Categories
NASIONAL

Pekerja Berhak Sertai Himpunan Aman

 

SHAH ALAM, 21 MEI: Rakyat negara ini termasuk golongan pekerja mempunyai hak untuk menyurakan pandangan mereka termasuk dengan cara mengadakan demontrasi secara aman.

Demikian menurut Setiausaha Eksekutif Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud ketika diminta mengulas laporan terdapat kakitangan awam yang turut menjadi buruan polis kerana menyertai perhimpunan aman BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

“Pada hemat saya, itu hak individu untuk melaksanakan serta menzahirkan pendapat adalah termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa juga.

“Jadi maknanya selagi tidak bercanggah dengan hak tersebut, ia tidak menjadi satu kesalahan sebagaimana dinyatakan hak berhimpun, berpendirian yang dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan,” ujar beliau kepada TVS.

Shahir turut memberitahu setiap kakitangan awam berhak untuk melibatkan diri mereka dalam sebarang aktiviti yang tidak menyalahi undang-undang di luar waktu kerja selagi ianya tidak mengganggu prestasi kerja individu terbabit.

Shahir turut menambah, setiap organisasi kesatuan perkerja dan masyarakat pekerja negara ini harus membebaskan diri mereka dari dibelenggu atau terikat kepada pandangan yang selari dengan parti pemerintah sahaja.

“Kita tidak boleh mengambil sikap yang terkebelakang, misalnya dalam hal ini kita tidak boleh mengambil sikap apa yang dilakukan oleh pemerintah semuanya betul. Tidak kiralah samada parti pemerintah mana sekalipun.

“Kita tidak boleh terlalu taksub, terlalu terikat sehingga nak buat apa pun terikat,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan kepada organisasi berkaitan agar memainkan peranan yang sewajarnya berhubung isu penahanan orang awam termasuk kakitangan awam yang menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 lalu.

Sebelum ini dalam isu yang sama, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman melahirkan rasa kecewa dengan pembabitan sekurang-kurangnya tiga kakitangan awam dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

Selain itu menurut Omar, Cuepacs juga tidak akan membantu ahli-ahlinya yang menghadapi risiko dibuang kerja kerana terlibat dengan perhimpunan yang sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gaji Minima Tidak Efektif Seperti Yang Diharapkan

SHAH ALAM, 14 MEI : Belia Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan pemberian gaji minimum sebanyak RM900 sebulan untuk semua sektor adalah terlalu kecil dan tidak relevan.

Pengerusinya, Mohd Faisal Abu Bakar berkata, walaupun RM900 bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan, rakyat tidak akan puas hati kerana harga barang terus melonjak.

Menurutnya, gaji minima sebanyak RM900 telah diperjuangkan MTUC lebih 10 tahun lalu tetapi jumlahnya ditambah dengan elaun kos sara hidup (KOLA) RM200 menjadikan jumlah gaji RM1,100.

“Persoalannya timbul mengapa Najib membeza-bezakan pemberian gaji minimum kepada pekerja sedangkan keperluan rakyat adalah sama.

?Malah apa yang menjadi kerunsingan, bukan sahaja Perdana Menteri mengumumkan gaji minima RM900, malah ia termasuk elaun.

?Maknanya, gaji RM650 dengan elaun RM250 dan itulah gaji minima. Begitu juga di Sabah dan Sarawak,” ujarnya apabila ditemui di himpunan Hari Pekerja Selangor semalam.

Beliau tidak menolak andaian bahawa pengumuman gaji minima itu adalah atas alasan meraih undi semata-mata menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Namun beliau percaya, rakyat kini tidak lagi dikaburi dengan habuan sementara dan janji-janji palsu Umno-BN, sebaliknya semakin bijak membuat pilihan untuk menolak parti itu pada PRU akan datang.

“Mungkin apabila Umno-BN terus memerintah negara, kita akan ditindas dan tidak menerima hak sewajarnya.

?Ini adalah satu peringatan kepada Perdana Menteri, sekiranya gaji minimum gagal dikuatkuasa sebelum PRU, pekerja akan bangkit menentang habis-habisan untuk menolak Umno-BN,” tegasnya.