Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Purata murid ke sekolah lebih 85 peratus sejak 3 Oktober

SHAH ALAM, 30 NOV: Purata trend kehadiran murid ke sekolah melebihi 85 peratus antara 3 Oktober hingga semalam, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata peratusan itu direkodkan di 10,060 sekolah seluruh negara membabitkan lebih 4.38 juta murid, lapor Berita Harian.

“Trend kehadiran ini menunjukkan pembukaan sekolah secara umumnya diterima baik ibu bapa dan murid.

“Pembukaan semula sekolah secara bersemuka ini juga membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berhubung perkembangan terkini operasi sekolah di seluruh negara sejak 3 Oktober.

Sesi pembelajaran bersemuka dibuat secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula dengan pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

NUTP cadang buka pusat vaksin khas untuk murid sekolah

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mencadangkan kerajaan menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) khas untuk murid sekolah dan tidak bersekali dengan PPV umum.

Setiausaha Agung NUTP Wang Heng Suan berkata langkah itu bagi mengurangkan risiko murid sekolah daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“NUTP merayu agar Kementerian Pelajaran (KPM) mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) beberapa buah sekolah dijadikan sebagai PPV mengikut daerah atau zon bagi membolehkan murid sekolah mendapat vaksinasi.

“Langkah ini akan lebih memudahkan pengurusan murid sekolah mendapatkan vaksinasi masing-masing secara berperingkat dan boleh mengenal pasti murid yang tidak mendapat sebarang vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut berharap pihak berwajib dapat memastikan guru diberi keutamaan melengkapkan vaksinasi kerana mereka merupakan kumpulan barisan hadapan.

Beliau berkata NUTP turut menyarankan kerajaan memastikan pekerja di sekolah seperti petugas kantin, pembersihan sekolah dan pengawal keselamatan turut mendapat vaksinasi lengkap sebelum sekolah mula dibuka secara berperingkat pada 3 Oktober ini.

Mengenai pembukaan sekolah itu, Wang berharap KPM dapat mempertingkatkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan keselamatan murid, guru dan masyarakat setempat terjamin dan terhindar daripada jangkitan Covid-19.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan bahawa tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Radzi berkata bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN dan bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Murid tiada seragam sekolah boleh pakai baju biasa hingga 26 Mac

PUTRAJAYA, 24 FEB: Murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan untuk hadir ke sekolah, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata kebenaran itu diberi mulai 1 Mac sehingga 26 Mac, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

KPM berkata berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah, murid perlu memakai pakaian seragam sekolah untuk hadir ke sekolah, namun mengambil kira keadaan semasa kebenaran itu diberikan.

Menurutnya perkara itu diputuskan susulan banyak pertanyaan daripada ibu bapa mengenai peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

“KPM berharap kebenaran ini akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada 19 Februari lepas, KPM mengumumkan tarikh pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Mac.

-BERNAMA