Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Garis panduan solat jemaah selaras Majlis Fatwa Kebangsaan

IPOH, 12 SEPT: Garis panduan solat berjemaah di masjid dan surau ketika negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dibuat berdasarkan perbincangan antara para ulama menerusi Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata demikian merujuk kepada rakaman video berdurasi dua minit seorang pendakwah terkenal Datuk Mohd Kazim Elias yang meminta amalan norma baharu solat berjemaah yang bercanggah dengan Islam dikaji semula.

“Tatacara solat berjemaah yang dilaksanakan ketika ini telah diperjelaskan secara terperinci dalam sebuah buku bertajuk ‘Soal Jawab Fiqh Covid-19’ yang saya hasilkan, dan boleh dijadikan panduan kepada masyarakat.

“Sebenarnya ini (pelaksanaan solat berjemaah) telah dibahaskan oleh para ulama, jadi ada perkara-perkara yang kita nampak macam bercanggah tetapi semuanya ijtihad-ijtihad ulama telah dijelaskan dalam buku itu dengan mengambil kira pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan negeri, bahkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Nadwah Penyelarasan Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Dakwah Islam Perak bertemakan ‘Jaringan Dakwah Pengislah Ummah’ di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program hari ini, Zulkifli berkata objektif program itu dilaksanakan untuk mewujudkan sekretariat rangkaian dakwah NGO di peringkat negeri di bawah punca kuasa aktiviti dakwah JAIPk.

Selain itu, katanya, ia juga dapat membentuk pelan perancangan dakwah negeri diwujudkan, mewujudkan carta aliran kerja yang jelas, fokus dan bersistematik selain mampu memanfaatkan kaedah-kaedah baharu teknologi terkini di dalam gerak kerja agensi dakwah di Perak.

“Ia juga dapat mempertingkatkan kredibiliti pengurusan gerak kerja dakwah sebagai pemangkin kepada transformasi pembangunan negeri sekali gus menyelaraskan gerak kerja dakwah di negeri ini melalui kegiatan aktiviti secara kolaborasi bagi meningkatkan kefahaman mengenai agama Islam,” katanya.

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusof Husin.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Pentadbiran agama negeri boleh putuskan Solat Jumaat dua sesi

KUALA TERENGGANU, 19 JULAI: Keperluan untuk menunaikan solat Jumaat dua sesi di negeri-negeri disebabkan kesesakan jemaah dan ruang terhad di masjid semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertakluk kepada pentadbiran agama di setiap negeri berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bagaimanapun katanya di peringkat Wilayah Persekutuan, solat Jumaat cuma diadakan satu sesi seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

“Justeru sekarang ini kami telah mengambil ketetapan bagi pihak contohnya Wilayah Persekutuan, kita tidak akan buat dua sesi, kita hanya buat satu sesi sahaja. Negeri lain tertakluk kepada pentadbiran agama negeri.

“Setakat ini apa yang dimaklumkan kepada saya, mereka (negeri-negeri) buat satu sesi sahaja. Ini (solat Jumaat satu sesi) yang diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terpulang kepada negeri masing-masing,” katanya.

Dr Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Peduli Pasca Musa’adah Covid-19 Bersama Nelayan Terengganu, di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Chendering, di sini hari ini.

Katanya Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI itu turut membenarkan solat Jumaat diadakan di kawasan tepi masjid termasuk pemasangan khemah di pekarangan masjid, mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Solat Jumaat dibenarkan di dewan, ruang dimaksimum

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini diperluaskan dengan memberi kebenaran kepada surau dan dewan yang sesuai untuk mendirikan solat Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanan solat Jumaat juga diperluaskan dengan memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada.

“Bagi melaksanakan perkara itu, pihak berkaitan hendaklah mematuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) terkini yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Zulkifli berkata semua majlis ilmu yang lazim diadakan di masjid, surau Jumaat dan surau seperti kuliah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Dhuha, kelas fardhu ‘ain dan kelas pengajian Al-Quran boleh diadakan bermula minggu ini.

“Ia boleh diadakan dengan syarat SOP dipatuhi berdasarkan keluasan masjid, surau Jumaat atau surau. Pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau bertanggungjawab untuk memastikan semua SOP digariskan, dapat dipatuhi sebaiknya,” katanya.

Bagi pelaksanaan solat berjemaah, Zulkifli berkata berkata pagar masjid, surau Jumaat dan surau disarankan untuk tidak dikunci pada waktu selain daripada waktu solat sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP sebelum ini, bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat terutamanya bagi mereka yang bermusafir dan penghantar makanan, barangan dan pemandu e-hailing

Zulkifli berkata semua keputusan itu dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menerima resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-7 yang bersidang pada 24 Jun lalu.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

“Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Maka, dalam melaksanakan perkara tersebut, Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,”katanya.

-BERNAMA