Categories
AGENDA NASIONAL

Radzi: KPM buka bilik gerakan, urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan sedang mengambil tindakan bagi menguruskan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas di Terengganu dan Kelantan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

“Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

“Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” menurut hantaran itu.

SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan STPM diumum 25 Februari – MPM

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 diumum pada 25 Februari ini, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

MPM dalam kenyataan memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah pada tarikh berkenaan mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian pula akan memperolehnya melalui pos.

“Calon juga boleh menyemak keputusan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT jarak no kad pengenalan dan menghantarkannya ke 15888.

“Mereka juga boleh membuat semakan secara dalam talian dengan melayari portal MPM di alamat http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun lepas 44,823 calon menduduki peperiksaan STPM di 652 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 44,501 atau 99.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (167 atau 0.37 peratus), manakala calon persendirian (128 atau 0.29 peratus) dan 27 atau 0.06 peratus calon sekolah kerajaan negeri.

-BERNAMA