Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan minyak sawit mentah dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Dagangan kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meningkat pada minggu depan, dipacu oleh kenaikan data eksport, pengukuhan prestasi Bursa Komoditi Dalian, harga minyak mentah serta pasaran ekuiti.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata permintaan daripada pembeli utama seperti India dan China diunjur meningkat berikutan tindakan Malaysia menurunkan duti eksport MSM kepada sifar bagi bulan ini.

“India dan China telah meningkatkan pembelian minyak sawit masing-masing yang berkemungkinan besar mengurangkan lagi jumlah stok simpanan di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata kontrak hadapan MSM meningkat secara ketara di akhir dagangan pada Jumaat berikutan spekulasi pasaran bahawa eksport Malaysia bagi tempoh 1-20 Jun ini meningkat sebanyak 55-57 peratus berbanding tempoh sama pada Mei lepas.

“Berikutan itu, eksport Malaysia bagi Jun dijangkakan mencatat pertumbuhan bagi bulan keempat.

“Kontrak hadapan September 2020 yang juga penanda aras ditutup pada paras RM2,475 satu tan iaitu tertinggi dalam tempoh empat bulan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimana pun, peningkatan data pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan Persatuan Persatuan Pengilang-Pengilang Sawit Selatan Semenanjung serta kebimbangan mengenai penularan semula Covid-19 mungkin mempengaruhi harga komoditi itu.

Selain itu, penggiat pasaran juga akan turut memantau acara dalam talian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) – ‘Pointers on Price Trends’ pada 22-28 Jun ini bagi mendapatkan unjuran harga dan pengeluaran.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran kebanyakannya meningkat berikutan aktiviti ekonomi global yang kini dibuka kembali.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak hadapan MSM untuk Julai 2020 naik RM24 kepada RM2,454 satu tan manakala Ogos 2020 dan September 2020 masing-masing menokok RM29 kepada RM2,400 satu tan dan RM2,367 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 256,328 lot daripada 245,808 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka susut kepada 227,871 kontrak daripada 252.401 kontrak.

Di pasaran fizikal, Julai Selatan yang merupakan bulan kontrak baharu mencecah RM2,530 satu tan.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Pedagang Jepun masih utamakan minyak sawit Malaysia – MPOC

KUALA LUMPUR 11 JUL: Para pedagang Jepun terbukti masih menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan mereka berdasarkan faktor bekalan, kualiti serta jaminan kemampanan yang boleh diharapkan selain kepentingan peranan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor dalam satu kenyataan hari ini berkata, minyak sawit Malaysia menyumbang sebanyak 71 peratus atau 502,000 tan daripada jumlah komoditi itu yang diimport ke Jepun.

“Pihak dagangan dan industri Jepun secara khususnya menghargai usaha berani Malaysia untuk menjadikan Skim Pensijilan MSPO itu sebagai mandatori menjelang Januari 2020.

“Malah, ini lebih ketara apabila pihak (penganjur) Olimpik Tokyo 2020 turut mengiktiraf MSPO sebagai antara sistem pensijilan bagi pemerolehan Minyak Sawit Mapan Yang Diperakui,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas berakhirnya acara Dialog dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Jepun anjuran MPOC, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia di Tokyo pada 9 Julai 2018.

Seminar itu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan jalinan hubungan perniagaan sedia ada antara penggiat Jepun dan rakan mereka di Malaysia.

Pada masa sama, acara itu turut menjadi platform bagi membolehkan kalangan penggiat industri minyak sawit Malaysia meninjau peluang baharu menerusi inovasi dan teknologi Jepun yang berpotensi.

Menurut MPOC, pada tahun lepas, penggunaan minyak dan lelemak di Jepun meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada 2.85 juta tan berbanding 2016, manakala import minyak dan lelemak meningkat secara stabil sebanyak 5.2 peratus pada 2016 kepada 1.02 juta tan.

“Aliran ini dijangka berterusan pada masa depan seiring dengan pertumbuhan permintaan tempatan selain kepelbagaian penggunaan produk berkaitan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA