Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia keluarkan vaksin influenza menjelang 2024

SHAH ALAM, 27 OKT: Malaysia bakal mengeluarkan vaksin influenza untuk manusia berstatus halal menerusi kilang Malaysian Vaccines and Pharmaseutical (MVP) Sdn Bhd menjelang 2024.

Pengarah Eksekutif MVP Rashidah Ibrahim berkata kilang yang terletak di Pucong, Selangor mampu menghasilkan kuantiti maksimum 10 juta dos, lapor portal Berita Harian.

“Kami mempunyai bangunan dua lot kilang dan berbekalkan teknologi sama dan kepakaran kami menghasilkan vaksin haiwan dalam tempoh kurang dari tiga tahun, kami mampu membekalkan vaksin manusia.

“Kami tiada masalah kerana kebanyakan pekerja di sini mempunyai kepakaran teknikal yang sangat tinggi,” katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen MVP dan St Petersburg Scientific Research Institutes For Vaccine And Serum Russia di Puchong, dekat sini.

Rashidah berkata perjanjian dengan St Petersburg memberikan MVP pasaran di Asia Tenggara dan beberapa negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

MVP Sdn Bhd adalah syarikat yang menghasilkan vaksin untuk unggas. Sejak 1994, syarikat berkenaan menghasilkan 16 vaksin unggas di negara ini oleh pakar tempatan untuk pasaran domestik dan sebahagian besar dieksport.

Menurut Rashidah, melalui penubuhan cabang syarikat MVP Healthcare, ia sebagai langkah untuk firma itu untuk menceburi bidang penghasilan vaksin manusia sesuai dengan pengalaman, kepakaran dan teknologi dimilikinya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Safawi tidak akan henti usaha keras

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Penerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019, Muhammad Safawi Rasid bertekad mahu menjadi pemain lebih baik menjelang musim 2020.

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang merangkul anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular pada majlis yang berlangsung semalam, mengakui tidak pernah puas dengan prestasinya dan akan terus bekerja keras dari semasa ke semasa.

“Walaupun dapat anugerah ini, saya bukan pemain yang bagus lagi, sebab saya tidak pernah puas untuk buktikan sesuatu dalam arena bola sepak.

“Saya mahu jadi lebih baik dari tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya. Saya mahu gandakan segala usaha saya… kalau boleh setiap tahun saya mahu lihat peningkatan prestasi saya dalam permainan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis ABK 2019.

Anugerah MVP diraih Muhammad Safawi itu menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu berjaya mempertahankan gelaran dimenangi edisi lepas dengan rekod pemain paling termuda memenangi anugerah MVP.

Pemain kelahiran Terengganu itu menikmati kemuncak karier selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut musim ini.

Ketika ditanya mengenai rahsia di sebalik prestasi cemerlang bersama skuad Harimau Selatan, Muhammad Safawi berkata beliau sentiasa memberikan sepenuh tumpuan dalam sesi latihan dan menganggap setiap perlawanan seperti aksi final.

“Saya berikan yang terbaik serta tumpuan penuh dalam sesi latihan dan perlawanan. Setiap aksi itu saya ibaratkan seperti final demi raih keputusan positif. Saya tidak istimewa mana cuma ia juga mungkin disebabkan berkat daripada ibu bapa saya,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menanam impian untuk mengembangkan bakatnya di luar negara sekiranya diberikan peluang.

“Di usia 22 tahun impian saya kalau ada rezeki dan tawaran dari luar memang saya nak pergi tetapi saya perlu hormati majikan saya Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana baginda yang selalu menjaga saya dan pasukan JDT,” tambah Muhammad Safawi.

-BERNAMA