Categories
AGENDA SUKANKINI

Sapawi sudah sedia, layak beraksi di Eropah – Kim Swee

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Pemain sayap skuad kebangsaan dan tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid, layak beraksi di pentas liga utama Eropah, kata bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee berkata, pemain yang dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu, memiliki standard serta kemampuan mengembangkan bakatnya ke peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, pengalaman luas Muhammad Safawi di pentas antarabangsa serta kemahiran individu yang dimilikinya, akan membantu beliau mengharungi segala cabaran dan tekanan dalam bersaing mencipta nama tersendiri di Eropah.

“Sebelum ini lagi beliau dikaitkan dengan beberapa tawaran dari luar negara dan sememangnya beliau layak menerimanya, dengan pengalaman luas bersama JDT dan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa, beliau telah bersedia untuk cabaran baharu.

“Beliau memiliki kemampuan untuk bersaing dengan sesiapa sahaja kerana keyakinan yang ada pada beliau, selain sikap tidak cepat berputus asa. Teknik dan kemampuan fizikal beliau pula kita tahu antara yang terbaik di Asia, jadi soal mampu atau tidak itu bukan lagi persoalannya,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Sukan JDT Martin Prest, semalam mengesahkan skuad Harimau Selatan itu menerima tawaran rasmi untuk Muhammad Safawi, daripada kelab liga utama Portugal, Portimonense SC dan bersedia melepaskan anak jati Dungun berusia 23 tahun.

Muhammad Safawi melakar rekod cemerlang bersama JDT pada musim 2019, apabila meledak 20 gol dan merekodkan 10 ‘assist’ sepanjang 3,088 minit permainan, melibatkan 37 penampilan.

Mengulas lanjut, Kim Swee yang kini menjawat jawatan Ketua Unit Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, perubahan budaya dan persekitaran tidak akan menjadi penghalang buat Muhammad Safawi di sana.

“Setiap pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baharu dan sudah pasti terdapat perbezaan yang ketara dari segi budaya antara negara kita dan di Eropah, tetapi dengan pengalaman dan keyakinan yang ada, ia bukan satu masalah bagi beliau.

“Saya percaya JDT juga akan memastikan hanya yang terbaik buat Muhammad Safawi, selepas mereka telah bertanggungjawab membentuk beliau sehingga menjadi antara pemain paling berpotensi di negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee menyifatkan tawaran diterima Muhammad Safawi itu, membuktikan bakat tempatan kini mula mendapat perhatian dunia dan berharap ia sebagai pembuka jalan kepada lebih ramai pemain muda negara, beraksi di luar.

Sejak menyertai JDT dari pasukan T-Team pada Disember 2016, Muhammad Safawi menjulang tiga kejuaraan Liga Super, dua kejuaraan Piala Malaysia dan memenangi satu kejuaraan Piala FA.

Di pentas antarabangsa, Muhammad Safawi merupakan pemain utama skuad Harimau Malaya, yang kini dalam misi menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Beliau pernah meledak dua gol untuk membantu Malaysia melakar kemenangan pertama dalam tempoh 44 tahun ke atas Korea Selatan, selepas menewaskan pasukan itu 2-1 pada aksi kumpulan acara bola sepak di temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Safawi ungguli undian gol terbaik ACL

SHAH ALAM, 2 DIS: Gol menakjubkan jaringan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Safawi Rasid ketika menentang Shandong Luneng mengungguli carta undian bagi Anugerah Gol Terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Jaringan dihasilkan pada aksi ketiga April lalu meletakkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) 2019 berkenaan sebagai 10 pencalonan gol terbaik pertandingan itu.

Berdasarkan tinjauan di laman sesawang Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) setakat jam 11 pagi ini, jaringan pemain berusia 22 tahun itu mendahului sebanyak 50 peratus dengan 826,678 undian, berbanding sembilan jaringan pemain lain yang turut disenarai pendek sebagai gol tercantik.

Mengekori rapat pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu ialah pertahanan pasukan Persepolis, Shajae Khalilzadeh dengan mencatat undian 47 peratus (780,971).

Lapan lagi calon lain adalah Islom Tukhtakhujaev dari PFC Lokomotiv, Gonzalo Viera (Al Rayyan), Sergio Antonio (Kashima Antlers), Khojiakbar Alijonov (Pakhtakor Tashkent FK), Kim Dae-Won (Daegu FC), Romario Ricardo Silva (Al Ittihad), Khalid Muneer (Al Duhail) dan Fabricio do Santos dari Urawa Reds.

Terdahulu, ketika perlawanan itu Safawi berjaya menggegarkan jaring pasukan lawan melalui sepakan kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-60 yang berakhir dengan kekalahan JDT 1-2 di Stadium Pusat Olimpik Jinan, Shandong.

Penyokong bola sepak tempatan boleh mengundi gol Safawi di laman rasmi AFC melalui pautan https://www.the-afc.com/competitions/afc-champions-league/latest/news/

Categories
AGENDA SUKANKINI

Bukan pertama kali Safawi digugurkan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Ini bukan kali pertama bintang sensasi Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid diketepikan Ketua Jurulatih Skuad Bawah 22 Tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee dalam pasukannya.

Pada 2016, Kim Swee yang ketika itu menjawat jawatan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan mengambil keputusan menggugurkan nama Muhammad Safawi, daripada senarai akhir pemain menghadapi saingan Piala AFF, yang menyaksikan Malaysia gagal mara ke separuh akhir.

Selepas tiga tahun, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu kini menikmati kemuncak karier, selepas membuktikan kualiti dimiliki di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat domestik.

Safawi Rasid merangkul Anugerah Penyerang Terbaik pada Anugerah Bola sepak Kebangsaan (ABK) 19 dalam majlis di sebuah hotel malam tadi. Foto BERNAMA

Pengguguran Muhammad Safawi, 22, pada waktu itu dibaratkan sebagai titik perubahan dalam kariernya, apabila selepas itu beliau bangkit dengan prestasi lebih meyakinkan dan Kim Swee mahu setiap pemain muda, mencontohi kesungguhan serta sifat tidak putus asa dimiliki beliau.

“Kalau tidak silap ia (titik perubahan) pada Piala AFF 2016 di mana saya menggugurkan beliau (Muhammad Safawi) ketika itu. Apabila digugurkan, beliau kembali dengan begitu positif dan tidak berputus asa…ini memberikan beliau satu keyakinan cukup baik.

“Setiap pemain harus mencontohi Safawi, di mana apabila beliau gagal atau digugurkan, tetap kembali dengan lebih kekuatan dan kini beliau merupakan pemain terbaik di negara kita,” kata Kim Swee kepada Bernama.

Kim Swee semalam mengesahkan untuk tidak menyenaraikan Muhammad Safawi dalam skuad negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina, demi kebaikan pemain itu yang telah mengharungi begitu banyak perlawanan musim ini.

Bekas pemain sayap pasukan T-Team itu melakar rekod cemerlang bersama JDT musim ini, apabila meledak 20 gol dan merekodkan 10 ‘assist’ sepanjang 3,088 minit permainan melibatkan 37 penampilan.

Nama Muhammad Safawi kini menjadi sebutan seluruh peminat bola sepak tanah air, selepas meledak dua gol dalam kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua hari lepas (Selasa).

Kemenangan itu, sekali gus membantu skuad Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, melengkapkan tahun 2019 dengan penuh gemilang.

Kim Swee yang telah membimbing Muhammad Safawi bersama skuad kebangsaan serta skuad B-22 negara mengakui, pemain kebangsaan itu memiliki kekuatan kaki kiri dan sering meluangkan masa sekitar 15-20 minit membuat latihan tambahan, selepas tamat sesi latihan pasukan.

“Kita dapat lihat Safawi kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan sahaja daripada hasil usaha barisan jurulatih, tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan beliau yang telah membawanya ke tahap cukup baik ini.

“Dalam sesi latihan beliau fokus kepada setiap situasi tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya, di mana beliau mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari, selepas tamat latihan.

“Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ di setiap perlawanan,” jelas Kim Swee.

Pengguguran Muhammad Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat tempatan, namun apa yang pasti sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain tersebut.

Adakah dengan keputusan Kim Swee ini, seluruh peminat bola sepak tempatan akan menyaksikan peningkatan prestasi lebih baik daripada Muhammad Safawi pada musim 2020?.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Prestasi belum memuaskan – Safawi

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Biarpun menerima pujian melambung selepas menjaringkan dua gol cantik menerusi kaki kiri ketika Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 malam tadi, Muhammad Safawi Rasid masih kurang berpuas hati dengan prestasinya.

Penyerang berusia 22 tahun itu menjadi watak penting dalam membantu skuad Harimau Malaya membenam musuhnya tradisinya, Indonesia dalam aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-30 sebelum menggandakan jaringan menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-70, yang menghidupkan kembali peluang Malaysia dalam kempen kelayakan itu.

Namun, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata banyak yang perlu diperbaikinya menjelang aksi seterusnya dalam kempen itu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac tahun depan.

“Alhamdulillah kita dapat mencatat dua kemenangan berturut-turut. Keputusan ini sangat penting untuk meningkatkan keyakinan semasa berdepan UAE di tempat lawan.

“Secara peribadi, saya tak puas dengan apa saya buat, jadi perlu memperbaiki lagi dari hari ke hari. Kita sebagai pasukan perlu kekal komited dan bekerja keras untuk meningkatkan kecergasan pada tahun hadapan kerana ada dua perlawanan di tempat lawan dan satu di gelanggang sendiri,” katanya selepas perlawanan itu.

Rakan sepasukan, Mohamed Syamer Kutty Abba turut senada dengannya apabila mahu meningkatkan lagi prestasinya selepas menerima pujian penyokong dalam aksi menentang Thailand pada Khamis lepas dan Indonesia malam tadi.

“Terima kasih kepada ketua jurulatih Tan Cheng Hoe kerana beri kepercayaan kepada saya. Tetapi masih banyak ruang untuk penambahbaikan, jalan masih panjang…Saya kena melihat perlawanan demi perlawanan secara serius untuk perbaiki dari setiap aspek.

“Insya-Allah kita boleh (layak ke Piala Asia 2023), kita ada tiga perlawanan lagi, kena dapatkan mata maksimum dan kena dream big to be the best,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Malaysia kini berada di tempat kedua Kumpulan G dengan sembilan mata di belakang Vietnam (11 mata), manakala Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata, diikuti UAE (6 mata selepas empat perlawanan) dan Indonesia yang gagal meraih sebarang mata dalam lima aksi setakat ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya dan barisan kejurulatihannya atas kejayaan malam tadi yang dianggap sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia sebelum penutup musim 2019.

Hamidin yang mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden Persatuan Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang baru dilantik, Jeneral Polis Mochammad Iriawan pada malam tadi, turut membincangkan kemajuan bola sepak antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara mempunyai sejarah cukup lama dalam bola sepak sekali gus menjadikan perseteruan di atas padang cukup unik. Kita harapkan Harimau Malaya dan Sang Garuda akan terus bersaing secara sihat demi kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi FAM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Safawi tidak akan henti usaha keras

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Penerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019, Muhammad Safawi Rasid bertekad mahu menjadi pemain lebih baik menjelang musim 2020.

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang merangkul anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular pada majlis yang berlangsung semalam, mengakui tidak pernah puas dengan prestasinya dan akan terus bekerja keras dari semasa ke semasa.

“Walaupun dapat anugerah ini, saya bukan pemain yang bagus lagi, sebab saya tidak pernah puas untuk buktikan sesuatu dalam arena bola sepak.

“Saya mahu jadi lebih baik dari tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya. Saya mahu gandakan segala usaha saya… kalau boleh setiap tahun saya mahu lihat peningkatan prestasi saya dalam permainan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis ABK 2019.

Anugerah MVP diraih Muhammad Safawi itu menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu berjaya mempertahankan gelaran dimenangi edisi lepas dengan rekod pemain paling termuda memenangi anugerah MVP.

Pemain kelahiran Terengganu itu menikmati kemuncak karier selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut musim ini.

Ketika ditanya mengenai rahsia di sebalik prestasi cemerlang bersama skuad Harimau Selatan, Muhammad Safawi berkata beliau sentiasa memberikan sepenuh tumpuan dalam sesi latihan dan menganggap setiap perlawanan seperti aksi final.

“Saya berikan yang terbaik serta tumpuan penuh dalam sesi latihan dan perlawanan. Setiap aksi itu saya ibaratkan seperti final demi raih keputusan positif. Saya tidak istimewa mana cuma ia juga mungkin disebabkan berkat daripada ibu bapa saya,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menanam impian untuk mengembangkan bakatnya di luar negara sekiranya diberikan peluang.

“Di usia 22 tahun impian saya kalau ada rezeki dan tawaran dari luar memang saya nak pergi tetapi saya perlu hormati majikan saya Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana baginda yang selalu menjaga saya dan pasukan JDT,” tambah Muhammad Safawi.

-BERNAMA