Categories
NASIONAL

Mahasiswa Sambut Baik Gagasan Anak Muda, Tetapi Minta Penambahbaikan

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 02

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Dua gerakan mahasiswa hari ini menyambut baik Lima Gagasan Anak Muda atau disebut sebagai Dokumen Merah yang dilancarkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahad lalu.

Menurut Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim, gagasan tersebut dilihat turut menyentuh ekonomi makro dan mikro golongan anak muda.

“Contohnya, cadangan teksi motor pelancongan, mungkin nampak kecil, tetapi ianya memberi peluang kepada orang-orang yang tercicir dari sistem untuk dapat peluang perkerjaan,” ujar beliau dalam Majlis Diskusi Gagasan Anak Muda petang tadi.

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 01Antara perkara yang dijangka menarik perhatian anak muda dalam gagasan itu termasuk caruman takaful anak muda bagi mereka yang berumur 40 tahun ke bawah yang melibatkan 6.5 juta golongan muda seluruh negara.

Gagasan itu juga menawarkan tabung masa depan anak muda dan tabung pemberhentian kerja yang memberikan elaun RM 500 sebulan dalam tempoh tertentu sehingga mendapat perkerjaan.

AMK turut meletakan sasaran untuk melancarkan ‘teksi motor pelancongan’ bagi membuka peluang pekerjaan untuk anak muda menganggur sekiranya PR menang dalam pilihan raya nanti.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang, gagasan itu patut memasukkan jaminan membebaskan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari cengkaman badan politik.

“Bukan mahasiswa sahaja, tetapi saya kira semua warga IPT mahu universiti atau kolej mereka bebas membuat keputusan sendiri.

“Tidak dipengaruhi kuasa politik tidak kira dari BN atau PR termasuklah dalam melantik jawatan tertinggi seperti naib canselor,” kata Safwan.

Majlis yang diadakan di dalam suasana agak santai itu dihadiri Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 03Shamsul Iskandar berkata gagasan tersebut merupakan sebahagian dari manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat (PR).

“Saya juga nak tekankan gagasan ini yang kita akan serapkan dalam manifesto PR yang akan dilancarkan pada 25 Febuari ini.

“Kita bimbang mungkin ada yang menganggapnya satu retorik politik, jadi kita nak tegaskan ianya boleh dan akan dilaksanakan,” kata Shamsul.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa wakil mahasiswa dari IPT sekitar Lembah Klang.

Gagasan itu menyentuh lima isu utama iaitu pemberdayaan pendidikan anak muda, kualiti hidup anak muda, kesaksamaan politik dan demokrasi anak muda, perumahan startegik anak muda dan merakyatkan kebudayaan dan sukan anak muda.