehubugan itu juga, saya minta agar Kerajaan Negeri melihat kembali peruntukan untuk pembangunan sukan negeri,” katanya lagi.

Beliau turut mengutarakan cadangan untuk mewujudkan Skim Mimbar untuk golongan belia, memperbanyakkan aktiviti kebudayaan untuk anak muda selain membuka lebih banyak pusat pendidikan vokasional.