Categories
NASIONAL SELANGOR

Dasar Nasionalis Umno Terus Perbodohkan Rakyat

Tuan Guru Nik Aziz melancarkan bukunya di karangkraf 01

SHAH ALAM, 15 APRIL : Dasar nasionalis yang diamalkan Umno kini hanya memperbodohkan rakyat , kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Oleh itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyeru rakyat mengundi Pakatan Rakyat(PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke13(PRU13) bagi mengelak terus diperbodohkan.

“Saya mintak di pihak rakyat Kelantan keluar mengundi kerana kita negeri demokrasi. Demokrasi mesti mengundi.

“Bila mengundi jangan biar siapa paksa. Pilihan raya lain, paksaan raya lain. Malaysia sejak saya masuk politik nampak sangat paksaan raya.

“Saya Menteri Besar. (Saya)Ketua parti, Mursyidul Am, di Kelantan Ketua Pesuruhjaya tapi tidak pernah diberikan kepada kami bercakap di radio, bercakap di dalam televisyen. Ini bukan demokrasi, ini komunis,” tegasnya.

Tambahnya, Islam agama dari Allah. Nasionalis bukan agama, Komunis bukan agama dan Sosialis bukan agama, ini manusia buat yang kita boleh tolak dan terima sesuai dengan agama.

Katanya lagi, ketakutan Umno-BN selama ini terhadap beberapa individu bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara sebaliknya mengundang bahaya kepada Umno-BN sendiri

“Tangkap orang ISA. Bahaya untuk keselamatan negara. Karpal Singh ditangkap, Lim Guan Eng ditangkap, anak saya ditangkap,(Datuk) Mahfuz Omar ditangkap kerana bahaya untuk negara.

“Bila keluar jadi calon orang undi dia. Ertinya bukan bahaya kepada negara tetapi bahaya kepada Umno,” ujarnya lagi.

Bercakap pada sesi ‘Bicara Cinta’ anjuran Kumpulan Karangkraf, beliau berkata, sekatan yang dihadapi Kerajaan PAS Kelantan merupakan satu bentuk ‘kerja jahat’ Umno-BN yang terus mengamalkan diskriminasi sehingga menubuhkan Jabatan Pentadbiran Pusat (JPP) untuk menguruskan kewangan yang disalurkan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Ini kejahatan yang dibuat oleh pemimpin Umno yang memusnahkan taraf manusia. Manusia begitu liar.

“(Rakyat) Kelantan tak pilih Umno dan ada JPP. Semua duit dari kerajaan pusat beri kepada JPP. Dia buat jalan, hospital kita tidak tahu berapa harga,”katanya.

Sebelum itu, Nik Abdul Aziz melancarkan buku terbarunya bertajuk ‘Bicara Ini Demi Ilahi’ terbitan Grup Buku Karangkraf bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf.