Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka hadapi pemulihan teknikal

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan pemulihan teknikal pada minggu depan selepas mengalami kerugian berbanding minggu sebelumnya.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pasaran minggu depan juga berkemungkinan akan disokong oleh angka eksport yang lebih baik termasuk kenaikan dalam harga minyak mentah.

“Pasaran MSM tempatan dijangka diniagakan berdasarkan asas bulan Mac 2021 sepenuhnya dan data penanaman Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga Minyak Sawit, David Ng mengunjurkan harga MSM untuk didagangkan dalam jajaran kecil pada aliran kenaikan pada minggu depan berikutan dorongan sentimen eksport yang lebih baik.

Data daripada syarikat pemeriksaan bebas, AmSpec Agri Malaysia yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan eksport produk minyak sawit Malaysia bagi 25 hari pertama Mac 2021 mencecah 1,017,730 tan, naik 10.4 peratus berbanding 921,929 tan yang dihantar semasa 1 hingga 25 Feb, 2021.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya lebih rendah, menjejaki prestasi harga minyak kacang soya yang lebih lemah dan prospek pengeluaran yang lebih tinggi pada minggu-minggu akan datang.

Secara mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2021 meningkat RM12 kepada RM4,025 satu tan, Mei 2021 menokok RM9 kepada RM3,864 satu tan, Jun 2021 merosot RM32 kepada RM3,692 satu tan dan Julai 2021 menurun RM50 kepada RM3,536 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 327,332 lot daripada 376,496 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 268,778 kontrak daripada 256,905 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan kekal tidak berubah pada RM4,050 satu tan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Harga minyak sawit mentah diniagakan dalam julat kecil

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, bagaimanapun, niaga hadapan MSM dijangka akan meningkat minggu depan.

“Bulan paling aktif (Julai) dijangka menguji RM2,800 satu tan sebelum susut semula. Kenaikan niaga hadapan dan pasaran tunai telah menjadikan sawit kurang kompetitif berbanding saingan terdekatnya, minyak kacang soya,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak sawit perlu susut untuk mendapatkan semula diskaun US$70 kepada minyak kacang soya atau harganya perlu meningkat pada kadar yang lebih cepat berbanding sawit, katanya.

Sathia berkata pergerakan harga MSM dijangka terus dipengaruhi oleh trend am dalam komoditi utama terutamanya minyak mentah dan minyak kacang soya.

Bagi minggu baru berakhir, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan kukuh untuk hari ketiga berturut-turut, menjejaki kenaikan minyak saingan.

Pada penutup pada Jumaat, Ogos 2020 naik RM285 kepada RM2,890 satu tan — tertinggi sejak 5 Februari.

Sementara itu, BMD meneruskan pertumbuhannya dalam aktiviti dagangan selama dua hari apabila jumlah dagangan harian untuk kontrak niaga hadapan MSM (FCPO) mencapai rekod baharu melebihi 70,000 lot, berbanding jumlah dagangan purata untuk FCPO sebanyak 50,000 lot.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM untuk Ogos 2020 naik RM285 kepada RM2,890 satu tan, September 2020 melonjak RM300 kepada RM2,854 satu tan, Oktober 2020 menambah RM258 kepada RM2,778 satu tan, dan November 2020 meningkat RM213 kepada RM2,713 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 311,950 lot daripada 278,651 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 259,670 kontrak daripada 246,199 kontrak.

Di pasaran fizikal, Ogos Selatan naik RM180 kepada RM2,880 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

India kekal destinasi eksport utama minyak sawit

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: India akan kekal sebagai destinasi eksport utama bagi pengeluar minyak sawit terbesar di dunia – Indonesia dan Malaysia, untuk jangka masa yang akan datang berikutan masa yang diambil bagi India untuk meningkatkan dan memodenkan sektor pertaniannya, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa.

Beliau berkata sektor pertanian negara itu sangat bergantung kepada hujan untuk tanaman.

“Sawit memerlukan banyak hujan untuk menghasilkan hasil yang optimum dan ketiadaan hujan selama lebih daripada dua bulan akan menjejaskan hasil. Ini akan meningkatkan kos (pengeluaran),” katanya kepada Bernama.

Sathia berkata India akan menghasilkan sawit sendiri kerana kebergantungannya yang tinggi terhadap import berharga berbilion dolar US dan kenyataan daripada perdana menteri negara itu menggambarkan betapa pentingnya perkara tersebut susulan defisit dihadapi India daripada cabaran ekonomi dan pandemik Covid-19 telah memburukkan keadaan.

“Apa yang penting, Malaysia tidak boleh berpuas hati dan perlu terus memperluas kedudukan pasarannya ketika ini dengan memeterai perjanjian dua hala, mempergiatkan penyelidikan dan meningkatkan kerjasama,” katanya.

Kelmarin, Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri India Narendra Modi telah meminta pekebun di bahagian timur laut negara itu untuk membangunan perladangan minyak sawit berperanan sebagai pasaran terjamin untuk komoditi yang diimport.

Modi dinasihati para saintis pertanian dan ahli ekonomi mengenai potensi perladangan minyak sawit di wilayah timur laut negara itu yang akan membantu India untuk membangunkan sendiri komoditi tersebut.

“Saya meminta semua kerajaan negeri di bahagian timur laut untuk membangunkan misi olein sawit di negeri masing-masing,” kata Modi menerusi satu persidangan video.

Kumpulan perdagangan India yang mewakili pengekstrak minyak bijian, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) menyokong langkah Modi itu kerana ia akan mengurangkan import.

Presiden SEA, Atul Chaturvedi berkata kawasan tanah sesuai untuk perladangan minyak sawit akan berkembang kerana isu itu sekarang telah mendapat perhatian anggota kerajaan.

India telah mengenal pasti sekitar dua juta hektar tanah yang sesuai untuk penanaman minyak sawit. Ia dapat menghasilkan sehingga lapan juta tan minyak sawit.

Antara negeri yang telah dikenal pasti ialah Arunachal Pradesh, Assam dan Mizoram di bahagian timur laut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata ketika Malaysia berharap agar India terus membeli minyak sawitnya, Malaysia akan membantu kerajaan India secara teknikal dalam usaha mereka membangunkan minyak sawit menggunakan khidmat pakar teknikal berkaitan amalan pertanian yang baik, serta pembangunan minyak sawit mampan.

Bagaimanapun, Ahmad Parveez berkata bahawa keadaan iklim di India mungkin menjadikan usaha mereka untuk meningkatkan produktiviti minyak sawit menjadi satu cabaran besar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan minyak sawit mentah dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Dagangan kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meningkat pada minggu depan, dipacu oleh kenaikan data eksport, pengukuhan prestasi Bursa Komoditi Dalian, harga minyak mentah serta pasaran ekuiti.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata permintaan daripada pembeli utama seperti India dan China diunjur meningkat berikutan tindakan Malaysia menurunkan duti eksport MSM kepada sifar bagi bulan ini.

“India dan China telah meningkatkan pembelian minyak sawit masing-masing yang berkemungkinan besar mengurangkan lagi jumlah stok simpanan di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata kontrak hadapan MSM meningkat secara ketara di akhir dagangan pada Jumaat berikutan spekulasi pasaran bahawa eksport Malaysia bagi tempoh 1-20 Jun ini meningkat sebanyak 55-57 peratus berbanding tempoh sama pada Mei lepas.

“Berikutan itu, eksport Malaysia bagi Jun dijangkakan mencatat pertumbuhan bagi bulan keempat.

“Kontrak hadapan September 2020 yang juga penanda aras ditutup pada paras RM2,475 satu tan iaitu tertinggi dalam tempoh empat bulan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimana pun, peningkatan data pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan Persatuan Persatuan Pengilang-Pengilang Sawit Selatan Semenanjung serta kebimbangan mengenai penularan semula Covid-19 mungkin mempengaruhi harga komoditi itu.

Selain itu, penggiat pasaran juga akan turut memantau acara dalam talian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) – ‘Pointers on Price Trends’ pada 22-28 Jun ini bagi mendapatkan unjuran harga dan pengeluaran.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran kebanyakannya meningkat berikutan aktiviti ekonomi global yang kini dibuka kembali.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak hadapan MSM untuk Julai 2020 naik RM24 kepada RM2,454 satu tan manakala Ogos 2020 dan September 2020 masing-masing menokok RM29 kepada RM2,400 satu tan dan RM2,367 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 256,328 lot daripada 245,808 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka susut kepada 227,871 kontrak daripada 252.401 kontrak.

Di pasaran fizikal, Julai Selatan yang merupakan bulan kontrak baharu mencecah RM2,530 satu tan.

-BERNAMA